Tuesday 4 June 2013

Tuan Guru Haji Yahya Junid (Pondok Pak Ya)

Tuan Guru Haji Yahya Junid Ulama Pendidik dan Tokoh Masyarakat yang dihormati ♥♥♥ 


Tuan Guru Haji Yahya bin Junid atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ya Junid adalah antara ulama besar Kedah yang sempat menadah kitab kepada ulama ulung Kedah yang bertalian nasabnya dengan Syeikh Muhammad Asryad al-Banjari iaitu Tuan Hussain Kedah. Tuan Guru Haji Yahya dilahirkan di Kampung Selengkoh, Yan, Kedah pada tahun 1911 Masehi bersamaan dengan 1330 Hijrah. Beliau mendapat pendidikan awal dalam lingkungan keluarganya sendiri. Bondanya, Chik binti Sulaiman yang berasal dari Tumpat, Kelantan mengajarkan ilmu al-Quran kepada beliau. Atas kehendak ibunya yang mahu beliau mendalami dan menguasai ilmu agama, beliau dihantar belajar di Sungai Bakap, Seberang Perai. Disebabkan pada masa itu ibunya sedang sakit dan kerana terlalu kasihkan ibunya, beliau tidak tidak dapat mengikuti pelajaran disitu. Setelah ibunya meninggal pada tahun 1922, beliau diasuh oleh nendanya sehinggalah nendanya meninggal dunia di Makkah pada tahun 1923. Tidak lama selepas itu, ayahandanya menghantar beliau ke rumah Lebai Faqeh untuk menimba ilmu. Pada masa yang sama, beliau juga belajar di Sekolah Melayu Titi Gajah selama dua tahun. Tuan Guru Haji Yahya nampaknya lebih berminat dengan ilmu-ilmu agama. Beliau memasuki beberapa pondok disekitar Kedah dan berguru dengan beberapa ulama besar pada ketika itu seperti,


1. Tuan Guru Haji Ahmad Rabat di Pondok Chegar, Gajah Mati pada tahun 1924.
2. Tuan Guru Haji Abdul Ghani Awang (menantu Tuan Hussain Kedah) di Pondok Tandop
3. Tuan Guru Haji Endut di Pondok Titi Gajah.


Selepas menimba ilmu dipondok-pondok tersebut, barulah beliau berhijrah ke Pondok Khairiah, Pokok Sena, Seberang Perai untuk menimba ilmu kepada Tuan Hussain Kedah, ulamak Banjar yang sangat terkenal itu. Tidak puas menimba ilmu di negeri kelahirannya, beliau bermusafir pula ke Kelantan. Pada tahun 1931, beliau tiba di Kota Bharu dan berguru dengan ulama besar Kelantan yang sangat masyhur iaitu Tok Kenali selama dua tahun di Pondok Masjid Muhammadi. Selama beliau berada di Kelantan selama 6 tahun, beliau sempat menggurui ulama-ulama besar lain disana seperti


1. Tuan Guru Haji Saad Kangkong
2. Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang
3. Tuan Guru Haji Yaakub Legor.
4. Tuan Guru Haji Abdullah Tahir di Pondok Ahmadiah, Bunut Payong
5. Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad di Pondok Ahmadiah, Bunut Payong
6. Mufti Haji Ahmad Maher
7. Mufti Haji Mohd Nor Ibrahim
8. Tuan Guru Haji Yaakub Gajah Mati.


Tuan Guru Haji Yahya kemudiannya kembali ke Kedah dan mula mengambil pentas mengajar didalam kuliah maghrib di surau-surau. Beliau kemudiannya berkahwin dengan Zawiyah binti Hashim dan kemudian berangkat ke Makkah pada tahun 1936. Beliau hanya mengajar di pondok setelah mendapat galakan dari gurunya, Tuan Guru Haji Yaakub Legor.[12] Pondok pertama yang mendapat sentuhan beliau ialah di Pondok Haji Majid Guar Chempedak. Beliau mula mengajar pada tahun 1939. Pada tahun 1941, kira-kira 25 orang penduduk di Kampung Padang Lumat telah bermuafakat untuk menghidupkan semula Pondok Padang Lumat, Guar Chempedak yang sebelum ini telah diasaskan oleh Tuan Hussain Kedah. Pondok itu telah ditinggalkan selama beberapa tahun tanpa diselia atau diurus dengan baik setelah pengasasnya, Tuan Hussain Kedah berhijrah ke Pokok Sena, Seberang Perai sekitar tahun 1920-an. Untuk tujuan pengurusan, masyarakat disitu telah melantik Tuan Guru Haji Yahya sebagai pengelola atau mudir pondok tersebut. Pelantikan beliau sebagai mudir sangat tepat berdasarkan kepada kapasiti beliau sebagai ulama muda yang sedang meningkat naik pada masa itu tambahan pula beliau sendiri adalah anak murid kepada pengasas pondok itu sendiri. Sepanjang pondok tersebut berada di bawah pengelolaan beliau, pelbagai kemajuan telah dicapai antaranya seperti,


1. Membangunkan kembali insititusi pondok tersebut sehingga menjadi sebuah sekolah yang lengkap dengan prasarana dan suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar.
2. Menamakan pondok tersebut dengan nama Madrasah Taufikiah Khairiah setahun selepas penubuhannya. Madrasah itu kemudiannya dirasmikan oleh anak pengasas pondok itu iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussain pada tahun yang sama. Madrasah itu juga kemudiannya didaftarkan dibawah Jabatan Agama Islam Kedah mengikut kurikulum sistem pondok.
3. Dibawah pengelolaan Tuan Guru Haji Yahya, bilangan pelajar dan guru bertambah dalam tempoh yang singkat. Sebulan selepas madrasah itu dirasmikan, bilangan pelajar meningkat dari 18 orang kepada 194 orang pelajar manakala tenaga pengajarnya pula ialah seramai 3 orang.




4. Madrasah Taufikiah yang ditadbir dibawah Tuan Guru Haji Yahya begitu cepat mencapai kemasyhuran. Pada tahun 1948, madrasah berkenaan telah dikunjungi oleh beberapa tokoh negara antaranya ialah seperti Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Yang Amat Berhormat Dato’ Syed Omar Syed Shahabuddin.
5. Bagi menyeleraskan kurikulum pembelajaran dan disesuaikan dengan perkembangan semasa, sistem persekolahan formal telah diserap masuk menjadi sistem pengajian madrasah. Ianya berlaku pada tahun 1956.
6. Anak murid Tuan Guru Haji Yahya yang kemudian menjadi menantunya iaitu Tuan Guru Haji Azahari Abdul Razak telah dilantik menjadi pengetua madrasah. Sama seperti gurunya, Tuan Guru Haji Azahari telah meneruskan usaha yang dilakukan oleh gurunya sebelum ini iaitu berusaha menjadikan Madrasah Taufikiah sebaga salah satu pusat pengajian terulung di Tanah Melayu. Dua tahun selepas beliau menjadi pengetua, KDYMM Yang Dipertuan Agung Tuanku Sultan Abd Halim telah berkenan mencemar duli ke perayaan sambutan Jubli Perak madrasah tersebut. Nama Taufikiah Khairiah kemudiannya ditambah dengan perkataan al- Halimiah atas kurniaan baginda.
7. Selain dari pengenalan sukatan pelajaran akademik, madrasah tersebut juga telah mengalami beberapa pertambahan dari segi prasarananya seperti bangunan sekolah dan asrama dimana pembinaanya telah disumbangkan oleh KDYMM Sultan Kedah, kerajaan dan orang ramai. Bahkan pada tahun 1979, cawangan madrasah ini telah berjaya dibuka di Guar Chempedak.


Walaupun sibuk dengan urusan sekolah, Tuan Guru Haji Yahya tetap meluangkan masa dalam aktiviti yang melibatkan hal-hal kemasyarakatan. Sebagai contoh, beliau pernah mengasaskan Persatuan Ulama Kedah (PUK) pada 1946. Persatuan ini telah diasaskannya dengan seorang lagi ulama besar pada waktu itu iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution. Beliau turut mengasaskan penubuhan dan pembinaan Masjid Kampung Sungai Dedap dan Masjid Batu 17, Guar Chempedak. Kealimannya dalam bidang agama telah menyebabkan beliau dilantik menjadi Ahli Mesyuarat Majlis Agama Islam Kedah, Ahli Majlis Fatwa Kedah dan Ahli Jawatankuasa Zakat Kedah. Beliau berkhidmat dalam Jawatankuasa Zakat selama 40 tahun. Tuan Guru Haji Yahya menutup usia pada 6 Ogos 2001 dalam usia 90 tahun. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Chempedak.

Syeikh Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Maliki

Al-Fadhil Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki ♥♥♥




Al-Fadhil Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Nadwi Al-Maliki dilahirkan pada tahun 1959 di Amuntai, Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia. Beliau memasuki alam persekolahan di Amuntai sebelum menyambung pengajian di Madrasah Darussalam Martapura, Kalimantan Selatan sehingga Tingkatan 'Aliyah. Seterusnya beliau melanjutkan pendidikan di Yayasan Pesantren Islam Bangil, Jawa Timur.

Pada tahun 1980, beliau telah meneruskan pengajiannya di India, bersama dengan ulama' terkenal asy-Syaikh Abul Hassan ‘Ali an-Nadwi di Nadwatul Ulama', Lucknow. Pada tahun 1984, beliau menamatkan pengajiannya di India dan langsung datang ke Malaysia dan berkhidmat di Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Derang di Pokok Sena, Kedah sehinggalah ke hari ini.
Pada tahun 1988, beliau berkesempatan berguru dengan asy-Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani dan juga as-Sayyid al-Habib Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, sehingga beliau dianugerahkan dengan gelaran keluarga "al-Maliki" pada tahun 2002.

Beliau juga merupakan Mudir, Pasentren Yayasan Islam Nurul Hidayah (Yasin) di Banjar Baru dan Pasentren Yasin di Muarateweh, Kalimantan, Indonesia yang dibuka pada tahun 2001 dan 2003. Disamping itu, beliau adalah Ketua Umum Majelis Ulama' Indonesia Kabupaten Barito Utara, Kalimantan Tengah untuk sessi 2004 – 2009.

Beliau juga aktif didalam penulisan. Antara kitab yang beliau susun adalah '40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman', '40 Hadis Penawar Hati' dan '40 Hadis Kelebihan Ilmu dan Ulama', 40 Nasihat Imam Zainuddin Ibnul Wardi al-Kindi. Selain itu beliau juga telah mentahqiq dan menerbitkan semula kitab-kitab karangan ulama' silam Alam Melayu Nusantara iaitu kitab karangan asy-Syaikh Abdusshamad al-Falimbani seperti 'Sairus Salikin' (4 jilid) dan 'Hidayatus Salikin'. Al-Fadhil Syaikh juga aktif menterjemahkan kitab seperti, 'Bidayatul Hidayah' dan 'Ayyuhal Walad' karangan Imam Al-Ghazali, 'Bustanul Arifin' karangan Imam An-Nawawi dan Lamiyah Ibnu Wardi karangan Imam Zainuddin Ibnul Wardi al-Kindi.

Beliau juga aktif mengajar secara bulanan di Lembah Kelang iaitu Kitab Hikam Ibn ‘Athoillah di Anjung Rahmat ABIM, kuliah Kitab Hidayatus Salikin di Masjid al-Falah USJ 9 dan kuliah Kitab Qul Hadzihi Sabili di Pusat Pengajian Ba'Alawi. Beliau juga mengadakan pengajian kilat untuk mengkhatamkan kitab-kitab seperti kitab Ayyuhal Walad, Bidayatul Hidayah, Bustanul ‘Ariffin dan-lain-lain.

Tuan Guru Haji Tayyib Al-Makki

Inilah beliau Ulama' Solihin Al-Arif Billah Tuan Guru Hj Tayyib Al-Makki,



Beliau di lahirkan pada tahun 1912 .. dan beliau ke Makkah sejak British jejak tanah melayu sehingga ssekarang .. Selama di Makkah , beliau sempat menuntut ilmu degan Masyeikh Makkah yang terkenal antaranya:

-Syeikh Wan Ismail Al-Fathani,
-Syeikh Muhammad Amin Al-Kutbi,
-Syeikh Alawi Abbas Al-Maliki,
-Syeikh Hassan Masyath.. Dll

*Antara rakan seguru beliau d Makkah adalah:

-Tuan Guru Hj Abdul Rahman Awang,pondok Guar kepayang,kedah
-Tuan Guru Hj Soleh Hj Musa,pondok Sik,Kedah,
-Tuan Guru Hj Abdul Rahman Pombing.. Dll

Di Mekah beliau di kenali dengan nama 'Hj Tayyib Roti' keran beliau hanya makan roti.. Akhlak beliau sangat indah .. Beliau mudah di dekati oleh sesiapa pun.. Jika anda meminta nasihat dari beliau .. Nasihat yang bakal beliau beri bertepatan dengan peribadi orang yg meminta nasihat. . Banyak mutiara kata yang di lontarkan oleh beliau..

Ulama hebat berusia 100 tahun ini tinggal bersama isteri dan seorang anaknya di Kampung Asam Jawa daerah Parit Panjang Kedah .. Untuk pergi ke rumah beliau .. Perlu berjalan dikawasan yang dpenuhi dengan hutan iaitu lebih kurang 2 km dari jalan utama .. Subhanallah .. Beliau hidup dengan penuh kezuhudan .. Beliau tidur beralaskan papan keras dan sekapit simen lama sebagai bantal .. Beliau seorang yang menegakkan kebenaran .. Oleh sebab itu orang kampung tidak menyukai beliau .. Malah beliau dihina dengan bermacam macam kata keji seperti orang gila dan seorang yang suka menyekat rezeki orang .. Allahurobbi ..

Walaupun umur beliau sudah pun satu abad .. Subhanallah .. Beliau masih bercucuk tanam .. Mencangkul .. dan apa lebih hebat lagi ... Beliau membina rumahnya itu sendiri dengan tulang empat keratnya .. Allahurobbi .. Untuk ke kedai .. Beliau terpaksa berjalan kaki dari rumahnya hampir 1 km.. Cuba tuan puan bayangkan dengan usianya .. keadaannya beliau terpaksa berjalan kaki .. Subhanallah ..

Diantara Ulama Hebat yang pernah ditemu dan ketemu dengan beliau ialah Habib Umar Bin Hafiz dan Syeikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki ..

Sahabatku .. Ulama Solihin ini telah lanjut usia .. Bila bila masa sahaja Allah Taala boleh menjemputnya ke Raudhah .. Selagi masih ada peluang .. selagi masih ada waktu .. ziarahilah beliau .. ciumlah pipi beliau .. peluklah beliau seerat eratnya .. Minta agar beliau mendoakan kesejahteraan kita .. Sampai bila kita ingin mengabaikan sebuah permata ummah ini ..

Wallahualam ..

Tuan Guru Nik Abdul 'Aziz

YAB Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat ♥♥♥



Biodata :Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun. 

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang. 

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah. 

Seorang Petah Bercakap

Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung. 

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki. 

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut. 

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu. 

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.



Dipetik daripada blog: nasronhashim.blogspot.com

Tuan Guru Haji Ahmad


Tn Guru Hj Ahmad , Kuala Nerang berusia 86 tahun , ulama yang jarang dikenali umum kerana beliau hanya mengajar di Pondok Beliau di Maktab Mahmud Kuala Nerang . Beliau merupakan sahabat Tn Guru Hj Salleh , mereka berdua belajar dengan Syeikh Qadir Mandili , Pak Chu Him Gajah Mati.

Al-Marhum Tuan Guru Hj Hashim

Tuan Guru Hj Hashim RohimahulLOH Ta'ala Pasir Tumboh dalam kenangan ♥♥♥


Al-Fatihah.

Biodata :
Nama : Tuan Guru Hj Hashim b. Hj Abu Bakar
Tempat lahir : Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah.
Tahun lahir : 1923M
Pendidikan :
Belajar di Darul Ulum ad-Diniah, Mekah dari tahun 1936 hingga 1939
Belajar di Madrasah Irsyadiah Tuan Guru Hj Abdul Rahman Hj Abdullah, Merbuk, Sungai Petani,Kedah pada tahun 1942
Belajar di Pondok al-Marhum Tuan Guru Hj Ghazali Batu 26, Bagan Datoh,Perak pada tahun 1940
Belajar di Pondok Lebai Idris Hitam, Kampung Air Hitam, Jetra, Kedah pada tahun 1944 selama 2 tahun
Pada tahun 1946 belajar di Pondok Bunut Payong dengan Tuan Guru Hj Abdullah Tahir sehingga tahun 1953
Pada tahun 1953 beliau berkahwin dengan adik Tuan Guru Hj Mustafa dan Tuan Guru Hj Abdul Aziz bin Abu Bakar pengasas Pondok Pasir Tumboh.


Perkhidmatan :

1. Mengajar di Pondok Pasir Tumboh bersama 2 orang iparnya dan menggantikan tempat sebagai Penguasa I atau Mudir setelah kematian keduanya sehingga sekarang.

2. Beliau juga menjawat jawatan sebagai Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad mulai 1995


3. Tokoh Hijraturrasul 1428H peringkat Kelantan


4. Menerima anugerah gelaran Dato’ Paduka daripada Pemangku Sultan Kelantan pada tahun 

2010.

Meninggal dunia
Kembali ke rahmatullah pada 1 Syawal 1432H bersamaan 30 Ogos 2011M pada jam 1.10 tengahari dan disemadikan di tanah perkuburan Islam Pondok Pasir Tumboh pada jam 6.30 petang..al-Fatihah

Al-Marhum Tuan Guru Haji Musa


Al-Marhum Tuan guru Haji Musa merupakan ayah kepada Tuan Guru Haji Salleh Sik Kedah.
 
Beliau dilahirkan di Namek , Sik Kedah. Tg Hj Musa sempat belajar dengan Tok Kenali dan pernah mendalami ilmu agama di Makkah selama 2 tahun. Di Makkah , beliau sempat belajar dengan masyaikh jawi antara Syeikh Wan Ismail .

Tg Hj Musa seorang yang disegani masyarakt. Buktinya , ketika kerajaan negeri bercadang unutk membina lebuhraya , Tengku Farid wakil istana ketika itu meminta Tg Hj Musa mengeluarkan arahan kepada pendudukan kg utk membantu gotong royong menebas hutan yang semak samun ketika itu. Sebagai orang yang punya akaunbiliti dan mendapat tempat dalam hati masyarakt , jadi masyarakat turun membantu tanpa bantah tanda hormat kepada beliau TG Hj Musa.

Tg Hj Musa pakar Faraid , Tg Hj Musa mengunakan lidi dan biji jagung untuk menyelesaikan masalah faraid.

al-Fatihah kepada al-Marhum Tuan guru Haji Musa merupakan ayah kepada Tuan Guru Haji Salleh Sik Kedah.