Friday, 9 November 2012

Kisah Ka'ab Bin Malik (The Honest)



Suatu hari, Rasulullah SAW dan para sahabat berada dalam perang Tabuk. Ka'ab bin Malik tidak pernah ketinggalan mana-mana peperangan kecuali perang Tabuk itu. Sebelum Rasulullah SAW dan para sahabat berangkat, mereka sudah siap sedia dengan kelengkapan-kelengkapan perang tetapi Ka'ab bin Malik bertangguh dahulu sehinggalah mereka berangkat menuju ke medan perang. Ka'ab fikirkan bahawa dia sempat untuk membeli dan menyediakan kelengkapan perang tersebut.

Setelah Rasulullah dan para sahabat berangkat, Ka'ab masih lagi tidak mengikuti. Jumlah muslimin yang menyertai peperangan tersebut terlalu ramai sehinggakan Ka'ab sangkakan bahawa Rasulullah sudah melupainya. Jadi, dia mengambil keputusan untuk tidak meyertai sedangkan dia tahu bahawa yang tinggal di Madinah hanyalah orang munafik dan orang yang tidak kuat untuk berperang. Di sana, Rasulullah SAW bertanya, "Di manakah Ka'ab bin Malik?". Seorang dari Bani Salamah berkata, "Mungkin kerana keangkuhan dan kekayaan yang dimilikinya menyebabkan dia tidak mahu meyertai kita." Kemudian Mu'adz bin Jabal menafikan, "Celaka engkau! Kita tidak pernah menganggap Ka'ab demikian."

Apabila Rasulullah pulang, lebih kurang 80 orang pergi berjumpa Rasulullah menyatakan alasan-alasan mereka bagi mengelak daripada hukuman. Dengan sikap mulia Rasulullah, baginda SAW memaafkan mereka dan meminta doa agar Allah mengampuni mereka. Tetapi, Ka'ab bin Malik dan 2 orang lagi iaitu, Hilal bin Umayyah dan Murarah ibnu Al-Rabi' tidak menyatakan alasan dan mengaku kesalahan. Rasulullah SAW marah dan berkata kepada mereka, "Tunggulah nanti keputusan Allah."

Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat dan semua penduduk madinah agar memulau mereka bertiga selama 40 hari. Kehidupan mereka kini begitu sepi dan dunia telah menjadi sempit bagi mereka. Mereka berasa amat sedih dan menyesal. Tiap2 hari mereka menangis memohon ampun dan taubat. Sehinggalah hari ke-40, Rasulullah mengarahkan pembantunya agar memberitahu kepada mereka agar menjauhkan diri daripada isteri-isteri mereka. Kedukacitaan mereka bertambah-tambah. Mereka dipulau sehinggalah tiba hari yang ke-50 pada waktu Subuh, turunlah perintah Allah supaya membebaskan mereka.




Mereka pun gembira. Rasulullah dan para sahabat melayan mereka seperti biasa.

4.Jenayah Hirabah

Hirabah ialah rompakan bersenjata atau tindakan ganas yang dilakukan di jalan-jalan awam dengan menceroboh para penggunanya, mengancam keselamatan mereka dan merampas harta benda mereka. Ini merupakan sejenis jenayah yang sangat serius dan marabahaya. Justeru, hukuman yang paling keras mesti dikenakan ke atas pelakunya untuk menjamin keamanan di jalan-jalan awam dan memelihara keselamatan para penggunanya.

Hukuman Ke Atas Penjenayah Hirabah
Hukuman hudud yang ditetapkan dalam syari'at Islam ke atas pelaku jenayah hirabah dinyatakan di dalam Al-Quran pada surah Al-Ma'idah ayat 33 :

Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.
Ayat di atas menerangkan hukuman-hukuman berbeza yang ditetapkan ke atas penjenayah hirabah menurut perbezaan cara-cara jenayah yg dilakukan:

  • Jika perompak membunuh orang maka dia dibunuh balas.
  • Jika dia hanya merampas harta dan tidak membunuh maka dipotong tangan dan kakinya. Hukuman ini lebih keras daripada hukuman curi kerana jenayah hirabah lebih kejam dan lebih membahayakan kehidupan mangsanya.
  • Jika perompak membunuh pengguna jalan di samping merampas harta bendanya maka dia dibunuh balas serta disula. Tujuan disula setelah dibunuh adalah untuk menakutkan dan mencegah perbuatan yang sama dilakukan oleh orang-orang lain. Perompak itu sendiri yang telah dibunuh tentu tidak boleh mengambil apa-apa pengajaran daripada hukuman sula ini kerana dia telah mati.
  • Jika penjenayah hanya menakut-nakutkan orang, maka dia hanya dibuang negeri atau daerah; sebab semata-mata ugutan tidak meninggalka sebarang kesan material terhadap sasaran jenayah. Maka pemencilnya dari tempat asalnya dikira memadai. Begitupun makhamah boleh menambahkan hukuman ta'zir ke atas penjenayah sebegini jika didapati perlu.


Sunday, 4 November 2012

Syarat-syarat Untuk Mensabitkan Jenayah Curi

Pertama : Pencuri mengeluarkan harta mangsanya secara senyap atau secara diam-diam daripada tempat simpanannya, lalu memasukkannya kedalam miliknya. Jika pemilik barang itu cuai daripada menjaga harta kepunyannya seperti meletakkan di tempat awam, lalu ia diambil oleh seseorang, maka tangan orang yang mengambilnya tidaklah dipotong.

Kedua : Barang yang dicuri merupakan harta yang terhormat serta ada nilai materialnya di sisi syara'. Jika seseorang mencuri arak misalnya, maka dia tidak dikenakan hukuman hudud kerana arak tidak mempunyai nilai material dalam pandangan syara'.

Ketiga : Barang yang dicuri bukan milik orang yang mencuri itu sendiri. Jika seseorang mencuri balik hartanya yang telah dirampas oleh orang tertentu, atau mencuri barang yang tiada pemiliknya, atau mencuri harta seseorang yang berhutang kepadanya tetapi enggan membayar balik hutang itu, maka dalam situasi-situasi sedemikian pencuri tidak dikenakan hukuman hudud.

Keempat : Pencuri hendaklah tahu bahawa dia melakukan jenayah curi, yakni ada niat mencuri ketika melakukan perbuatanitu. Jika seseorang mengambil barang kepunyaan orang lain dengan tujuan meminjamnya, atau mengambil sesuatu benda dengan sangkaan ianya harus, atau sesuatu daripada rakannya dengan andaian bahawa rakan itu merelainya, maka dalam situasi-situasi begini hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kerana ketiadaan niat untuk melakukan jenayah curi. Mungkin hukuman ta'zir boleh dikenakan dalam keadaan demikian sekiranya didapati ada kewajarannya.