Sunday, 28 October 2012

3.Jenayah Curi

Muqaddimah
Perbuatan mencuri adalah salah satu jenayah besar yang diharamkan oleh syari'at Islam. Memenuhi keinginan diri sendiri untuk memperoleh harta dengan cara yang menyakitkan orang lain adalah satu perbuatan keji yang tidak harus diremehkan. Jenayah ini tidak mungkin dirawat dengan hukuman-hukuman yang ringan kerana ia tidak akan dapat mencegah pencuri daipada mengulangi perbuatan jahatnya itu di samping tidak mampu menghalang orang lain daripada melakukan tindakan yang sama. Hanya hukuman yang keras sahaja seperti memotong tangan pencuri mampu menghalang seseorang daripada melakukan jenayah ini, seterusnya berusaha mendapatkan harta menerusi jalan halal memandangkan jalan yang haram akan mengakibatkan tangannya menjadi kudung.

Hukuman Ke Atas Pencuri
Maka untuk mencegah jenayah yang serius ini, perundangan Islam menetapkan hukuman memotong tangan pencuri tanpa belas kasihan setelah kesalahannya disabitkan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ma'idah:38


Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Walaupun hukuman ini kelihatan keras, namun jenayah curi yang diiringi dengan ancaman terhadap keamanan awam dan pencabulan ke atas hak-hak orang ramai sebenarnya adalah lebih kejam dan ganas. Seseorang yang tergamak mengambil harta orang lain ketika kelekaan mereka untuk memuaskan dirinya yang kemaruk harta tidak berhak mendapat simpati dan kasihan belas dari sesiapa pun. Sebaliknya orang yang menjadi mangsa curi yang memerlukan simpati dan belas kasihan. Maka hukuman keras yang ditetapkan dalam syari'at Islam inilah yang mampu mengurangkan kes-kes kecurian dalam masyarakat Islam pada zaman dahulu ketika mana hukuman Hudud dikuatkuasakan.