Friday, 23 November 2012

Pengurusan Masa Para Huffaz


Alhamdulillah, selepas kita membincangkan perkara-perkara asas dalam bidang tahfiz Al-Quran beberapa minggu lepas, kali ini mari kita melihat pula sedikit sebanyak tentang perkara paling penting dalam kehidupan seseorang huffaz, iaitu jadual masa.
Firman Allah :
“ Demi masa , sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian”
Model Jadual Masa Seorang Penghafaz Al Quran :
5.00 a.m : Solat Tahajjud dan Solat Hajat. Kemudian hafal Tasmi’ ( cari modal ) atau I’adah.
6.00 a.m : Selepas Subuh. Masa untuk mengulang kembali kesemua hafalan baru untuk tasmi’.
7.30 a.m : Waktu tasmi’ ( bergantung kepada kelas anda ).
9.00 a.m : Pastikan Tasmi’ selesai , masa untuk ulangtubi Sabqi.
10.30 a.m : Rehat atau kelas madah.
1.30 p.m : Selepas Zohor. Masa untuk fokus i’adah dan perdengarkan kepada guru.
5.30 p.m : Selepas Asar. Masa untuk perkukuhkan Sabqi dan I’adah ( sendiri ).
6.30 p.m : Sebelum maghrib. Masa untuk latihtubi lidah dengan hafalan baru secara baca lihat.
7.30 p.m : Selepas Maghib. Masa untuk fokus mendapatkan hafalan baru.
9.00 p.m : Selepas Isyak. Masa untuk menyambung kembali hafalan baru atau ulangtubi I’adah dan Sabqi.
11.30 p.m : Masa untuk tidur. Pastikan hafalan baru di minda anda ketika hampir melelapkan mata.
Ini adalah satu lakaran ringkas sebuah jadual wajib bagi seorang huffaz. Pelaksanaan secara dasar adalah disyorkan sedemikian, namun jadual itu boleh di ‘fleksibel’kan mengikut kesesuaian anda. Cuma, seperti saya nyatakan, pastikan jadual anda bukan hanya sistematik tetapi juga bersifat praktikal.
Apa yang pasti, saya ingin kongsikan kesesuaian waktu mengikut pengalaman dan pendapat saya.
Waktu sebelum subuh :
Sangat sesuai untuk anda mencari hafalan baru, kerana ketika itu otak dan minda anda masih dalam keadaan segar dan cerdas. Kalau malamnya sebelum tidur anda telahpun bersusah payah mengingati hafalan baru, saya pasti apabila anda bangun tidur , ‘puzzle’ tasmi’ baru itu masih melekat di ingatan anda.
Waktu selepas subuh :
Cukup dan berhenti dari mencari hafalan baru. Perbuatan atau tabiat mencari ‘modal’ dalam kelas bukanlah satu tabiat yang baik. Saya sendiri tidak pernah mengamalkannya waktu menghafaz dahulu. Pastikan waktu ini anda hanya mengulang kesemua hafalan baru yang telah anda dapat sebaik mungkin. Waktu ini segala ‘puzzle’ yang berterabur dalam minda anda perlu dicantumkan sehingga siap sekurang-kurangnya 90 %. Selepas sarapan dan masuk kembali ke kelas, ia adalah masa untuk anda perdengarkan tasmi’ tersebut.
Waktu selesai tasmi’ :
Apabila ‘berjaya’ menghantar tasmi’ dengan baik, pastikan anda tidak terus menutupnya dan bersegera mengulang i’adah. Sebaliknya ingat pesan saya, ulangtubi Sabqi anda meskipun terasa sukar dan susah. Percayalah, ia tunjang kekuatan i’adah anda masa akan datang.
Waktu selepas zohor :
Otak dan badan tidak akan berfungsi dengan baik jika anda kepenatan, justeru pastikan anda telahpun mendapatkan ‘qailulah’ yang sempurna sebelum zohor. Peruntukkan waktu selepas zohor untuk i’adah sahaja. Bukan tasmi’ dan bukan Sabqi.
Waktu selepas Asar :
Juga elok diperuntukkan untuk I’adah sahaja.
Waktu sebelum maghrib :
Pastikan sebelum maghrib anda telah membaca hafalan baru anda untuk esok, secara baca lihat. Saya syorkan anda membaca dan mengulangi ayat2 baru tersebut seminima 40 kali.
Waktu selepas Maghrib :
Semua maklum, waktu khusus hanya untuk mendapatkan hafalan baru. Bukan i’adah, bukan sabqi, jauh sekali berborak-borak atau lepak2 di cafe.
Waktu selepas Isyak :
Waktu yang panjang. Pastikan waktu ini dimanfaatkan untuk fokus i’adah ataupun Sabqi. Cuba berhenti rehat seketika daripada terus menghafaz tasmi’ baru. Peruntukkan sekurang2nya 2 jam untuk i’adah dan sabqi. Apabila selesai, anda akhiri dengan membuka kembali hafalan baru anda ( yang dihafaz selepas maghrib ) dan ulang/ baca, kemudian masuk tidur.
Jika anda praktikkan, anda akan dapati ayat2 tersebut berlegar2 diruang ingatan anda sebelum anda melelapkan mata. Meskipun keadaanya tidak tersusun dan anda sendiri bimbang samada anda ingat atau tidak, jangan difikirkan. Tidur dan dapatkan rehat sebaiknya. Apabila anda bangun keesokannya ( rujuk kembali ke atas ) anda akan dapati hafalan baru itu lebih mudah ‘melekat’ dan ‘dicantumkan’ berbanding malam tadi.
Sekadar itu perkongsian kecil dari saya. Terlalu panjang jika ingin disebutkan secara detail, justeru saya tuliskan secara umum sahaja. Mudah2an ada manfaatnya untuk dipraktikkan. Jika anda mempunyai masalah menyusun jadual seperti di atas ataupun anda mungkin berada dalam situasi berbeza, bolehlah merujuk kepada yang lebih tahu dan berpengalaman.Wallahua’lam.
sumber : MyILHAM

Sistem Hafazan (Manhaj)

Ramai orang termasuk sahabat2 bertanya tentang sistem hafazan dan murajaah yang baik. Di sini akan saya nyatakan secara umum. Mungkin lain orang lain caranya. Lain pelajar lain gurunya. Justeru anggaplah ini satu perkongsian kecil dari saya untuk perbincangan bersama.

Sistem hafazan dan murajaah saya bahagikan kepada tiga . Pertama dinamakan tasmi’, kedua sabqi dan ketiga muraja’ah. Saya perincikan sebagaimana di bawah.

Tasmi’ :

Merupakan hafazan baru yang akan anda perdengarkan setiap hari kepada guru anda. Tasmi’ juga dikenali dengan nama “ sabaq ”. Ia bermaksud hafazan baru. Hafazan baru adalah bergantung kepada kemampuan dan keupayaan seseorang pelajar. Kebiasaanya adalah satu atau dua muka. Bagi yang mampu mendapatkan dua muka ( sehelai ) untuk setiap hari secara istiqamah, saya golongkan dalam golongan yang excellent. Bagi yang mampu istiqamah semuka saya kira sebagai golongan sederhana dan bagi yang mendapat kurang daripada itu boleh dikelaskan sebagai lemah.

Sabqi :

Merupakan i’adah atau ulangan pada juzu’ yang sedang anda hafaz. Bagi pelajar Darul Quran, seringkali pelik dengan istilah ini apabila saya sebutkan kepada mereka. Teknik ini terkadang tidak popular dan tidak digunakan secara rasmi di sesetengah Maahad Tahfiz. Namun bagi saya ia adalah bahagian yang sangat penting. Contoh mudah untuk anda faham ; sekiranya anda sedang menghafaz juzuk 5 mukasurat ke 8 iaitu helaian yang keempat, maka muka surat 1 sehingga muka surat ke 7 dinamakan sebagai Sabqi. Ia juga dikenali dengan nama “ para sabaq ”.

Muraja’ah :

Merupakan ulangan anda bagi juzuk2 yang telah anda hafaz. Contohnya anda sedang menghafaz juzuk 5, maka juzuk 1 sehingga 4 dinamakan sebagai murajaah. Ia juga dikenali dengan nama “ i’adah ”dan “ manzil ”.

MEMAHAMI KEPENTINGAN TASMI’, SABQI DAN MURAJA’AH

Sebagai seorang penghafaz Al-quran , ketiga2 sistem di atas merupakan perkara wajib yang akan dilalui oleh anda. Justeru, di peringkat permulaan saya nyatakan , adalah teramat penting untuk seorang penghafaz Al-Quran itu memahami sejelas2nya tentang kepentingan setiap sistem tersebut.

Kepentingan Tasmi’ :

Perkara asas yang sedia dimaklumi oleh semua penghafaz Al-Quran. Jika tiada hafazan baru, bagaimana untuk menamatkan hafazan 30 juzu’. Cuma persoalannya adalah sama ada cepat atau lambat, banyak atau sikit dan rajin atau malas.

Bagi saya, kadar yang paling baik adalah sederhana atau pertengahan. Jangan terlalu ghairah untuk tergesa2 dan menghantar tasmi’ dengan begitu banyak. Jangan pula terlalu lembab atau ‘penakut’ dengan menghantar tasmi’ ‘ala kadar’ sahaja.

Manusia sebenarnya diciptakan dengan sifatnya yang sentiasa menyukai benda baru. Sentiasa pula inginkan sesuatu yang baru dan mudah jemu dengan yang lama. Ini tiada kaitan dengan poligami ye ( selingan ). Lumrah dan sifat ini seringkali mendorong seseorang penghafaz Al-Quran itu untuk menambah dan menghantar hafalan barunya sebanyak mungkin. Saya tidak katakan ianya negatif. Mungkin juga ia satu fenomena bersifat positif dan membina. Tetapi saya tekankan, ianya sangat2 negatif bilamana penghafaz Al-Quran itu mula mengabaikan murajaah dan hanya ghairah mengejar hafalan baru. Hasilnya? Semakin banyak dihafaz semakin banyak yang dia lupa.

Kepentingan Sabqi atau Para Sabaq :

Komponen atau sistem dalam hafazan yang sangat jarang diambil berat dan paling kerap diabaikan oleh sejumlah penghafaz Al-Quran. Antara faktornya ialah

  • Tidak tahu tentangnya
  • Merasakan ianya tidak penting
  • Menyamakan ianya dengan muraja’ah, manzil atau i’adah
Secara peribadi saya nyatakan, Sabqi amat2 penting dan WAJIB diambil berat oleh para penghafaz Al-Quran. Sabqi TIDAK SAMA dengan muraja’ah.Antara faktor kenapa anda gagal mendapat muraja’ah dan i’adah dengan baik adalah disebabkan anda tidak menitikberatkan persoalan Sabqi. Saya menjalani sistem ini dan sangat memberi perhatian kepada ulangan Sabqi saya sehingga tamat menghafaz Al-Quran.

Cuba fikirkan, secara ringkas saya bawakan contoh. Anda biasanya menghafaz atau mendapatkan hafazan baru pada waktu malam sebanyak satu muka, dua muka atau lebih. Biasanya selepas maghrib anda akan fokus untuk hafaz dan sebelum tidur anda telah pun mendapat target yang anda mahukan. Kemudian hafazan tersebut akan di ‘kemas’kan secara rapi selepas subuh sehinggalah anda masuk ke kelas pagi untuk tasmi’. Semestinya perkara pertama bila menghadap guru anda di waktu pagi adalah untuk tasmi’ hafazan baru.

Baik, perhatikan pula kepada minda dan ingatan anda waktu itu. Hanya hafazan baru yang menguasai ingatan. Pastinya waktu sebelum masuk tasmi’, anda benar2 ‘nampak’ susunan ayat2 dalam kepala. Kemudian barulah anda tasmi’ dengan lancar. Adakah selepas tasmi’ semuanya patut berakhir? Jawapannya adalah TIDAK. Tetapi kesilapan yang sering anda lakukan adalah menjawab YA. Semuanya anda akhiri selepas tasmi’.

Kenapa? Kerana anda tidak perlu menghantar Sabqi kepada guru anda. Anda tidak mempunyai ‘paksaan’ untuk itu. Anda akan kembali ke tempat duduk, kemudian mula mengulangi muraja’ah dan i’adah. Sedarkah anda, andainya selepas zohor atau selepas asar anda diminta membacakan ayat2 yang pada sebelah paginya anda dapat tasmi’ dengan lancar dan baik, anda sekali2 TIDAK AKAN dapat membacanya bahkan mengingatinya dengan baik? Semuanya berterabur dan ‘tak nampak’. Sudah saya nyatakan sebabnya, iaitu kelompangan pada Sabqi.

Otak anda boleh dibahagikan kepada tiga. Bahagian depan, tengah dan belakang.
Kenapa paginya anda boleh tasmi’ dengan baik tetapi petangnya apa yang anda tasmi’ pagi tadi telahpun anda lupa? Kerana hafazan pagi tadi hanya berada dibahagian hadapan otak anda, bukan masuk ke tengah jauh sekali ke belakang. Senang kata, hanya “bermain2 di depan pintu masuk”. Bila2 masa sahaja ia akan keluar balik. Bagaimana untuk menjadikan hafazan baru anda itu dapat masuk ke belakang atau sekurang2nya ke tengah?

Caranya adalah, selepas anda tasmi’ yang baru ( samada semuka, dua muka atau lebih ) anda kembali ke tempat duduk, ulang semula hafazan tersebut dan campurkan dengan tasmi’ anda yang semalam , kelmarin sehinggalah ke awal juzu’. Perhatikan ; kiranya anda baru sahaja menghantar tasmi’ mukasurat ke 12 juzuk 6, maka anda perlu ulang balik kesemua 12 mukasurat juzuk 6 itu dan lebih baik kalau anda dapat hantar Sabqi itu untuk disemak oleh ustaz. Saya berani katakan bahawa, SABQI LEBIH SUSAH UNTUK DIULANG BERBANDING MURAJA’AH. Kebiasaannya, tasmi’ semalam dengan kelmarin sudah terbang entah ke mana. Justeru berhati2 dan tolong berikan perhatian sewajarnya pada Sabqi anda.


Kepentingan Muraja’ah atau Manzil atau I’adah :
Sistem ini umumnya diketahui dan diamalkan secara konsisten oleh kebanyakan Maahad Tahfiz. Umumnya semua penghafaz Al-Quran tahu tentangnya dan kepentingan i’adah untuk diri mereka.

Bagi anda yang murajaah anda dikawal oleh guru kelas anda, banyakkan bersyukur meskipun anda rasa tertekan dan sebagainya. Cuma yang bermasalah adalah yang amanah muraja’ah adalah di bahu mereka sendiri. Situasi ini berlaku pada sesetengah Maahad Tahfiz yang tiada sistem murajaah dan juga kepada penghafaz Al-Quran yang telah khatam menghafaz Al-Quran. Mereka2 inilah yang sangat susah mendisiplinkan diri mereka untuk murajaah segala juzuk2 yang telah mereka hafaz. Sudahlah tak masyi, ditambah pula dengan sikap sambil lewa dan malas, akhirnya beban amanah juzuk2 yang dihafaz terabai sebaliknya sibuk mengejar benda2 yang lain.

Nasihat saya, tolong dan tolong, buatlah jadual murajaah untuk diri sendiri secara konsisten dan disiplinkan diri anda dengan jadual tersebut. Malas macam mana sekalipun, pastikan anda ulang sekurang2nya setengah juzuk dengan baik dan benar2 ingat. Anda sendiri tahu betapa pentingnya menjaga muraja’ah.

Saya nyatakan, lebih baik TAK LANCAR daripada TAK INGAT. Jika anda tak lancar tetapi konsisten murajaah, ianya seribu kali lebih baik dari anda tidak murajaah secara konsisten dan akhirnya anda tak ingat. Sebab itu bila ramai yang mengadu kepada saya tentang murajaah mereka, saya tanya samada ‘tak ingat’ atau ‘tak lancar’. Biasanya anda bukan ‘tak ingat’ tapi ‘tak lancar’. Kalau begitu keadaanya, bersabar dan teruskan murajaah secara konsisten. TETAPI sekiranya anda ‘tak ingat’ hafazan2 belakang, anda sebenarnya dalam bahaya.
Buat akhirnya, fikirkan kata2 saya : UNTUK MENG ‘HAFAZ’ MURAJA’AH YANG LAMA BERKALI GANDA LEBIH SUSAH BERBANDING MENGHAFAZ HAFALAN YANG BARU. Fikirkan.

sumber : MyILHAM

Persediaan dan Pantang Larang Bagi Penghafal Al-Quran


Bertemu lagi dalam siri kedua, yang insyaAllah akan saya(bukan admin blog ini) panjangkan ke siri2 seterusnya bagi memastikan perbincangan ini berjalan dalam keadaan konsisten dan memberikan manfaat dua hala untuk kebaikan bersama.

Seringkali saya melihat adik2 yang baru mula berjinak2 atau baru mula hendak serius dengan dunia hafazan Al-Quran berada dalam keadaan bingung dan cemas. Situasi inilah yang saya lihat saban tahun pada adik2 junior Darul Quran samada Persijilan mahupun Diploma.

Saya mengagak, mungkin mereka sedang cuba menyesuaikan diri dengan ‘kehidupan baru’ sebagai penghafaz Al-Quran. Mungkin juga mereka sedang cuba ‘mencari perbezaan’ antara kehidupan abang2 dan kakak2 senior Darul Quran berbanding masyarakat di luar. Apa yang pasti, mereka sebenarnya berada dalam keadaan ‘tidak sabar2’ untuk memulakan hafazan dan mungkin sudah ada di antara mereka yang berangan2 telahpun khatam menghafaz Al-Quran.


TRANSFORMASI HUFFAZ : DI MANA TITIK TOLAKNYA?

Asalnya anda merupakan pelajar yang saban hari membuka kitab2 madah dan jarang2 sekali membuka dan membaca Al-Quran. Kalau ada pun mungkin ayat2 hafazan untuk peperiksaan yang wajib dihafaz . Asalnya anda belajar di waktu pagi, bersukan di waktu petang, menyiapkan kerja rumah di waktu malam dan seterusnya disambung dengan menonton tv dan bersantai.

Kini anda terpaksa melalui satu TRANSFORMASI dalam semua aspek kehidupan anda. Sudah tentu rutin harian anda juga berubah. Jika sebelum ini anda jarang sekali membuka Al-Quran, kini setiap hari anda terpaksa mendampingi dan membacanya. Jika sebelum ini anda tidur jam 10 malam dan bangun jam 6 pagi, mungkin anda terpaksa menukar dan membiasakan diri tidur jam 12 dan bangun jam 4.30 pagi. Ini adalah perubahan yang WAJIB anda lalui, dan ianya akan saya bincangkan dalam siri2 berikutnya secara lebih terperinci, insyaAllah.

Semuanya perkara yang penting, dan ramai di kalangan huffaz2 amatur ini yang tidak sabar2 untuk mendapat pendedahan2 tersebut. Namun sebelum itu saya ingin sebutkan sesuatu yang lebih penting bagi seorang yang mula2 hendak menghafaz Al-Quran. Perhatian : bukan sengaja mengkhususkan kepada ‘yang mula2’, justeru ia juga perlu dimuhasabah bersama bagi ‘yang telah lama’. Perkara ini sangat penting sebagai titik tolak kepada kejayaan seseorang penghafaz Al-Quran.

PERSEDIAAN

Ilmu menghafaz Al-Quran bukanlah ilmu calang2, kerana itu ia juga tidak akan menjadi teman melainkan kepada orang yang benar2 layak. Bukan calang2 orang yang berjaya menjadi hafiz yang masyi, dan bukan calang2 orang yang berjaya mengamalkan seluruh isi kandungan Al-Quran setelah tamat menghafaznya. Semuanya berpunca dari persediaan yang tepat dan penjagaan pantang larang yang berterusan.

Persediaan pertama :

Sewajibnya bagi seorang yang ingin menghafaz Al-Quran membetulkan dan menetapkan apakah NIAT sebenar dan tujuan asalnya untuk menghafaz Al-Quran. Adakah untuk mendapat nama? Untuk mendapat kepujian? Atau benar2 untuk memelihara kalam Allah dalam hatinya.

Persediaan kedua :

Mengosongkan kebanyakan waktu dari urusan duniawi. Ini saya sebutkan sebagai salah satu persediaan , kerana tidak ramai yang mampu meletakkan waktunya secara fokus untuk Al-Quran dengan melupakan urusan keduniaanya. Persiapan mental yang baik sangat penting bagi membolehkan seorang penghafaz Al-Quran mencapai tumpuan yang maksima sewaktu menghafaz.

Persediaan ketiga :

Kefasihan menyebut huruf, menguasai asas2 hukum tajwid beserta sedikit kefahaman tentang ilmu asas tahfiz Al-Quran. Kebiasaannya boleh dirujuk melalui buku2. Ini juga saya senaraikan sebagai salah satu persediaan, kerana saya bimbang seorang penghafaz Al-Quran yang tidak mempunyai asas2 tajwid dan kefasihan menyebut huruf akan menghadapi kesulitan berganda dalam memulakan proses menghafaz. Seboleh2nya ia diusahakan di peringkat awal melalui buku2 asas ilmu tajwid dan sebagainya.

Persediaan keempat :

Mempunyai sebuah Al-Quran milik sendiri secara tetap, dibalut secara kemas dan terjaga. Niatkan supaya mashaf Al-Quran itulah yang pertama dan terakhir untuk diri sendiri. Elakkan dari menukar2 mushaf sesuka hati atau meminjam2 mushaf milik orang lain.

Persediaan kelima :

Istiqamah di sebuah madrasah atau kelas tahfiz yang tetap dan juga mempunyai seorang guru Al-Quran yang tetap untuk anda. Elakkan dari bertukar2 sekolah tahfiz atau bertukar2 guru tasmi’ anda.

Persediaan keenam :

Kesihatan tubuh yang baik, keadaan mental yang stabil. Justeru amalkan bersenam secara konsisten dan teratur. Elakkan dari dihinggapi sebarang penyakit. Kesihatan tubuh badan yang baik adalah antara elemen terpenting seorang penghafaz Al-Quran.

Persediaan ketujuh :

Mendapat restu dari guru dan ibu bapa. Bersedia terutama dari segi mental dan perasaan untuk berjauhan dengan keluarga dan ‘beruzlah’ (mengasingkan diri) di madrasah. Kebiasaanya saya lihat dalam kalangan muslimat atau banat masih sukar untuk melupakan keluarga dan memberi fokus pada kehidupan di madrasah. Perkara ini meskipun remeh namun sangat memberi kesan kepada hafazan anda akan datang, iaitu bilamana anda tidak betah duduk di madrasah dan seringkali ingin pulang ke rumah.

BEBERAPA PANTANG LARANG

Pertama :

Menderhaka ibu bapa ataupun biadab dengan guru. Sewaktu mula menghafaz Al-Quran dahulu, guru tasmi’ saya adalah manusia yang paling saya hormat, gerun dan sayang. Elakkan dari mengumpat guru anda walaupun sekadar bercerita tentang dirinya, sebaliknya banyakkan meminta nasihat dan menaikkan ‘izzah guru tersebut.

Kedua :

Bergaduh atau bermusuh. Elakkan dari mempunyai musuh atau berdendam dengan sesiapa sewaktu anda berada di fatrah memulakan hafazan Al-Quran. Ini kerana permusuhan adalah soal yang melibatkan hati. Bilamana hati gundah gulana dan berkecamuk, fokus anda terhadap hafazan juga akan hancur. Justeru segerakan memberi maaf dan berdamai.

Ketiga :

Menonton filem2 lucah. Penceramah saya sewaktu minggu orientasi mengistilahkannya sebagai ‘melihat lembu2 tak pakai baju’. Tidak perlu saya huraikan secara lebih dalam, bahkan memadai dengan meneliti firman Allah :

“ Tidak Allah jadikan bagi seorang lelaki itu dua hati dalam satu rongga”

Dan juga hadith Nabi s.a.w :

“ Pada jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah keseluruhan jasad, apabila ia buruk maka buruklah sekalian jasad, ketahuilah bahawa ia adalah HATI”

Sebuah lagi hadith menyebut :

“ apabila anak adam melakukan maksiat maka satu titik hitam akan melekat pada hatinya, dan titik2 hitam itu hanya akan dapat dibasuh dengan zikrullah”

Keempat :

Banyak tidur, banyak main. Ini juga saya senaraikan sebagai suatu kepantangan bagi penghafaz Al-Quran. Tidur adalah untuk rehat dan memperoleh tenaga. Tetapi jika berlebih2an tidur akan menjadikan badan penat dan otak malas. Demikian juga bermain atau bersukan. Ia bagus untuk kecergasan jasmani yang mana merupakan kesinambungan kepada kecerdasan fikiran dan akal. Tetapi apabila terlalu berlebih2an akan mendatangkan kepenatan pada badan dan mengakibatkan anda mudah mengantuk. Kadangkala ia juga mendatangkan kecederaan2 pada anggota tertentu.

Kelima :

Makan makanan2 syubhah dan haram. Sebenarnya memadai saya menyebut tentang perkara syubhah sahaja, kerana yang haram telahpun dimaklumi akan pengharamannya. Perkara syubhah adalah perkara2 yang diragui tentang halal haramnya, serta diragui pula tentang sumber2nya. Bagi golongan biasa ia harus dijauhi, tetapi bagi golongan huffaz, saya katakan ia WAJIB dijauhi dan ditinggalkan. Aspek pemakanan sangat memberi pengaruh kepada daya ingatan dan hati seorang penghafaz A-Quran.

Keenam :

Membuang masa dan bercakap perkara2 yang sia2. Ini secara tidak langsungsaya kaitkan dengan aspek pengurusan masa ( akan dibincangkan nanti )

Firman Allah : “ Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian”

Ketujuh :

Ber’couple’, bergayut, ber ‘sms’ melampau dan berzina.

Kelapan :

Minum arak, terjebak dengan dadah dan merokok. Suka untuk saya senaraikan bahawa MEROKOK ADALAH HARAM terutama bagi penghafaz Al-Quran. Jika tidak anda sepatutnya malu bila menghafaz ayat Al-Quran yang berbunyi :

“ Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan”

Juga firman Allah :

“ Dan Dia ( Allah ) menghalalkan bagimu segala yang baik da mengharamkan bagimu segala yang buruk ”

Bagi yang sedar dan berusaha untuk berhenti, tahniah dan syabas. Bagi yang enggan dan menentang kenyataan ini, fikir2 dan renung2kanlah. Saya sekadar berkongsi.

Kesembilan :

Biadab atau kurang adab dengan Al-Quran. Ini saya sentuh secara jelas berkenaan masalah adab. Saya sendiri merupakan seorang yang cukup pantang membawa Al-Quran di bawah aras pinggang, meletak Al-Quran di atas lantai, melunjurkan kaki ke arah Al-Quran dan membiarkan Al-Quran terbuka tanpa dibaca.

Ini hanya sebahagian dari adab2 dan pantang larang yang sangat saya jaga, insyaAllah. Jika anda tidak menghormati Al-Quran, bagaimana mungkin Al-Quran akan melekat di hati anda?

Kesepuluh :

Bertukar2 mushaf Al-Quran, kelas Al-Quran, guru Al-Quran dan tempat duduk dalam kelas Al-Quran tanpa sebab yang munasabah. Seboleh2nya cuba elakkan. Ini adalah antara pantang larang yang sering saya pesan dan sangat saya jaga. Istiqamahlah dengan SATU MUSHAF, SATU GURU, SATU MADRASAH dan SATU TEMPAT DUDUK.

Pesan guru saya suatu masa dahulu ; jangan sekali2 bertukar tempat duduk, kerana boleh jadi waktu itu Malaikat rahmat menurunkan rahmat ke tempat duduk kita. Alangkah rugi jika kita seringkali bertukar2 tempat duduk tanpa sebab munasabah. Justeru saya sangat istiqamah dengan tempat duduk dan meja saya sendiri. Alhamdulillah terjaga.

Kesebelas :

Melakukan Onani ( masturbation ). Selain dari hukum pengharamannya berdasarkan kitab2 Fiqh, terdapat juga kajian2 dari pakar2 perubatan yang mengaitkan kesan onani dengan ‘kekerasan’ dan ‘kegelapan’ hati. Kesan dari itu akan menjadikan si pelaku ketagihan perkara yang haram, sukar menerima nasihat dan peringatan serta bertambah jauh dari rahmat Allah. Justeru elemen2 negatif seperti ini sangat2 perlu dijauhi terutama bagi golongan yang ingin mempelajari, mendalami dan menghafaz Al-Quran.

sumber : MyILHAM