Showing posts with label Cerpen Terbaik. Show all posts
Showing posts with label Cerpen Terbaik. Show all posts

Tuesday, 28 May 2013

Alkisah seorang Tok Guru…

Pada satu masa dahulu di Gunung Lagensia, seorang Tok Guru yang mendermakan seluruh masanya untuk mendidik prinsip ‘Amar makruf dan nahi mungkar’ telah didatangi oleh seorang bijaksana yang ingin melawan hujahnya.

Ketibaan orang bijaksana itu disambut dengan satu kain rentang besar di pintu besar sekolah yang dibina Tok Guru. Kain rentang itu menulis, “Selamat datang. Bila masuk cuba toleh ke belakang dulu sebelum berhujah.”

Orang bijaksana tidak mempedulikan kata-kata di kain rentang itu dan terus memasuki dewan berjumpa Tok Guru dan memulakan hujahnya.

“Raja kita yang bagi kita kerja, kita makan tapi Tok Guru menyuruh anak murid tetap melawan kemungkaran yang dibuat oleh Raja. Itu bukan nahi mungkar, itu sengaja mencari pasal,” kata orang yang bijaksana itu.

Tok Guru senyum dan terus menyiram pokok.

“Dia Raja, apa salahnya baginda kalau baginda ambil projek untuk untung duit. Mana boleh Raja hidup dalam keadaan tidak bermewah? Siapa nak hormat jika Raja tak ada duit?” hujah orang yang bijaksana itu.

Tok Guru terus menyiram pokok.

“Raja ambil projek bagi orang-orang dia untuk jadi kaya supaya kedudukan Raja dapat diperkukuhkan dengan sokongan pembesar-pembesar. Takkan itu pun perkara yang mungkar? Projek bernilai 1 jongkong emas diberi pada harga 2 jongkong emas untuk membeli kesetiaan. Takkan Tok Guru tak boleh faham?” kata orang bijaksana itu lagi.

Tok Guru masih tersenyum dan menyiram pokok.

“Kat mana-mana tamadun ada orang yang akan mati kelaparan. Takkan itu salah Raja? Kalau negara tak ada orang miskin, siapa nak jadi petani, pengutip sampah, bersih longkang dan sanggup menjual anak untuk dijadikan askar untuk kegunaan perang. Ini cara pengurusan, takkan pula ini perkara yang mungkar yang Tok Guru menghasut anak murid untuk melawan,” hujah lagi orang bijaksana itu.

Tok Guru sedang memetik buah daripada pokoknya.

“Rakyat kena dikekalkan dalam keadaan mereka masih memerlukan Raja untuk menyuapkan makanan. Jika tidak, rakyat tidak akan taat dan mendengar kata-kata Raja. Raja kadang-kala terpaksa gunakan kekerasan supaya rakyat beringat siapa yang berkuasa. Hanya anjing yang lapar sahaja kenal siapa tuan dia?” hujah orang bijaksana itu lagi.

“Awak bodoh sahaja tak faham prinsip menjaga negara. Orang besar dalam istana Raja kena kayakan mereka untuk beli kesetiaan. Takkan semua kesetiaan boleh dibeli, bangkraplah negara. Jadi sebab itu, rakyat di luar kena dibiarkan lapar, itu cara lain untuk mendapat kesetiaan. Mak ayah awak juga pernah mendapat kebaikan daripada Raja, tahu?” hujah orang bijaksana itu lagi.

Tok Guru senyum dan teruskan kerja berkebunnya.

“Orang kata awak ini bijak. Aku cakap sepanjang ini, satu patahpun tak terlawan kata-kata aku. Awak ini tin kosong sahaja. Pakar menghasut dan pakar penipu,” jerit orang bijaksana itu lagi.

Tok Guru tetap senyum dan kini mula mencangkul mencari cacing untuk memancing nanti.

Orang bijaksana itu merasa lagi marah. “Tak guna pun benda. Malas aku nak cakap dengan kamu. Dahlah bodoh, bisu pula!”

Orang bijaksana itu pun beredar. Setibanya di pintu besar, orang bijaksana melihat kain rentang yang menyambutnya tadi. Di belakang itu rupa-rupanya ada tulisan.

“Wahai orang bijaksana, dunia ini milik Allah. Siapalah raja tanpa rakyatnya? Raja masih ada jika tiada pembesar kaya-raya bersamanya. Raja tak mungkin wujud jika tiada rakyat bersamanya. Rakyat setia jika Raja adil. Rakyat akan lebih setia sekiranya Raja dapat memastikan rakyatnya hidup subur dan makmur. Jika rakyat berada dalam kelaparan, dan tatkala musuh yang menyerang memberikannya kekenyangan, apakah kesetiaan yang ingin dicari oleh Raja melalui kelaparan akan kekal pada masa itu?

Ibubapa saya memang pernah mendapat habuan daripada Raja. Oleh itu, saya jualkan segala harta peninggalan mereka untuk membina sekolah ini untuk memberikan pendidikan yang percuma kepada semua yang memerlukannya. Sekolah ini tidak perlu sekiranya sekolah yang dibina Raja tidak mahal yurannya kerana para pembesar yang Raja sayangi nak kekal hidup mewah. Renungkan dan selamat pulang.”

Orang bijaksana tersentak. Baru dia faham mengapa Tok Guru tak jawab apa-apa. Rupanya Tok Guru dah tahu apa isi hujahnya.

Selepas orang bijaksana beredar, anak murid Tok Guru bertanya mengapa Tok Guru boleh bersabar tatkala dihina sehingga moyang pun dihina.

“Jika seseorang datang dengan hadiah di tangan, dan anakanda tidak menerimanya, akhirnya hadiah itu milik siapa?” tanya Tok Guru kembali.

“Orang yang membawa hadiah itu, Tok Guru,” jawab anak muridnya.

“Sama juga dengan perasaan dengki, marah dan penghinaan,” kata Tok Guru. “Apabila ia tidak diterima, ia kembali ke tangan orang yang membawanya.”

“Oh sebab itu di hujung tadi orang itu yang jadi marah walhal dia nak Tok Guru yang berasa marah.”

Tok Guru tersenyum sambil mengusap kepala anak muridnya. “Senyum!”

Cerita panjang untuk Hari Ahad.

Senyum

Alkisah seorang malas…

Abtawi seorang budak yang malas. Disebabkan malas, segala projeknya terbengkalai kerana tiada pengurusan yang baik. Tapi tiada ramai yang tahu Abtawi seorang pemalas kerana lakonannya hanya hebat, selalu menunjuk dia sibuk di depan orang ramai.

“Redha sajalah. Ini takdir Allah. Allah nakkan begitu, nak buat macam mana.” – Itulah jawapan Abtawi setiap kali ditanya Ustaz Ibrahim yang diamanahkan menjaga segala projek di kampung Gunung Senyum.

Setiap kali Abtawi berkata sedemikian, Ustaz Ibrahim akan terasa sedih kerana duit warga kampung telah terbazir lagi.

Satu hari, Ustaz Ibrahim mula menubuhkan pasukan pemantau rahsia untuk memantau projek-projek di kampung. Analisa yang dibuat oleh pasukan pemantau yang pertama, 80 peratus projek yang tak jadi semuanya dimiliki oleh Abtawi.

“Tak mungkin. Budak itu rajin. Saya kenal dia sejak kecil. Cuba nasib tak menyebelahinya,” kata Ustaz Ibrahim yang mempertahankan Abtawi yang dididiknya dengan agama sejak kecil.

Setelah 3 bulan memantau, pasukan pemantau Ustaz Ibrahim memaklumkan bahawa Abtawi sebenarnya tidak melakukan kerja-kerja yang diamanahkannya.

“Sebab dia tahu Ustaz selalu akan melawat pukul 10 pagi dan 4 petang, Abtawi hanya masuk kerja hampir-hampir dengan dua waktu itu dan menunjukkan dia membuat kerja. Semua projeknya dijalankan tanpa ada apa-apa pelan tindakan dan jadual,” kata ketua pemantau rahsia Ustaz Ibrahim.

Ustaz Ibrahim masih was-was mendengar laporan itu. Beliau ingin meninjau diri sendiri.

Besok harinya, Ustaz Ibrahim menukar masa melawat ke 9 pagi.

Setiba di tapak projek, Abtawi tiada di sana. Ustaz Ibrahim menemubual beberapa pekerja di sana.

“Dia hanya datang 2 jam sahaja sehari untuk menunggu kedatangan Ustaz. Kami cuma buat ikut pengetahuan kami. Tak pasti bila nak siap, bahan apa yang nak digunakan. Biasanya bahan yang diperlukan tak dibeli, katanya duit projek tak cukup,” kata seorang pekerja Abtawi.

Ustaz Ibrahim sedih dan terus meninggalkan tapak kerja itu sebelum kehadiran Abtawi. Beliau memberitahu pekerja-pekerja Abtawi jangan memberitahu bahawa beliau pernah datang.

Abtawi yang tiba di pukul 10 pg cemas menunggu untuk sejam kerana Ustaz Ibrahim tidak hadir. Kerana bimbang apa-apa terjadi pada Ustaz Ibrahim, Abtawi terus ke pejabat Ustaz Ibrahim untuk mencarinya.

Apabila Abtawi memasuki pintunya, Ustaz Ibrahim senyum – “Maaf tak sempat pergi hari ini.”

“Ustaz ada apa-apa ke? Sakit ke?” tanya Abtawi.

“Tak. Cuma hati tak sedap sikit. Projek bagaimana, boleh siap minggu depan?” tanya Ustaz Ibrahim.

Abtawi senyap seketika.

“Saya tak tahu mengapa malang sangat nasib saya dan Allah melayan saya sedemikian. Semua projek saya ada masalah. Projek ini, maaf Ustaz, saya dah cuba, tapi masih gagal disiapkan mengikut jadual,” terang Abtawi.

Memandang pada Abtawi, Ustaz Ibrahim bertanya pada dia, apakah beliau sedar Allah sedang melihat setiap perbuatan manusia di bumi ini?

Abtawi terdiam seketika.

“Saya sangat kecewa hari ini. Sebenarnya saya tak nak pergi tapak projek hari ini adalah untuk mengurangkan dosa kamu supaya kamu kurang menipu untuk sehari. Nampaknya tidak berjaya.

Ungkapan redha dengan ketentuan dan takdir Allah biasanya hanya digunakan untuk mengubati jiwa mereka yang telah berusaha bertungkus-lumus sedaya upaya untuk mencapai sesuatu tetapi gagal. Tapi ramai yang salahgunakan ungkapan ini. Jangan samakan kelemahan mengurus dengan takdir Allah. Jangan menghina Allah berkata kegagalanmu adalah takdirnya tatkala kamu malas, kurang berusaha dan mudah berputus asa.

Kamu tak layak berkata kegagalan projek dan membazirkan wang kampung ini ketentuan Allah tatkala kamu bekerja sambil lewa selama ini. Yang kamu bersungguh-sungguh selama ini hanya menipu saya yang mempercayai kamu telah bekerja sedaya upaya untuk menyiapkan projek yang diamanahkan.

Tahu tak mengapa kamu dapat menipu saya? Kerana saya mempercayai kamu – sebab sayalah yang mendidik kamu sejak kecil. Rupanya saya silap, sangat silap,” kata Ustaz Ibrahim.

Abtawi terkedu dan tidak berkata apa-apa. Sejak itu, Abtawi berhenti menjadi malas dan mula bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawab kepadanya.

Senyum.

Alkisah terkencing dalam seluar…

Anak Pak Ali, Hasan, 9 tahun di dalam kelas khusyuk mendengar kuliah ustaz Idris tetiba mendapati seluarnya basah dan ada air di bawah kerusinya.

Hasan terkejut kerana dia tidak tahu bagaimana ia berlaku kerana ia tak pernah berlaku. Apa yang Hasan tahu ialah apabila rakan sekelasnya tahu… dia akan mendapat malu besar dan perkara ini bakal jadi ejekan yang memalukannya tak putus-putus.

Hasan menundukkan kepalanya dan terus berdoa memohon Allah memberi pertolongan untuk menyelamatkan diri daripada aib.

Pada masa yang sama, Ustaz Idris sedang bergerak ke arah Hasan yang sedang menundukan kepala.

Tetiba rakan Hasan yang duduk di sebelahnya, Anak Che Ali, Ibrahim dengan cepat menumpahkan bekas air dia di atas meja ke arah Hasan dan membasahi seluruh seluar dan bawah kerusi Hasan.

Hasan mengambil peluang untuk menunjukkan dia berang terhadap rakannya Ibrahim dengan memaki hamunnya di depan Ustaz Idris menyebabkan seluarnya basah untuk menutup aibnya.

Tapi dalam hati, Hasan gembira kerana ‘pertolongan’ sudah tiba.

Hasan mengambil kesempatan daripada hampir menjadi orang yang bakal mendapat aib di kelas kepada orang yang mendapat simpati.

Ustaz Idris membawa Hasan ke bilik sukan dan memberikan satu seluar untuk ditukarkan.

Rakan-rakan lain pula sibuk membersihkan lantai yang basah dengan air daripada bekas air Ibrahim dan najis Hasan.

Simpati yang didapati Hasan semakin banyak tapi sebaliknya Ibrahim pula dicemuh kerana menyebabkan kuliah terhenti dan rakan-rakan sekelas terpaksa membersihkan kelas kerana tidak sengaja menumpah bekas airnya.

“Cukuplah Ibrahim, enta ini menyusahkan sahaja,” kata Hasan, yang tidak mengucapkan terima kasih kepada Ibrahim walaupun sedar tindakan tidak sengaja tadi telah menyelamatkan dia daripada keaiban.

Semasa sekolah tamat, Ustaz Idris memanggil Hasan ke biliknya.

“Hasan, besok ucap terima kasih kepada Ibrahim kerana menyelamatkan Hasan daripada aib tadi ya,” Ustaz Idris berpesan kepada Hasan.

“Mengapa? Dia menyebabkan seluar saya basah dan semua orang kena membersihkan kelas,” Hasan cuba pertahankan peristiwa aibnya.

“Hasan, awak ini kena bertaubat. Ibrahim tadi sengaja menumpahkan air pada Hasan untuk menutup aib Hasan kencing dalam seluar. Tadi, Ibrahim datang memohon maaf pada Ustaz kerana tindakan dia menyebabkan kuliah terhenti dan memberitahu dia terpaksa buat supaya Hasan tidak diaibkan. Hasan dahlah maki hamun pada dia, walhal dialah orang yang menyelamatkan Hasan,” kata Ustaz Idris.

Hasan tersentak dengan penjelasan Ustaz Idris dan keesokkan harinya memohon maaf kepada Ibrahim.

“Mengapa bantu ana semalam?” tanya Hasan.

“Ana pun pernah terkencing dalam seluar. Ana faham keadaan itu dan tidak mahu Hasan melaluinya,” jawab Ibrahim.

Kita semua akan melalui fasa-fasa kehidupan yang mencabar semasa di muka bumi ciptaan Allah swt ini. Kita harus sering mengingatkan diri mengenai perasaan kesusahan ketika waktu mencabar dan jangan menghina orang yang turut berada dalam situasi yang sama. Cuma memahami keadaan orang lain sebagaimana diri sendiri di dalam situasi tersebut, dan berdoalah kepada Allah untuk kita dapat menghulurkan bantuan sewaktu orang memerlukannya.

Senyum

Wednesday, 1 May 2013

Alkisah sekumpulan gajah

Seorang lelaki melalui sekumpulan gajah… beliau tiba-tiba henti…

“Bagaimana satu tali nipis yang mengikat kaki depan gajah itu daripada bergerak… Dahlah tak pengikat besi, tiada pagar sangkar… Kalau gajah itu nak lari, bila-bila masa saja, mereka boleh putuskan tali nipis di kaki… tapi mengapa mereka tidak?” bisik hati beliau…

Lelaki itu bertanya kepada pelatih gajah dan bertanya mengapa gajah-gajah tersebut tidak melarikan diri…

“Hahahha… semasa gajah ini kecil, kami dah gunakan tali yang sama untuk mengikat mereka… dan pada masa itu sudah cukup untuk memerangkap mereka… Apabila gajah ini besar, mereka sudah dilatih mereka tidak akan dapat melarikan diri. Mereka masih percaya tali nipis tersebut cukup untuk memegang mereka, jadi sebab itu mereka tak pernah terfikir untuk melarikan diri….,” terang pelatih tersebut.

Lelaki tersebut terpegun dengan penjelasan tersebut… gajah tersebut boleh melarikan diri bila-bila masa tapi kerana mereka terfikir mereka tidak dapat memutuskan tali tersebut, gajah itu terperangkap di tempat mereka diikat…

Berapa orang antara kita yang bersifat seperti gajah – mempercayai bahawa kita tidak dapat melakukan sesuatu, oleh itu tidak mencuba, hanya kerana kita dibuat percaya bahawa kita akan gagal satu masa dulu?

Untuk renungan untuk malam ini…. Senyum.

Oh lupa… dalam politik, siapa yang nak rakyat berfikir sebagai gajah ya?

Yang merasa mereka tidak boleh hidup tanpa sesebuah parti yang sudah memerintah 56 tahun?

Yang merasa kuasa bangsa mereka akan hilang kerana parti itu akan tewas?

Yang merasakan mereka tidak boleh bergerak dan akan hancur kerana parti pemerintah itu kini ditolak rakyat?

Dan yang merasakan dirinya begitu lemah dan akan gagal tanpa parti yang bakal tumbang?

Tali nipis di kaki itu sebenarnya tiada apa-apa yang ditakutkan. Jangan jadi seperti gajah – yang tidak boleh berfikir, sehingga tuannya boleh menggunakan gimik tali nipis untuk menambat gajah itu daripada bergerak.

Sebenarnya gajah itu cuma perlu melangkah ke depan sekali, gajah itu akan sedar selama ini sebenarnya ia boleh membebaskan ke dunia yang lebih luas dan tidak lagi diperangkap mindanya oleh tuannya dengan gimik tali nipis.


Senyum.

Alkisah seorang murid pandai tapi…

Seorang pelajar bernama Mahros sangat disukai oleh para guru di sekolahnya. Keputusannya agak bagus dan budi pekertinya sangat elok.

Mahros membawa perwatakan gadis yang soleh, mendengar kata dan bertimbang rasa.

Di Tingkatan 2, Mahros terus diangkat menjadi Ketua Kelas dan juga pengawas sekolah. 

Sikap Mahros mula berubah selepas diangkat menjadi Ketua Kelas dan pengawas.

Di waktu rehat, untuk mengelakkan beratur panjang, Mahros menyalahguna kuasanya setiap kali untuk keluar awal dari kelas atas alasan ada urusan pengawas.

Di kelas agama Ustaz Ismail yang Mahros sangat tidak menyukai, Mahros selalu menggunakan alasan ada guru yang memanggilnya untuk perkara lain. Lalu Mahros lari keluar ke kedai koperasi, di mana guru koperasinya Cikgu Bijan selalu memanjakannya.

“Ros tak ada kelas ke? Senang datang bantu cikgu menjaga kedai koperasi waktu ini,” tanya Cikgu Bijan.

“Ustaz Ismail tak datang. Jadi kelas kosong. Saya ketua kelas keluar cari Ustaz Ismail tak dapat. Jadi datang sini,” Mahros menipu Cikgu Bijan.

“Saya ada kelas. Mahros boleh jaga kedai untuk satu waktu (40 minit)?” tanya Cikgu Bijan.

“Boleh. Cikgu pergilah,” kata Mahros.

Di kedai koperasi, Mahros mula mengambil untung sendiri dengan mengenakan harga lebih tinggi pada pelajar. Ada pelajar yang merungut, tapi kerana takutkan Mahros akan membalas dendam dengan selalu mencari masalah dengan mereka seperti pakaian tak sopan, rambut panjang, tudung tak elok dan lambat masuk kelas, mereka lebih rela memdiamkan diri.

Kadangkala bukan untung sahaja yang Mahros ambil, malah dia mula mencuri benda-benda yang boleh dijual di luar.

Cikgu-cikgu lain yang selalu memuji Mahros masih tidak mengetahui bahawa sikap Mahros dah berubah sama sekali.

Mahros kini seorang pelajar yang tamak, mencuri, menipu dan menindas pelajar. Di depan cikgunya, Mahros masih seorang pelajar yang keputusannya cemerlang dan sopan kerana di depan cikgu-cikgunya, Mahros akan berubah watak.

Namun, perubahan Mahros dikesan oleh Ustaz Ismail kerana Mahros paling banyak keluar daripada kelasnya. Namun keputusan pendidikan Islam Mahros masih mendapat A.

“Rosak kalau dibiarkan Mahros begini. Ya, keputusan pendidikan Islamnya masih A, tapi ia serupa membaca Quran tapi tidak mengamalkan segala yang disarankan Allah,” bisik Ustaz Ismail di hati.

Ustaz Ismail memikirkan satu cara untuk mendedahkan wajah sebenar Mahros. Beliau mula merakam alasan-alasan yang diberikan Mahros untuk keluar daripada kelas agamanya.

Satu hari di kelas Ustaz Ismail, Mahros memberikan alasan bahawa dia dipanggil Cikgu Mala dan mohon keluar kelas. Ustaz Ismail merakam apa yang dikatakan Mahros dan membiarkannya keluar kelas. Selepas 5 minit, Ustaz Ismail menelefon Cikgu Mala bertanya apakah benar beliau memanggil Mahros.

“Tak adalah. Mengapa Mahros berkata begitu? Mesti ada sebab. Sebab dia budak baik jarang menipu,” kata Cikgu Mala di telefon.

Ustaz Ismail kemudian menyuruh Cikgu Mala dan cikgu-cikgu lain untuk bersama mencari Mahros, dengan alasan Mahros jarang menipu, takut Mahros menghilang kerana sebab-sebab tertentu.

Akhirnya Ustaz Ismail sengaja membawa Cikgu Mala dan cikgu-cikgu lain ke kedai koperasi melihat Mahros sedang menjual barang-barang di kedai koperasi.

Mahros terkejut dengan kehadiran semua cikgu yang menyayanginya.

“Mengapa kamu di sini? Tadi kamu berkata Cikgu Mala nak jumpa,” tanya Ustaz Ismail.

“Ustaz salah dengar kot. Saya kata ada cikgu panggil. Tak sebut Cikgu Mala pun. Cikgu Bijan yang panggil saya ke sini bantu, jadi saya datanglah. Kelas agama ustaz, jangan bimbang, saya tak masuk pun, saya tetap dapat score A,” cubaan menipu Mahros dengan nada kecil kerana ingin berlakon seperti dia dianiaya.

Ustaz Ismail tidak mahu berkata apa-apa. Beliau menelefon Cikgu Bijan dan suruh beliau datang ke kedai koperasi segera.

Cikgu Bijan pun sampai dan terkejut melihat semua cikgu berada di sini bersama Mahros.

“Apa halnya ustaz?” tanya Cikgu Bijan.

“Mengapa Mahros ada di koperasi? Tuan Bijan ada panggil dia ke?” tanya Ustaz Ismail.

Cikgu Bijan melihat mata Mahros, dan Mahros mengangguk.

“Ya. Saya panggilnya. Ada apa?” kata Cikgu Bijan.

“Dia selalu keluar kelas saya dan Tuan Bijan selalu memanggil dia keluar waktu saya mengajar?” tanya Ustaz Ismail.

Cikgu Bijan mula menggelabah kerana nada Ustaz Ismail agak keras.

“Ya. Sebab Mahros dah pandai agama. Dia dah selalu score A. Tak pergi kelas ustaz pun tak apa,” Cikgu Bijan cuba mempertahankan Mahros.

Ustaz Ismail masuk ke kedai koperasi mengambil satu lagi alat perakam suara yang dipasangnya tanpa pengetahuan Cikgu Bijan dan Mahros.

Ustaz Ismail memainkan perakam suara yang ada di tangannya di mana jelas menunjukkan Mahros memberitahunya Cikgu Mala memanggilnya.

Perakam suara kedua di kedai koperasi berbunyi:

“Kamu ponteng kelas Ustaz Ismail lagi? Alasan apa yang kamu guna kali ini?” tanya Cikgu Bijan pada Mahros.

“Kali ini saya kata Cikgu Mala panggil,” jawab Mahros sambil ketawa.

Wajah Mahros dan Cikgu Bijan terbongkar akhirnya. Pelajar-pelajar yang membeli di koperasi terus mengadu bahawa mereka dipaksa membeli harga barangan koperasi yang dijual Mahros pada harga yang lebih tinggi.

Ustaz Ismail mengarahkan Cikgu Bijan melakukan satu pemeriksaan stok ringkas – dan mendapati jumlah stoknya kurang daripada sepatutnya, menunjukkan bahawa Mahros telah mencuri.

“Cikgu-cikgu sekalian. Mahros seorang budak baik sebelum ini. Malangnya kepercayaan kita dan kuasa yang kita berikan pada dia telah merosakkan dia. Kita terpaksa bertindak untuk melucutkan jawatannya untuk menyelamatkan dia daripada terus melakukan dosa.

Lagipun, orang yang hilang kuasa lebih mudah bertaubat. Jika kita kekalkan kedudukan Mahros, walaupun dia berjanji akan berubah, ia tidak akan berlaku kerana kuasa yang ada di tangan tidak akan menyebabkan Mahros insaf sepenuhnya,” cadang Ustaz Ismail.

Kalian cikgu-cikgu semua setuju termasuk Cikgu Bijan. Cikgu Bijan turut memohan maaf atas kesilapannya terlalu memanjakan Mahros.

Dapat maksud tersirat cerita ini?

Untuk menyelamatkan Barisan Nasional, kita perlu menurunkannya daripada tampuk kuasa. Sebenarnya itu cara terbaik untuk kita membantu BN untuk mengurangkan dosa. Hanya setelah hilang kuasa, barulah boleh seseorang betul-betul bertaubat dan insaf.

Bagaimana nak turunkan kuasa BN? Tak perlu bertumbuk dan bersamseng seperti mereka. Kita hanya perlukan sebatang pen. Hari 5 Mei ini, pangkah Bulan, Roket atau Bulan kecil.

Senyum.

Jadilah agen perubahan.

INI KALILAH.

Jangan Terlalu Memuja Posmen

Ada seorang pakcik tua suka menerima surat.

Setiap hari dia akan menunggu kedatangan posmen.

“Terima kasih banyak-banyak. Anta paling hebat di dunia. Tiap-tiap hari ada surat untuk pakcik,” pakcik itu memuji posmen.

“Pakcik, ana ini penghantar surat sahaja,” jawab posmen itu.

“Tidak. Tanpa anta manalah surat ini dapat datang,” jawab pakcik itu kembali.

Pakcik ini menjadi terlalu memuja posmen.

Satu hari, di bulan Ramadhan…

Pakcik menunggu surat, tapi posmen tidak berhenti di depan rumahnya.

Untuk 4 hari berturut-turut, posmen tidak berhenti.

Hari ke 5, pakcik tak tahan, lalu menahan posmen.

“Mengapa anta tak hantar surat pada pakcik?” sergah pakcik itu.

“Sebab tak ada surat untuk pakcik,” jawab posmen itu.

“Mana mungkin tak ada surat. Sebelum ini, tiap-tiap hari anta akan hantar surat pada pakcik,” sergah pakcik itu lagi.

“Ana penghantar surat sahaja pakcik. Kalau tak ada orang hantar surat pada pakcik, ana tak ada apa yang boleh hantar pada pakcik,” jawab posmen dengan penuh sabar.

“Kalau tak ada surat, buatlah surat untuk pakcik! Itu pun tak tahu,” jawab pakcik itu.

Selepas seketika, surat pakcik mula datang kembali.

Satu hari, posmen itu memberitahu pakcik, “Besok ada orang baru ganti ana. Ana dah naik pangkat.”

“Habislah surat pakcik,” keluh pakcik itu.

Posmen tidak berkata apa-apa.

Besok posmen baru mula menghantar surat pada pakcik. Kebimbangan pakcik bahawa suratnya tidak sampai selepas posmen bertukar hilang bila posmen baru mengirimkan surat kepadanya.

“Bagusnya posmen baru ini. Surat masih datang seperti biasa. Tak sangka tukar posmen pun dapat lagi surat seperti biasa,” kata pakcik seperti biasa.

Anak pakcik yang mengirim surat setiap hari ke pakcik. Di bulan Ramadhan, anak pakcik kemalangan masuk hospital, tak sempat kirim surat, tapi juga tak beritahu pakcik kerana bimbang dia risau…

Begitulah kisah di mana pakcik terlalu memuja kebesaran posmen yang menghantar surat kepadanya, sehingga terlupa bahawa surat datang daripada pengirim surat. Posmen ini hanyalah pengirim sahaja. Jika ada surat, posmen akan hantarkan walau bertukar orang.

Begitu juga rezeki kita di bumi Allah. Rezeki kita Allah yang tentukan. Manusia jadi pengirimnya – kadangkala kerajaan jadi pengirimnya. Ada yang terlupa perkara ini sehingga menganggap kerajaanlah yang menentukan rezeki mereka. Walhal kerajaan ini pengirim sahaja. Bertukar kerajaan tidak akan menyekat rezeki yang Allah dah tentukan. Allah akan cari pengirim lain sekiranya rezeki itu dah ditentukan untuk kita.

Dapat cerita ini?


Senyum.

Tuesday, 30 April 2013

Alkisah raja dengan anjing…

Ketika Putera Ismail berusia 17 tahun, beliau menyelamatkan seekor anak anjing yang hampir lemas. Anjing itu diberi nama Si Perang.

Ketika itu, hujan lebat, tempat di mana anak anjing yang baru dilahirkan ini ditenggelami air.

Ketika Putera Ismail tiba, semua anak anjing sudah meninggal, hanya tinggal Si Perang.

Si Perang seekor anjing yang cantik. Putera Ismail sangat menyukainya. Beliau mengarahkan seorang budak suruhannya untuk menjaga Si Perang – makan, minum, mandi dan membawa Si Perang keluar untuk membuang air tiga hari sekali.

Oleh kerana sayang pada Si Perang, Putera Ismail setiap petang datang menjenguk Si Perang untuk bermain dengannya sekejap. Putera Ismail tidak dapat meluangkan masa yang banyak kerana terpaksa membantu pentadbiran ayahnya yang kini uzur.

Pada usia 18 tahun, Putera Ismail ditabalkan sebagai Raja ekoran kematian bapanya.

Masa yang diluangkan bersama Si Perang semakin berkurang.

Ada satu ketika, Raja Ismail terpaksa keluar berperang – 6 bulan baginda tidak kembali.

Setelah kembali dari perang, Raja Ismail meluangkan masa pergi menjenguk Si Perang. Baginda menjenguk Si Perang dari jauh, sedang gembira bermain dengan budak suruhannya yang dikerah menjaganya.

Raja Ismail tidak lagi turun bermain dengan Si Perang kerana kesibukan. Baginda hanya melihat dari jauh. Si Perang membesar dengan cantik.

Pada satu hari, selepas tamatnya perang, Raja Ismail teringatkan Si Perang dan ingin bermain bersamanya.

Sampai ke kandang Si Perang, baginda melihat bekas makanan Si Perang bersepah. Budak suruhannya tidak kelihatan. Si Perang turut tidak kelihatan.

Ketika Raja Ismail melutut untuk mengambil bekas makanan Si Perang untuk dibersihkan, baginda diterkam dari belakang.

Si Perang menyerangnya. Baginda terkejut.

Baginda cuba melawan dan melepaskan gigitan Si Perang. Kedengaran bunyi kuat, budak suruhan baginda cepat-cepat lari datang untuk menyelamatkan keadaan.

Si Perang melihat kedatangan budak suruhan terus melepaskan gigitan dan menghayunkan ekornya.

“Beta tuan dia. Dia berani gigit beta. Dia sini sudah tak tahu siapa tuan dia sebenar. Bagaimana kamu ajar dia?” jerit Raja Ismail dengan nada yang kuat.

Budak suruhan itu mengigil dan memohon ampun.

Selepas seketika, kemarahan Raja Ismail pun reda.

“Sebab budak suruhan yang beri makan kepadanya tiap-tiap hari, oleh itu Si Perang menganggap budak suruhan itu sebagai tuannya walhal duit makanan datang daripada baginda. Tapi Si Perang tak tahu,” bisik Raja Ismail di hati.

Raja Ismail bertindak menukarkan budak suruhan kepada budak suruhan yang baru. Si Perang sangat garang dengan budak suruhan yang baru sehingga budak suruhan baru tidak berani memberikannya makan.

Si Perang dibiarkan kelaparan dua hari. Kemudian, Raja Ismail menyuruh budak suruhan baru memberikannya makan. Si Perang mula berjinak dengan budak suruhan yang baru dan kini menganggapnya sebagai tuan.

Akan tetapi, Si Perang masih terlupa siapa tuannya yang sebenar. Raja Ismail memahami sesuatu sambil tersenyum.

Ketika berbicara dengan para pegawainya, baginda berkata:

“Kita hanya diamanahkan untuk menjaga rakyat. Jangan belot amanah yang diberikan Tuhan. Jangan kita jadikan diri seperti Tuhan. Jangan biar rakyat menganggap kita pula sebagai Tuhan. Tuhan ialah Tuhan, kita hanyalah posmen untuk menyampaikan rezeki kepada rakyat.

Kerajaan boleh ditukar bila-bila masa. Jangan buat rakyat seperti anjing, membiarkannya lapar dan tidak cukup makan, dan kemudian menganggap kita sebagai Tuhan kerana kita mengambil sedikit duit keluar untuk mengurang kesengsaraan dan kelaparan mereka. Itu zalim dan tidak betul. Rakyat bukan anjing. Kita sekadar budak suruhan Tuhan untuk menjaga rakyat. Jangan pula kita buat rakyat sebagai anjing, dan mereka menganggap kita, budak suruhan ini sebagai Tuhan.”

Semua pegawainya tabik hormat pada pandangan Raja Ismail. Raja Ismail pula berterima kasih kerana gigitan Si Perang membuatnya menyedari sesuatu yang cukup berharga dalam mentadbir negara.

Dapat isi tersirat?
INI KALILAH!
Jadilah agen perubahan dan kongsi cerita ini kepada mereka yang memerlukannya.

Monday, 25 March 2013

Alkisah Sebuah Hidangan Isteri

Mak saya suka memasak tapi mak bukan seorang suri rumah, mak seorang engineer. Ada satu malam, mak balik sangat kepenatan tapi masih perlu memasak untuk saya dan abah.

Mak hanya mampu masak ayam kunyit, sayur kailan ikan masin dan nasi. 3 hidangan itu diletakkan di meja makan di mana ayah duduk goyang kaki menunggu makan.

Ayah meminta diri untuk solat Maghrib dulu sebelum makan. Ketika itu saya mencuba hidangan mak. Alamak, ayam kuncit terlalu masin, kailan separuh masak dan nasi hanyit.

Namun saya diam.

Selepas Isyak, ayah menjamu makanan masakan mak. Sambil makan, ayah bertanya bagaimana sekolah hari ini.

Saya tidak berapa ingat apa jawapan saya.

Ketika makan, mak mohon maaf pada ayah atas masakannya. Tapi ayah menjawab, “Sangat sedap sayang. Abang suka semua hidangan ini.”

Malam itu, sebelum tidur, saya pergi bersalam dengan ayah yang masih di ruang tamu dan bertanya betul ke ayah suka masakan mak tadi yang saya sendiri terasa susah nak telan.

“Anakku, mak dah penat sepanjang hari kerja. Mak dah penat. Hidangan kurang enak tak melukakan Mie dan ayah tapi kata-kata kasar akan menghiris perasaan,” kata ayah.

Mendengar kata-kata ayah, saya tersentak.

Lalu saya masuk bilik untuk bersalam dengan mak dan bertanya…

“Mak rasa ayah tadi kata suka masakan mak hari ini, mak percaya ke?”

“Anakku. Itu tak penting. Yang penting ayah jaga hati mak dan selepas makan, ayah tolong mak cuci pinggan. Ayah kamu itu orang besar, tapi benda-benda kecil sebegini yang buat mak sentiasa rasa bahagia kerana terasa ayah betul-betul sayang kat mak,” jawab mak.

Itulah perkara yang berlaku ketika kecil dan saya mengingati sehingga hari ini.

Kini saya sudah berkahwin, anak sudah tiga – dan melihat kembali kenangan manis ayah dan emak, saya semakin memahami fikiran mereka pada masa itu.

Mak dan ayah dan tindak-tanduk mereka menunjukkan mereka menerima segala kelemahan antara satu-sama lain dan meraikan perbezaan tersebut supaya hubungan erat dan kukuh sentiasa berkekalan. Mereka meraikan segalanya antara mereka, dan berusaha bersama untuk memastikan pasangan mereka sentiasa gembira dan bahagia.

## Hidup ini terlalu singkat untuk sebarang kekesalan. Sayangi mereka yang melayan kita dengan baik dan kasihanlah pada mereka yang tidak.

Sebuah tulisan untuk renungan. ^_^

Saturday, 29 December 2012

5 minit ..

Alkisah 5 minit dalam kehidupan Ustazah Fatimah....

Di dalam sebuah taman terbuka, ustazah Fatimah duduk di bangku bertentangan dengan Ramli, seorang bapa yang turut membawa anak-anaknya untuk bermain di taman itu.

“Itu anak lelaki saya di sana,” kata Ustazah Fatimah sambil menunjukkan jarinya ke arah seorang budak lelaki berbaju merah yang sedang bermain basikal.

“Anak yang soleh,” jawab Ramli.

“Itu anak perempuan saya berbaju putih sedang bermain buaian” kata Ustazah Fatimah.

Ustazah Fatimah terus berbual dengan Ramli mengenai keluarga masing-masing.

Melihat jam menghampiri 630pm, Ustazah Fatimah bertanya ke anak lelakinya yang berusia 5 tahun, “Hamid, apa kata kita balik rumah masa dah nak masuk waktu Maghrib sekejap lagi?”

“Mak, lima minit lagi boleh?” jawab anak lelakinya.

Ustazah Fatimah menangguk. Selepas lima minit, Ustazah Fatimah bertanya lagi.

“Mid, masa dah sampai, jom balik,” katanya. “Mak, boleh lima minit lagi. Lima minit sahaja lagi,” rayu anak lelakinya lagi.

Ustazah Fatimah menggangguk ok sambil senyum.

“Ustazah memang seorang penyabar. Kalau saya, saya dah lama marah kat anak saya,” kata Ramli yang kagum dengan kesabaran Ustazah Fatimah.

“Abangnya Salih terbunuh dilanggar seorang pemandu mabuk tahun lepas semasa mengayuh basikal di sini. Saya tidak meluangkan masa yang banyak bersama abangnya Salih dan sekarang saya akan memberikan apa sahaja untuk menghabiskan lima minit lagi untuk bersama anak-anak saya. Saya berjanji tidak akan melakukan kesilapan yang sama pada anak-anak saya. Hamid rasa dia ada 5 minit lagi untuk mengayuh basikal. Tapi yang sebenarnya ialah, Allah memberikan saya 5 minit lagi untuk melihat anak saya bermain.”

Pengajaran: Hidup ini semuanya berkisar kepada apa yang penting dengan apa yang tak penting. Keluarga ialah benda terpenting bagi setiap orang, dan oleh itu, luangkan masa dengan sebaiknya bersama orang tersayang.

Berapa antara kita yang sudah terabaikan anak-anak kita semata-mata terlalu fokus dalam pekerjaan, perjuangan kita dan aktiviti masing-masing? Jaga prioriti dalam kehidupan, sesal kemudian tiada berguna.

Senyum.

Thursday, 27 December 2012

Ingat Tujuan Asal Kita

Alkisah bapak dengan anak…

Seorang bapa dan anak mengembara membawa seekor keldai untuk dijual…

Di Pekan pertama, bapa berjalan tapi anak menunggang keldai kerana keletihan, tapi penduduk mencemuh anak tidak bertimbang rasa kepada orang tua.

Di Pekan kedua, anak berjalan tapi bapa menunggang keldai, penduduk berkata bapa tidak berhati perut membiarkan anak kecil berjalan jauh, sepatutnya dua-dua naik keldai.

Di Pekan ketiga, anak dan bapa menaiki keldai, tapi keldai pengsan kehausan… penduduk mencemuh kata mereka kejam terhadap keldai dan menyuruh mereka membawa keldai ke klinik haiwan untuk dirawat.

Dalam perjalanan ke Pekan keempat, anak dan bapa terserempak sekumpulan serigala, keldai dalam kecemasan terjatuh ke dalam sungai… anak dan bapak kehilangan keldai, balik rumah dicemuh isteri mengapa tak jual keldai di Pekan pertama.

Pengajaran : Ramai yang suka memberikan komen sehingga kita lupa tujuan sebenar sesuatu isu. Dalam apa-apa situasi, ada yang sokong, ada yang tidak sokong, tapi apa yang penting sendiri harus menyokong dan yakin dengan keputusan sendiri dan berani menerima teguran sekiranya teguran berasas.

Jangan sesekali menjadi anak-bapak di atas, yang terlalu asyik mempedulikan komen yang remeh sehingga terlupa tujuan mereka menggembara adalah untuk menjual keldai tersebut.

Senyum

Wednesday, 26 December 2012

Tapi Saya Tiada Duit, Pakcik ..

Alkisah sebiji burger…

Malam itu, Kak Fidah bertengkar dengan emaknya lalu melarikan diri dari rumah. Semasa dalam perjalanan, Kak Fidah teringat bahawa dompetnya tertinggal dan dia tiada sebarang duit bersamanya.

Tiada syiling pun menelefon rumah untuk meminta pertolongan.

Pada masa yang sama, perutnya berbunyi kelaparan. Kak Fidah tiba di satu gerai burger ramli, yang baunya mengancam, kelaparannya bertambah.

Kak Fidah harapkan dapat satu burger ayam, tapi dia tiada duit.

Penjual burger yang sedar dengan kehadiran Kak Fidah melihat dia sedang mengigil ketakutan lalu bertanya…

“Adik dah makan belum? Kalau nak, ambil burger ayam ini untuk makan dulu,” kata penjual burger itu.

“Tapi saya tiada duit pakcik,” kata Kak Fidah dengan sipu-sipu.

“Tak apa, pakcik belanja. Mai, duduk sini makan,” kata penjual burger itu sambil membuat satu Milo panas untuk Kak Fidah.

Beberapa minit kemudian, Kak Fidah mengalirkan air mata…

“Mengapa sayang?” tanya penjual burger.

“Tiada apa. Cuma terharu dengan hati baik pakcik,” kata Kak Fidah sambil melapkan air matanya.

“Orang asing macam pakcik boleh bagi burger makan kat Fidah, tapi mak saya, lepas bertengkar dengan saya, dia halau saya keluar rumah. Kejam betul mak saya!” tambah Kak Fidah lagi.

Mendengar kata-kata Kak Fidah, penjual burger mengeluh.

“Adik, mengapa adik fikir begitu? Renungkan semula. Pakcik hanya beri adik satu burger, adik dah rasa terharu dan terhutang. Ibu adik membesarkan adik sejak kecil, mengapa adik tak pula rasa syukur malah bertengkar dengan ibu adik?” kata penjual burger itu.

Kak Fidah amat terkejut dengan jawapan itu, dan selepas berterima kasih dengan pakcik burger, dia terus berjalan menuju ke rumahnya.

Dalam perjalanan Kak Fidah asyik terfikir…

“Mengapa selama ini saya tidak terfikir perkara itu? Satu burger daripada seorang yang asing boleh membuat saya rasa terhutang, tapi mak saya yang membesarkan saya sejak kecil dan saya tidak berasa sedemikian, walaupun sikit.”

Kak Fidah memikirkan apa yang perlu dikatakan kepada emaknya apabila dia tiba di rumah… “Maafkan saya mak. Semua salah Fidah… maafkan saya mak.”

Sejurus tiba di rumah, Kak Fidah melihat wajah maknya yang penuh kebimbangan bertukar menjadi lega melihat kepulangannya setelah puas mencari…

“Fidah masuk. Mungkin dah lapar. Mak dah masak, jom makan,” kata maknya.

Fidah terus menangis di tangan maknya…

Pengajaran : Di dalam kehidupan, kita mudah menghargai perkara-perkara kecil yang dilakukan orang sekeliling kita, tapi untuk ahli keluarga kita sering merasakan apa yang dikorbankan mereka adalah normal dan patut dilakukan tanpa sebarang penghargaan.

Kasih sayang ibu-bapa dan keprihatinan mereka kepada kita adalah perkara paling berharga kurniaan Allah pada kita sejak dilahirkan. Ibubapa tidak pernah mengharap anak-anaknya membayar kembali kos membesarkan mereka… tapi pernahkah kita menghargai dan bersyukur dengan pengorbanan tanpa syarat ibubapa kita?

Senyum

Kerana RM40 Juta..

Alkisah Kak Ros dengan Din Pak…

Kak Ros dan Din Pak adalah jiran. Kak Ros adalah seorang taukeh tanah dan Din Pak cumalah seorang petani yang miskin.

Din Pak seorang yang relaks dan gembira sentiasa. Mindanya tenang dan aman. Pada waktu malam, Din Pak tak tutup pintu mahupun tingkat ketika tidur. Tidurnya cukup nyenyak setiap malam. Meskipun miskin, beliau mempunyai satu kehidupan yang aman dan tenang.

Kak Ros pula sebaliknya – beliau sentiasa hidup dalam keadaan tension. Pintu dan tingkap rumahnya selalu menjadi tumpuan pada waktu malam – beliau mesti memastikannya ditutup berlapis-lapis. Beliau tidak tidur lena kerana sering terbayang ada perompak yang bakal masuk ke rumah untuk mengambil duitnya.

Kak Ros amat iri hati dengan ketenangan yang dinikmati oleh Din Pak.

Satu hari, Kak Ros memanggil Din Pak dan memberikannya satu kotak penuh dengan duit kertas berjumlah RM40 juta.

“Din Pak, kawanku, saya dikurniakan kekayaan melampau kerana mahir menabung dari kecil. Tapi saya dapati Din Pak dalam kemiskinan. Ambillah duit tak seberapa ini dan hiduplah dalam kemakmuran,” kata Kak Ros kepada Din Pak.

Din Pak cukup gembira dengan duit hadiah tersebut. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih pada Kak Ros. Din Pak dan senyuman dan kegembiraannya cukup terpancar di siang hari.

Malam mendatang, Din Pak hendak tidur seperti biasa. Tapi hari ini, beliau tidak dapat tidur. Beliau bangun dan sembahyang sunat, tapi masih tidak dapat tidur.

Beliau pergi menutup pintu dan tingkap. Masih tak boleh tidur. Beliau lihat pada kotak duit RM40 juta yang diberi Kak Ros. Satu malam beliau terganggu dalam tidur beliau.

Sejurus solat subuh, Din Pak terus mengambil kotak duit RM40 juta ke rumah Kak Ros. Beliau memberi balik kepada Kak Ros.

“Wahai kawanku. Ya saya dalam kemiskinan. Tapi kotak duit ini telah merompak ketenangan hidup saya semalam. Maafkan saya, dan ambillah balik duit ini,” kata Din Pak yang mengejutkan Kak Ros.

Pengajaran: Lu fikirlah sendiri malam ini ya…

Senyum

Monday, 24 December 2012

Mak Cik Cleaner

Alkisah satu soalan pelik…

Syarikat yang Izwan bekerja, setiap akhir tahun akan diadakan satu ujian sebagai penentuan kenaikan gaji selain daripada prestasi tahunan dalam kerja.

Tahun ini, majikannya Nihat memberikan 10 soalan. Izwan yang sudah tiga tahun menjadi pekerja terbaik dapat menjawab 9 soalan pertama dengan mudah sehinggalah soalan akhir, beliau terpegun…

“Siapakah nama wanita yang selalu membersihkan tempat kerja anda?” baca soalan itu.

Izwan merasakan soalan ini tak serius dan bagaikan jenaka jika ia betul adalah sebahagian daripada soalan untuk menentukan kenaikan gaji.

Izwan bertemu dengan makcik yang membersihkan tempat kerjanya tiap-tiap hari – agak gempal, rambut berwarna hitam and di dalam tahun 50-an, tapi Izwan tak pernah tahu nama makcik tersebut.

“Ini soalan sengaja nak hiburkan hati aje… tak jawab tak apa kot,” bisik Izwan dalam hati lalu membiarkan ruang jawapan soalan itu kosong.

Selepas kelas, salah seorang pekerja bertanya kepada Nihat samada soalan terakhir akan dikira markah.

“Sudah tentu,” jawab Nihat. “Di dalam hidup kita, terutamanya dalam kerja, kita akan berjumpa dengan ramai orang. Semua mereka ini adalah significant dalam hidup kita, kalau tidak, Allah tidak akan mempertemukan kita. Setiap mahkluk Allah ini wajar diberikan perhatian, dan sedikit ambil tahu, walaupun apa yang kita lakukan hanyalah ‘senyum’ dan bertanya khabar.”

Izwan tidak pernah melupakan kata-kata majikannya sejak hari ini. Izwan turut mengetahui makcik yang membersihkan mejanya bernama Kimala.

Senyum.

Sunday, 23 December 2012

Sekarang, baru Farid faham..

Alkisah seorang pemain silat

Farid seorang budak berumur 10 tahun mengambil keputusan untuk belajar silat walaupun baru kehilangan tangan kiri dalam satu kemalangan kereta yang ngeri.

Farid berjumpa dengan seorang pakar pengamal silat, Ustaz Idris untuk memahirkan diri dalam bidang silat.

Farid tekun dan menjadi cekap dalam apa yang dipelajarinya. Namun, selepas tiga bulan, Farid tertanya-tanya mengapa Ustaz Idris hanya mengajarnya satu teknik silat sahaja.

“Ustaz,” Farid akhirnya bertanya kepada Tok gurunya, “Farid rasanya ada patut belajar teknik baru…”

“Tidak. Ini saja teknik yang Farid tahu, dan ini sahaja teknik yang Farid perlu tahu,” jawab Ustaz Idris.

Farid tidak gembira dengan jawapan Tok gurunya, namun dia tak berani melawan dan terus tekun memahirkan diri dalam teknik yang satu tersebut.

Setelah beberapa bulan, Ustaz Idris membawa Farid ke pertandingan silat kebangsaan.

“Ustaz, Farid hanya ada satu teknik…. Mesti kalah Farid, mengapa ustaz nak Farid bertanding sedangkan Ustaz tidak rela mengajar teknik-teknik yang lain pada Farid selama ini? Dahlah Farid hanya mempunyai satu tangan sahaja…” rungut Farid.

Ustaz Idris hanya tersenyum.

“Farid, sabar dan lihat dulu. Cuba pergi cuba teknik yang Farid belajar di sini, nanti kita bincang. Usah bimbang, ustaz akan duduk tepi bagi petunjuk,” jawab Ustaz Idris.

Walaupun dengan satu teknik, Farid menang dua perlawanan pertama dengan mudah dan keyakinannya bertambah.

Perlawanan ketiga agak payah, namun Farid bertahan sehingga lawannya tidak sabar dan melakukan kesilapan dan membolehkan Farid menggunakan satu-satunya teknik yang dipelajarinya untuk memenangi perlawanan tersebut.

Farid akhirnya tiba di perlawanan akhir. Lawannya berusia 18 tahun, lebih besar, kuat dan berpengalaman.

Untuk seketika waktu, Farid kelihatan tidak terlawan dengan lawannya yang 8 tahun lebih tua. Pengadil perlawanan bimbang bahawa Farid akan cedera meminta perlawanan dihentikan.

Ustaz Idris membantah dan menyuruh pengadil meneruskan perlawanan sambil membisikkan pada telingan Farid, “Jangan takut, guna sahaja segala kemahiran untuk menggunakan teknik silat yang Farid tahu untuk menumbangkan lawan.”

Melihat Farid yang keletihan, lawannya berlawan secara sambil lewa kerana beranggapan beliau tidak mungkin kalah pada budak 10 tahun. Farid menggunakan peluang tersebut untuk menggunakan satu-satunya teknik silat yang dipelajarinya untuk mencengkam lawan dan akhirnya menjadi juara pertandingan.

Dalam perjalanan pulang, Farid dan Ustaz Idris melihat kembali video pertandingan yang dirakamkan Ustaz Idris.

Farid mengambil keberanian untuk bertanya pada Tok Gurunya…

“Bagaimana Farid boleh menang dengan satu teknik saja…” tanya Farid.

“Farid menang atas dua sebab. Satu sebab Farid mahirkan diri dalam teknik yang paling sukar dalam silat. Kedua, cara mengatasi teknik tersebut ialah lawan mesti cuba memegang tangan kiri Farid,” kata Ustaz Idris.

“Maksudnya Ustaz, kecatatan Farid, ustaz telah jadikannya sebagai kekuatan paling hebat pada Farid selama ini…” tanya Farid untuk mendapat kepastian.

Ustaz Idris tersenyum, “Akhirnya Farid faham mengapa ustaz latih Farid dengan sedemikian.”

Pengajaran: Kadang-kala kita terasa ada kelemahan, dan kita merungut mengapa situasi ‘tidak adil’ itu berlaku kepada kita… tanpa sedari bahawa daripada kelemahan tersebut, Allah dah sediakan jalan untuk menjadi sumber kekuatan kepada kita. Setiap kita adalah unik dan penting, jangan anggap sendiri ini cacat dan penuh kelemahan, jangan berfikir mengenai ‘air muka’ dan kesusahan, buatlah yang terbaik dan cuba capai yang terbaik dalam segala yang diusahakan. Nescaya kita akan menjadi juara seperti Farid walaupun terpaksa berlawan dengan satu tangan.

Senyum.

Dihargai

Anak: "Mak, anakanda tak nak bantu orang lagi. Tiada siapa yang ingat anakanda yang bantu."

Ibu: "Anakanda marah pasal apa sebenarnya? Anknda nak orang ucap terima kasih, nak cikgu berterima kasih dan memuji betapa pentingnya anakanda atau nak orang lain naikkan nama anknda?"

Anak: "Anakanda tak nak rasa apa-apa selain rasa dihargai. Anakanda cuma nak rasa jasa anakanda dihargai."

Ibu: "Lihat keadaan anakanda sekarang. Sihat, walaupun perlu menaiki bas ke sekolah setiapa hari, namun anakanda masih selamat. Lihat mak dan ayah anakanda, semuanya masih sihat.
Lihat anakanda diri sendiri, anakanda dah banyak berubah menjadi baik..."

Anak: Tapi itu bukan cara anakanda nak rasa dihargai.

Ibu: Segala itu adalah anugerah Allah. Buat baik dibalas baik - Jangan buat benda dengan harapan akan jasamu akan dihargai - Jika tidak kamu terasa seginggung.

Anak: Maksudnya, apa yang anakanda guna selama telah dihargai oleh Allah....

Ibu: Ya... sambil tersenyum

Pengajaran : Ingat, buatlah kebajikan demi Allah bukan untuk dihargai. Jika anda buat sesuatu dengan harapan dihargai, anda akan bertemu dengan segala kesedihan yang ada di dunia ini.

Senyum

Friday, 21 December 2012

Jangan Perasan..

Alkisah sebuah kapal tersandar…

Kapal yang dinaiki Khairy dan Nasrudin rosak akibat ribut dan mereka hanya mampu berenang ke sebuah pulau kecil yang bagaikan gurun.

Dua sahabat karib itu tidak tahu apa yang boleh dilakukan selain berdoa kepada Allah swt.

Untuk melihat doa siapa yang lebih kuat dan dimakbulkan, Khairy mencadangkan agar mereka membuat sempadan di pulau tersebut, dan mereka tinggal berasingan satu di Timur dan di Barat.

Perkara pertama yang mereka doakan ialah makanan. Pagi keesokan, Khairy terjumpa sepohon pokok buah di dalam kawasan sempadan pulaunya. Buah itu boleh dimakan. Kawasan Nasrudin tiada ada apa-apa penemuan, tapi Nasrudin hanya senyum.

Setelah seminggu, Khairy mendoakan agar dapat mendapat pakaian baru untuk ditukar. Besok harinya, ada benda terapung dibawa ombak menghala ke kawasan pulaunya. Ia adalah peti dengan pakaian baru. Di sebelah Nasrudin, masih tiada apa-apa, namun beliau senyum melihat Khairy mendapat baju baru.

Melihat doanya dimakbulkan, Khairy mula berdoa untuk lebih banyak perkara… termasuk rumah, pakaian dan lebih makanan – apa yang diminta semua diperolehi. Nasrudin masih tidak mempunyai apa-apa selain terpaksa menangkap ikan dan makanan laut setiap hari untuk meneruskan kehidupan.

Akhirnya Khairy mendoakan agar mendapat sebuah kapal untuk meninggalkan pulau tersebut. Besok paginya, betul terdapat satu kapal yang tersandar di tepi pantai kawasannya. Khairy terus menaiki kapal tersebut dan membuat keputusan untuk meninggalkan sahabat karibnya Nasrudin seorang diri di pulau.

Khairy merasakan Nasrudin tidak layak menerima segala kurniaan Allah padanya kerana doa Nasrudin sehingga kini tiada satupun yang dimakbulkan. Akhirnya Khairy meninggalkan Nasrudin dalam keadaan diam-diam ketika Nasrudin tidur petang.

Di tengah lautan, Khairy tertidur dan termimpi…. Ada suara dari langit…

“Mengapa kamu sanggup meninggalkan kawan baik mu seorang diri di pulau tersebut?”

Khairy menjawab, “Semua doa dia tak dimakbulkan, dia tak layak menerima apa-apa.”

“Kamu tersilap!” kata suara dari langit tersebut. “Nasrudin hanya ada satu doa, yang dimakbulkan Allah. Jika tak ada, kamu takkan dapat apa yang kamu dapat.”

“Apa dia? Apa yang didoakan Nasrudin sehingga saya perlu terhutang padanya? Semua ini hasil doa saya sendiri yang kuat,” kata Khairy dengan angkuh.

“Nasrudin mendoakan agar segala doa Khairy dimakbulkan…” setelah habis kata-kata tersebut Khairy dikejut bangun oleh satu pancaran petir yang kuat.

Khairy menyesal dan terus balik mencari Nasrudin di pulau tersebut untuk melihat apakah benar Nasrudin berdoa untuknya…

Setibanya di pulau tersebut, Nasrudin gembira melihat Khairy.

“Alhamdulilah. Allah Maha Esa, ana bimbang anta hilang, nasib baik Allah mendengar doa aku untuk membawa anta kembali dengan selamat ke pangkuanku dan memberikan satu kapal kepada kita untuk meninggalkan pulau ini bersama-sama,” kata Nasrudin.

Khairy tidak mampu berkata apa-apa mendengar kata-kata Nasrudin seperti apa yang dimimpikannya. Beliau hanya mampu memeluk Nasrudin dan memohon keampunannya atas segala kezaliman beliau terhadapnya yang tidak disedari sahabatnya. 

Pengajaran: Jangan ingat perkara baik yang berlaku adalah atas doa sendiri sahaja tapi ia adalah hasil daripada doa-doa jamaah, rakan kita yang turut mendoakan kebaikan pada kita. Hargailah kawan dan jangan tinggalkan mana-mana sahabat dan orang terdekat di belakang.

Senyum.

Saturday, 15 December 2012

Cantiknya Lukisan Ni.. ^__^

Alkisah seorang pelukis

Seorang pelukis, namanya Nasrudin, beliau sangat pakar dalam melukis pemandangan. Anak beliau turut pandai melukis.

Setiap kali Nasrudin habis melukis, anaknya akan melukis satu lukisan pemandangan untuk mendapat pujian daripada bapanya.

“Tidak berapa bagus. Ini perlu penambahbaikan,” kata Nasrudin.

Setiap kali anaknya melukis, setiap kali Nasrudin akan memberikan alasa

n kata ianya tidak cukup bagus.

Setelah sekian lama, anaknya memberitahu diri sendiri – “Ayah saya tidak akan memuji lukisan saya.”

Setelah melukis satu lukisan pemandangan satu hari, anaknya menanam lukisan tersebut di dalam tanah tanpa pengetahuan Nasrudin.

Selepas sebulan berhenti bertanya kualiti lukisan, anaknya mengeluarkan tulisan itu dan menunjukkan kepada Nasrudin.

“Ayah, saya terjumpa lukisan ini di bawah tanah.” Anaknya menunjukkan lukisan tersebut kepada Nasrudin. “Cantik tak lukisan ini.”

Nasrudin berkata, “Cantik, sayang kena melukis seperti ini.”

“Tapi ayah, ini lukisan anakanda,” sampuk anaknya dengan cepat.

Nasrudin tersebak melihat karenah anaknya.

“Selepas ini, anaakanda tidak akan memajukan diri lagi. Ayah selalu mengkritik lukisan adalah agar anakanda sentiasa mencapai kemajuan. Tapi setelah hari ini, teknik lukisand anakanda tidak akan lagi bertambah baik,” kata Nasrudin.

Pengajaran cerita ini – pujian sekali-sekala perlu supaya orang lain tidak berputus asa seperti anaknya. Teguran ada positif di sebaliknya – ia bergantung pada reaksi.

Tapi jika teguran terbuka, contoh kalau Nasrudin menegur lukisan anaknya tidak bagus di khalayak ramai, ia memudaratkan keadaan hubungan Nasrudin dengan anaknya, bahkan anaknya akan terus berputus asa kerana kemaluan ditegur bapa sendiri dan ejekan kawan yang mengggunakan kata-kata Nasrudin.

Nak buat teguran membina kena ada adab dan bertempat. Jika ia salah masa dan tempat, teguran membina akan jadi teguran memusnahkan masa depan seseorang dan memberi peluang untuk musuh bertindak.

Senyum.

Letakkan Gelas Air Sebelum Tidur

Alkisah segelas air….

Ustaz Zul memulakan kelas agamanya dengan mengangkat secawan air gelas berisi air di dalamnya.

“Kalian, agaknya berapa berat air di dalam gelas ini?”

“200 gram… 300 gram…. Setengah kilo,” jawab para pendengar kuliah mingguan beliau.

“Hebatlah kalian…. Ana sendiri tak tahu melainkan ana pergi timbang,” sindir Ustaz Zul.

“Tapi soalan ana yang sebenar ialah, apa yang akan berlaku jika ana mengangkat gelas ini sedemikian untuk beberapa minit…” tanya Ustaz Zul.

“Tak ada apa yang berlaku,” jawab hadirin kuliah.

“Ok. Apa yang akan berlaku sekiranya ana pegang atas sebegini untuk sejam?” tanya Ustaz Zul lagi sambil memegang gelas itu tinggi di atas.

“Lengan tangan ustaz akan lenguh,” jawab satu hadirin kuliah.

“Pandai. Betul tu. Jikalau ana nak teruskan mengangkat gelas ini untuk sehari….” Ustaz Zul mengusik hadirin lagi.

“Tangan ustaz akan kebas, otot lengan akan stress, mungkin lumpuh dan kena ke hospital doh ini ustaz. Pasti!” jawab seorang hadirin sambil tergelak.

“Bagus! Bagus! Tapi semasa ini berlaku, adakah berat gelas ini berubah?” tanya Ustaz Zul…

“Tak ustaz,” jawab hadirin.

“Jadi apa yang menyebabkan lengan sakit dan otot stress?” tanya Ustaz Zul lagi.

Semua hadirin terdiam… masing-masing tidak dapat menjawab….

Ustaz Zul tetiba bertanya lagi, “Jadi apakah yang perlu ana lakukan untuk hilangkan kesakitan tangan?”

“Letak saja gelas tu ustaz. Mudah dan selesai semua perkara,” jerit satu hadirin.

“Tepat sekali!!” jawab Ustaz Zul sambil menyambung….

“Begitu juga dengan masalah dalam kehidupan. Ambil untuk beberapa minit dalam kepala, rasanya ok tak sakit. Fikirkannya untuk masa yang lama, akan timbul pelbagai sakit seperti lengan tangan tadi. Pegang lagi masalah itu, ia akan lumpuh hidup enta semua. Enta tak akan dapat melakukan apa-apa.

Adalah penting untuk memikirkan penyelesaian kepada cabaran dalam hidup, tapi apa yang lebih penting belajarlah untuk meletakkan gelas air setiap hari sebelum tidur. Dengan ini, enta semua tidak merasa stress, dan bangun besok dengan segara untuk mengatasi cabaran yang bakal mengunjung mengikut ketentuan Allah dalam hidup sementara ini.

Letakkan gelas air itu sebelum tidur.

Senyum.

Tulis atas Batu dan Pasir

Alkisah 2 orang sahabat….

Zul dan Timi adalah dua orang sahabat yang karib.

Satu hari ketika berjalan merentasi gurun, disebabkan satu pertengkaran, Zul telah menampar Timi di muka.

Timi yang kesakitan tidak berkata apa-apa lalu menulis di atas pasir – “Hari ini sahabat paling karib ana menampar ana di muka” – beliau senyum dan meneruskan persahabatan dengan Zul.

Satu hari ketika bermandi di s

ungai, Timi hampir lemas dihanyut air dan diselamatkan Zul. Timi mencari sebutir batu dan menulis – “Hari ini sahabat paling karib ana menyelamatkan ana” – beliau senyum dan meneruskan persahabatan dengan Zul.

Zul kelihatan sikap pelik Timi bertanya – “Ketika ana menampar enta, enta tulis atas pasir. Ketika ana menyelamatkan enta, enta tulis atas batu. Mengapa ya?”

Timi menjawab – “Ustaz Him mengajar apabila kita disakiti seseorang, kita harus menulis di atas pasir, di mana angin dan air dapat memadamkannya. Apabila seseorang berbuat baik kepada kita, kita harus mengukir di atas batu, di mana air dan angin tidak dapat memadamnya.”

Dapat isi tersirat?

Hayati rakan-rakan yang dikurniakan Allah kepada kita dengan seadanya terutamanya sahabat karib.

Bukan mudah untuk menjumpai seorang sahabat karib yang boleh berkongsi masalah hati dan sebagainya. Bila dah terjumpa, jaganya dengan baik dan belajar saling memaafkan atas kekurangan masing-masing.

Fokus pada kesamaan dan jangan memaksa pada perkara berbeza.

Senyum 

"Cantik Ustaz.."

Alkisah bunga dandelion….

Seorang pemuda Luqman telah membina sebuah taman bunga kecil di depan rumahnya…

Bunga tumbah dengan mekarnya dan kecantikannya dipuji oleh sesiapa sahaja yang berlalu dengan rumah Luqman.


Dalam kalangan bunga yang cantik tersebut, tumbuh juga pokok sampingan seperti dandelion yang tidak disukai Luqman.

Luqman memikirkan pelbagai cara untuk menghapuskan dandelion yang tumbuh bersama bunganya... ditanya pekebun sana sini untuk mendapatkan penyelesaian….

Tapi tak jumpa juga.

Akhirnya Luqman pergi bertanya dengan pekebun istana yang mengendalikan taman istana yang jauh besar untuk mendapatkan penyelesaian untuk menghapuskan dandelion.

Pelbagai cara yang diberikan oleh pekebun istana tersebut kepada Luqman tapi ia tetap tidak berjaya menghapuskan rumpai tersebut…

Akhirnya, Luqman duduk bersama pekebun istana di dalam sebuah surau… mengeluh mengenai kegagalan mereka untuk menghapuskan dandelion yang dianggap mencemari taman kecantikan di rumahnya.

Keluhan mereka didengari Ustaz Ismail … “Saya ada penyelesaian kepada masalah enta.”

Ustaz Ismail menyerahkan gambar di bawah kepada Luqman.

“Cantiknya ustaz… apa gambar ini?” tanya Luqman.

“Alah ini pun tak tahu.. ini gambar bunga yang ingin dibunuh entalah. Hayati kecantikan dandelion yang dicipta Allah ini yang datang mewarnai taman bunga enta maka masalah enta akan hilang. Mudahkan?” kata Ustaz Ismail sambil tersenyum.

Senyum.