Showing posts with label Hudud. Show all posts
Showing posts with label Hudud. Show all posts

Saturday, 24 November 2012

5.Jenayah Meminum Khamar


Intro
Arak, tuak, dadah dan apa jua bahan narkotik, kesemuanya termasuk dalam kategori khamar yang diharamkan oleh syari'at. Mengambil dan menggunakan bahan-bahan ini, sama ada melalui mulut, suntikan atau cara-cara lain, adalah perbuatan tidak bermoral yang hina kerana menyebabkan seseorang itu kehilangan daya pertimbangan akal dan merosakkan kewarasannya. Dalam keadaan mabuk, seseorang boleh melakukan tindakan-tindakan yang tidak tergamak dilakukan oleh orang-orang yang berakal. Malah pemabuk sendiri merasa malu setelah dia sedar kembali. Pemabuk juga mungkin melakukan perbuatan-perbuatan jenayah yang lebih serius dan mungkin juga menyebabkan pelbagai bahaya. Misalnya jika memandu dalam keadaan mabuk dan khayal boleh membahayakan diri sendiri dan orang-orang lain.

Di samping itu, ketagihan arak, dadah dan sebagainya boleh menjejaskan kepentingan keluarga, masyarakat dan negara. Bagaimanakah seseorang yang selalu mabuk boleh diharapkan dapat menjalankan tugas dengan sempurna terhadap keluarga, masyarakat dan negara? Justeru akal sebagai nikmat yang paling besar dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia mesti sentiasa dipelihara. Masyarakat juga mesti dilindungi daripada angkara orang yang sengaja merosakkan daya pertimbangan akal warasnya iaitu dengan mengenakan hukuman yang sewajarnya ke atas penjenayah berkenaan.

Hukuman ke atas Peminum Khamar
Menurut sunnah Nabi SAW dan Khulafa' Ar-Rasyidin, peminum arak (dan pengambil bahan-bahan lain yang memabukkan) dikenakan hukuman 80 kali sebatan.

Cara Mensabitkan Jenayah Meminum Khamar
Jenayah ini disabitkan dengan penyaksian saksi-saksi atau dengan pengakuan pesalah sendiri. Hukuman dijatuhkan ketika pesalah dalam keadaan sedar supaya dapat merasakan kesan hukuman sepenuhnya.

Friday, 9 November 2012

4.Jenayah Hirabah

Hirabah ialah rompakan bersenjata atau tindakan ganas yang dilakukan di jalan-jalan awam dengan menceroboh para penggunanya, mengancam keselamatan mereka dan merampas harta benda mereka. Ini merupakan sejenis jenayah yang sangat serius dan marabahaya. Justeru, hukuman yang paling keras mesti dikenakan ke atas pelakunya untuk menjamin keamanan di jalan-jalan awam dan memelihara keselamatan para penggunanya.

Hukuman Ke Atas Penjenayah Hirabah
Hukuman hudud yang ditetapkan dalam syari'at Islam ke atas pelaku jenayah hirabah dinyatakan di dalam Al-Quran pada surah Al-Ma'idah ayat 33 :

Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.
Ayat di atas menerangkan hukuman-hukuman berbeza yang ditetapkan ke atas penjenayah hirabah menurut perbezaan cara-cara jenayah yg dilakukan:

  • Jika perompak membunuh orang maka dia dibunuh balas.
  • Jika dia hanya merampas harta dan tidak membunuh maka dipotong tangan dan kakinya. Hukuman ini lebih keras daripada hukuman curi kerana jenayah hirabah lebih kejam dan lebih membahayakan kehidupan mangsanya.
  • Jika perompak membunuh pengguna jalan di samping merampas harta bendanya maka dia dibunuh balas serta disula. Tujuan disula setelah dibunuh adalah untuk menakutkan dan mencegah perbuatan yang sama dilakukan oleh orang-orang lain. Perompak itu sendiri yang telah dibunuh tentu tidak boleh mengambil apa-apa pengajaran daripada hukuman sula ini kerana dia telah mati.
  • Jika penjenayah hanya menakut-nakutkan orang, maka dia hanya dibuang negeri atau daerah; sebab semata-mata ugutan tidak meninggalka sebarang kesan material terhadap sasaran jenayah. Maka pemencilnya dari tempat asalnya dikira memadai. Begitupun makhamah boleh menambahkan hukuman ta'zir ke atas penjenayah sebegini jika didapati perlu.


Sunday, 4 November 2012

Syarat-syarat Untuk Mensabitkan Jenayah Curi

Pertama : Pencuri mengeluarkan harta mangsanya secara senyap atau secara diam-diam daripada tempat simpanannya, lalu memasukkannya kedalam miliknya. Jika pemilik barang itu cuai daripada menjaga harta kepunyannya seperti meletakkan di tempat awam, lalu ia diambil oleh seseorang, maka tangan orang yang mengambilnya tidaklah dipotong.

Kedua : Barang yang dicuri merupakan harta yang terhormat serta ada nilai materialnya di sisi syara'. Jika seseorang mencuri arak misalnya, maka dia tidak dikenakan hukuman hudud kerana arak tidak mempunyai nilai material dalam pandangan syara'.

Ketiga : Barang yang dicuri bukan milik orang yang mencuri itu sendiri. Jika seseorang mencuri balik hartanya yang telah dirampas oleh orang tertentu, atau mencuri barang yang tiada pemiliknya, atau mencuri harta seseorang yang berhutang kepadanya tetapi enggan membayar balik hutang itu, maka dalam situasi-situasi sedemikian pencuri tidak dikenakan hukuman hudud.

Keempat : Pencuri hendaklah tahu bahawa dia melakukan jenayah curi, yakni ada niat mencuri ketika melakukan perbuatanitu. Jika seseorang mengambil barang kepunyaan orang lain dengan tujuan meminjamnya, atau mengambil sesuatu benda dengan sangkaan ianya harus, atau sesuatu daripada rakannya dengan andaian bahawa rakan itu merelainya, maka dalam situasi-situasi begini hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kerana ketiadaan niat untuk melakukan jenayah curi. Mungkin hukuman ta'zir boleh dikenakan dalam keadaan demikian sekiranya didapati ada kewajarannya.

Sunday, 28 October 2012

3.Jenayah Curi

Muqaddimah
Perbuatan mencuri adalah salah satu jenayah besar yang diharamkan oleh syari'at Islam. Memenuhi keinginan diri sendiri untuk memperoleh harta dengan cara yang menyakitkan orang lain adalah satu perbuatan keji yang tidak harus diremehkan. Jenayah ini tidak mungkin dirawat dengan hukuman-hukuman yang ringan kerana ia tidak akan dapat mencegah pencuri daipada mengulangi perbuatan jahatnya itu di samping tidak mampu menghalang orang lain daripada melakukan tindakan yang sama. Hanya hukuman yang keras sahaja seperti memotong tangan pencuri mampu menghalang seseorang daripada melakukan jenayah ini, seterusnya berusaha mendapatkan harta menerusi jalan halal memandangkan jalan yang haram akan mengakibatkan tangannya menjadi kudung.

Hukuman Ke Atas Pencuri
Maka untuk mencegah jenayah yang serius ini, perundangan Islam menetapkan hukuman memotong tangan pencuri tanpa belas kasihan setelah kesalahannya disabitkan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ma'idah:38


Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Walaupun hukuman ini kelihatan keras, namun jenayah curi yang diiringi dengan ancaman terhadap keamanan awam dan pencabulan ke atas hak-hak orang ramai sebenarnya adalah lebih kejam dan ganas. Seseorang yang tergamak mengambil harta orang lain ketika kelekaan mereka untuk memuaskan dirinya yang kemaruk harta tidak berhak mendapat simpati dan kasihan belas dari sesiapa pun. Sebaliknya orang yang menjadi mangsa curi yang memerlukan simpati dan belas kasihan. Maka hukuman keras yang ditetapkan dalam syari'at Islam inilah yang mampu mengurangkan kes-kes kecurian dalam masyarakat Islam pada zaman dahulu ketika mana hukuman Hudud dikuatkuasakan.

Saturday, 27 October 2012

2.Jenayah Qazaf

Qazaf adalah tuduhan yang dibuat oleh seseorang terhadap orang tertentu yang berkaitan dengan nasabnya(keturunannya yang dikatakan tidak sah), akhlak atau kelakuannya, dengan tujuan hendak menghinanya dan merosakkan nama baiknya. Tuduhan ini didorong oleh perasaan hasad dengki yang bersarang dalam hati penuduh terhadap tertuduh.

Segala jenis qazaf adalah haram hukumnya dan pelakunya dikenakan hukum hudud atau ta'zir jika sabit kesalahan. Walau bagaimanapun, tuntutan supaya pesalah qazaf dihukum hanya boleh dikemukakan oleh mangsa sendiri kerana jenayah berkenaan hanya menimpa dirinya seorang sahaja. Jika mangsa tidak mahu mengemukakan dakwaannya, tiada siapa pun yang berhak menggantikannya.

Hanya qazaf dalam kes zina dan kes penafian nasab sahaja yang dikenakan hukuman hudud. Jenis-jenis qazaf yang lain hanya dikenakan hukuman ta'zir yang diserahkan kepada pihak makhamah untuk menentukan kadar dan caranya.

Hukuman Qazaf
Jika seseorang penuduh qazaf didapati gagal membuktikan kesahihan tuduhannya(dengan mengemukakan 2 orang saksi atau qarinah yang meyakinkan) maka ketika itu dia dihukum dengan 2 cara hukuman berikut :
  1. 80 kali sebatan.
  2. Tidak akan diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana perbuatan menuduh orang lain tetapi tidak dapat membuktikan kesahihan tuduhannya itu adalah dianggap sebagai qarinah atau tanda pembohongannya. Maka, seorang pembohong tidak boleh diterima penyaksiannya.
Dalil bagi hukuman qazaf adalah dalam firman Allah SWT, Surah An-Nur ayat 4 :


Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; -
Jenayah Qazaf disabitkan dengan penyaksian 2 orang saksi yang adil atau dengan pengakuan pesalah sendiri. Hukuman ini gugur dengan para saksi menarik balik penyaksian mereka, atau dengan terbatalnya keahlian para saksi kerana sebab-sebab tertentu.

Pengguguran Hukuman Zina

Hukuman Zina digugurkan dalam situasi-situasi berikut :

  • Jika salah seorang saksi mengubah atau menarik balik penyaksiannya, atau jika terdapat sesuatu yang menyebabkan terbatalnya keahlian seorang saksi.
  • Pengaku jenayah zina menarik balik pengakuannya walaupun selepas hukuman dijatuhkan.
  • Penzina lelaki menikahi pasangan zinanya. Ini hanya pendapat Imam Abu Yusuf dalam Mazhab Hanafi seorang sahaja dan tiada ahli fiqah lain yang dilaporkan bersetuju dengan beliau dalam masalah ini.

Pensabitan Jenayah Zina

Jenayah Zina disabitkan dengan salah satu daripada 3 cara tersebut.
  1. Penyaksian 4 orang saksi lelaki yang 'akil baligh dan 'adil (mempunyai integriti peribadi). Disyaratkan juga bahawa setiap saksi melihat perbuatan itu secara jelas tanpa sebarang kesamaran. Jika tidak mereka dikenakan hukuman Qazaf iaitu 80 kali sebatan.
  2. Pengakuan penzina sendiri dengan mengulang-ulangkannya sekurang-kurangnya 4 kali. Disyaratkan pula dia membuat pengakuan tersebut dalam keadaan sedar dan siuman tanpa paksaan. Hukuman hudud tidak dilaksanakan ke atas pengaku jika dia menarik balik pengakuannya.
  3. Qarinah atau bukti (evidence) yang meyakinkan seperti gadis yang didapati hamil atau seperti seorang perempuan yang bersuamikan kanak-kanak yang belum baligh didapati mengandung, atau seperti seorang perempuan melahirkan anak yang sempurna sifatnya dalam masa tidak sampai 6 bulan daripada tarikh nikahnya (perempuan berkenaan).
NOTA : Secara peribadi penulis buku ini berpendapat(bukan penulis blog ni), bahawa D.N.A. (deoxyribonucleic acid) boleh dijadikan sebagai salah satu bahan bukti, di samping bukti-bukti lain, untuk mensabitkan jenayah zina dan jenayah -jenayah lain dengan syarat ia digunakan dengan cara betul atau tidak disalahgunakan. D.N.A. yang di ambil daripada tubuh seseorang boleh diguna pakai selama mana ia diperlukan. Pandangan ini didasarkan kepada pengesahan pakar bahawa D.N.A. denosaurs zaman Jurassic(200-135 juta tahun dahulu) masih boleh dianalisis pada zaman kini.

1.Jenayah Zina

Daripada sudut pandang Islam, zina bukan sahaja sejenis jenayah agama, tetapi ia juga merupakan satu jenayah sosial yang besar kerana menceroboh hak masyarakat(nilai-nilai sakral mereka) dan memudaratkan para anggotanya. Lantaran ini Islam mengenakan hukuman yang berat dan keras ke atas penzina untuk mencegah orang daripada terdorong kepada keinginan nafsu syahwat dan naluri seksual tanpa kawalan.

Sebenarnya dalam mencegah jenayah zina, Islam tidak hanya bergantung kepada hukuman, tetapi lebih bergantung kepada pendidikan akhlak dan budi pekerti mulia. Memang diakui bahawa naluri seksual adalah tabi'ie atau semula jadi pada seseorang manusia yang normal. Tetapi seseorang mestilah menyahut tuntutan naluri ini dengan cara yang betul dan tidak menyebabkan kemudaratan dan kesusahan kepada mana-mana anggota masyarakat. Justeru perkahwinan adalah sebaik-baik jalan untuk memenuhi tuntuan naluri ini.

Hukuman Ke Atas Penzina
Ada 3 hukuman yang dikenakan ke atas pesalah zina menurut syariat Islam iaitu :

1) Disebat 100 kali sebatan. Hukuman ini dikenakan ke atas pesalah zina yang belum berkahwin. Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 2 :


Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

2) Buang negeri / daerah sebagai penyempurnaan kepada hukuman sebat. Tujuannya adalah supaya masyarakat melupai kejadian berkenaan dengan ketiadaan pelakunya di samping menjauhkan daripada sentiasa dipandang hina oleh orang ramai.

3) Direjam dengan batu sehingga mati. Ini ialah hukuman yang ditetapkan menerusi Sunnah Rasulullah SAW ke atas penzina yang muhsan yakni orang yang telah berkahwin secara sah menurut syariat Islam.

*pensabitan jenayah zina akan bersambung kemudian..

Thursday, 25 October 2012

Klasifikasi Jenayah Dalam Islam


1. Jenayah HUDUD - Suatu perbuatan jenayah yang pelakunya dihukum dengan mana-mana hukuman yang ditetapkan carnya dan kadarnya oleh syara' sendiri menurut nas-nas Al-Quran dan Hadis. Oleh itu, ia tidak boleh dimaafkan, diubah, ditukar ganti, diringankan atau diberatkan oleh hakim atau sesiapa sahaja kerana ia merupakan sebahagian daripada hak Allah SWT.

Jenayah-jenayah hudud yang disepakati oleh para ulama' meliputi :

1)Zina
2)Qazaf (menuduh orang melakukan zina tanpa mengemukakan 4 orang saksi)
3)Minum Khamar iaitu setiap minuman yang memabukkan
4)Curi
5)Hirabah atau rompakan bersenjata dan
6)Riddah (murtad).


2. Jenayah Qisas - Jenayah bahagian ini meliputi perbuatan membunuh dan perbuatan yang membawa kepada kecederaan.

3. Ta'zir - Ini meliputi perbuatan-perbuatan jenayah lain yang tidak merangkumi jenayah hudud dan qisas. Jenayah Ta'zir tidak ditetapkan hukumannya di dalam Al-Quran dan Sunnah, sebaliknya diserahkan kepada budi bicara pihak makhamah bagi memutuskan hukuman yang difikirkan munasabah ke atas penjenayah dengan mengambil kira saiz jenayah yang dilakukan dan juga berdasarkan kepada kepentingan umum.

[Dipetik daripada buku kecil mengenai Hukum Hudud]