Sunday, 3 June 2012

Peperangan Tabuk

Ghazwah Tabuk dinamakan juga dengan Ghazwah al-’Usrah (Peperangan yang Susah). Ia berlaku pada Rajab, tahun ke-9 hijrah. Tabuk ialah nama sebuah tempat yang terletak di antara Wadi al-Qura di bumi Hijaz dengan Syam.

Sebab peperangan ini ialah, Rom telah mengumpul angkatan tentera yang ramai di Syam termasuk daripada kabilah Lakhm, Juzam, Amilah dan Ghassan yang merupakan kaum Arab beragama Nasrani. Tujuan Maharaja Rom, Herkules mengumpulkan angkatan tentera tersebut adalah untuk menyerang Madinah dan menghapuskan negara yang baru terbina di semenanjung tanah Arab tersebut. Berita-berita tentang Madinah serta siri kemenangannya menimbulkan kebimbangan dan ketakutan kepada beliau.

Rasulullah s.a.w. mengajak orang ramai untuk keluar berperang. Waktu itu merupakan waktu amat susah dan panas. Orang-orang mukmin yang jujur menyahut seruan tersebut,dengan rela hati. Namun terdapat tiga orang yang tidak menyertai angkatan tersebut.Padahal mereka merupakan golongan beriman yang jujur. Rasul s.a.w. juga meminta golongan berada agar membiayai keperluan ketenteraan tersebut. Lantas mereka menyumbangkan harta benda yang banyak. Abu Bakar telah menyumbang seluruh hartanya,sejumlah 40,000 dirham. Umar pula menyumbang separuh hartanya. Sementara Othman turut menyumbang harta yang banyak. Beliau telah mempersiapkan satu pertiga keperluan tentera Islam, hinggakan Rasulullah s.a.w. mendoakan untuk beliau dengan sabdanya:

“Selepas hari ini, apa-apa yang dilakukan Othman tidak akan memudaratkannya.”
Beberapa orang sahabat yang miskin datang bertemu Baginda lantaran mereka tidak mempunyai tunggangan yang boleh mereka naiki. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Aku tidak dapat menyedia tunggangan yang boleh membawa kamu.”

Oleh itu, mereka bersurai dengan air mata bergelinangan kesedihan lantaran tidak mempunyai apa-apa untuk disumbangkan. Manakala seramai lebih 80 orang munafik tidak menyertai peperangan ini. Terdapat juga segelintir Arab Badwi mengemukakan keuzuran kepada Baginda dengan alasan-alasan yang tidak benar. Walau bagaimanapun, Baginda tetap menerima alasan mereka itu.Rasulullah s.a.w. berangkat dengan tenteranya seramai 30,000 orang pejuang dan 10,000 ekor kuda. la merupakan angkatan tentera paling besar yang pernah dilihat oleh Arab ketika itu.

Baginda meneruskan perjalanannya sehingga sampai ke Tabuk. Baginda bermukim di situ selama kira-kira 20 malam tanpa menghadapi sebarang tipu daya daripada musuh, mahupun peperangan. Peperangan ini merupakan Ghazwah terakhir yang disertai oleh Rasulullah s.a.w.. Mengenai ghazwah ini,
Allah Tabarak wa Taala berfirman:

Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat Belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka.

Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepada-Nya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.
(Maksud At-Taubah:117-118)

Turut diturunkan ayat-ayat yang mencerita tentang sikap orang-orang munafik dan Arab Badwi yang meminta keuzuran agar tidak menyertai peperangan. Dalam ayat-ayat ini terdapat teguran Allah kepada Rasul-Nya yang menerima alasan mereka Kamu akan temui ayat-ayat ini dalam surah at-Taubah.

Tambahan:
Perang Tabuk (bahasa Arab: غزوة تبوك‎) merupakan salah satu peristiwa peperangan dalam Islam. Dalam sejarah Islam, peperangan ini merupakan skop peperangan terakhir bagi Nabi Muhammad s.a.w. Perang ini telah berlaku pada bulan Rejab ketika tahun ke-9 Hijrah (Oktober 630 M). Keadaan cuaca pada ketika itu adalah terlalu panas terik dan tempat berlakunya peperangan itu, Tabuk merupakan destinasi padang pasir yang terlalu jauh menyukar para musafir.

Empayar Rom merupakan sebuah kerajaan yang besar dan kuat ketika itu dan selalu mencapai kemenangan apabila berperang. Akibat kekuatan tentera Rom yang semakin kuat dan gagah, Maharaja Rom ketika itu berasa mereka perlu mengembangkan pengaruhya sehingga ke negeri-negeri Arab. Disamping itu mereka mendapat khabar yang memberitakan sebuah kerajaan baru yang digelar Islam sedang mula meluaskan sayapnya di seluruh tanah Arab. Lalu Maharaja Rom berhasrat besar untuk menyerang wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Muhammad ketika itu. Rasulullah telah mendapat berita berkenaan keinginan Maharaja Rom itu. Kaum Islam ketika itu tidak berhasrat sama sekali untuk mengadakan pertempuran dengan kerajaan Rom kerana mereka berhasrat untuk meneruskan kehidupan harmoni dan tenteram di bawah pemerintahan Rasulullah. Walau bagaimanapun kaum Muslimin perlulah bersiap siaga dalam menghadapi apa-apa propaganda dari musuh Islam.

Sesampai angkatan tentera Islam di Tabuk, Rasulullah bersama angkatan tetera Islam telah mengadakan ‘perjanjian perdamaian’ dengan penduduk di sekitar Tabuk, Rasulullah memberi jaminan keamanan kepada penduduk Tabuk, selagi mereka tidak menyebelahi musuh Islam dan memerangi dan berbuat jahat terhadap Islam. Setelah itu seorang penguasa Ilah (sebuah kawasan berdekatan Tabuk) yang bernama Yuhana bin Ru’bah datang meminta perdamaian bersama Rasulullah. Beliau sanggup membayar jizyah. Kesanggupan menerima keselamatan dan bersedia membayar jizyah juga diterima baik oleh penduduk Jarba dan Azruh. Rasulullah juga turut menghantar surat tawaran tersebut kepada setiap kawasan di sekitar Tabuk.

Tujuan Rasulullah berbuat demikian bukan untuk memonopoli kekayaan penduduk Tabuk atau membuat kejahatan kepada mereka. Tetapi Rasulullah berbuat demikian untuk menguatkan benteng perpaduan dan pertahanan Islam, di samping menyampaikan dakwah Islamiyah serta menyekat pergerakan musuh supaya tidak menggunakan sempadan Syam sebagai pangkalan perang. Akhirnya semua kabilah Arab di Tabuk menerima tawaran Rasul itu dengan tangan terbuka.

Hasilnya kekuatan tentera Islam di Tabuk semakin utuh dan kental. Rasulullah berjaya menyekat kemaraan tentera Rom di bawah pimpinan Panglima Satria Hercules, hal ini disebabkan beberapa faktor yang besar antaranya:

Benteng wilayah Tabuk yang semakin kebal akibat kekuatan pihak Islam. Tentera Islam berperang atas jalan Allah dan bukan semata-mata menguatkan pengaruh dan meluaskan kuasa

Bantuan tentera Allah melalui pengutusan Malaikat. Dikatakan semasa angkatan Rom ingin memasuki wilayah Tabuk. Mereka telah digentarkan oleh Malaikat {dianggarkan sebanyak 100,000 malaikat} yang menyamar sebagai panglima-panglima tentera Islam yang berpakaian serba putih, berbadan besar, sasa dan tegap disamping mempunyai sut serta alatan tempur yang lengkap seperti angkatan berkuda dan memanah.
Hal tersebut segera mematahkan perasan tentera Rom untuk memerangi Islam. Ini membuatkan pihak Islam menang besar tanpa menerima pertumpahan darah sedikit pun. Setelah segala-galanya selesai tentera Islam berjalan pulang ke Madinah dengan selamatnya tanpa seorang pun yang terkorban nyawa. Tentera Islam berada di Tabuk selama 20 hari
Sekian Wallahu’alam….

7 Perkara Ganjil


Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat." 

" Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut. 

Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain," 

Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi. 

" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya." 

" Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut. 

" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi. 

" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya." 

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..

Da'ie Sejuta Ummat



 Nama Penuh: Ustaz Azhar Bin Idrus

Tarikh Lahir: 12 Februari 1964

Umur: 48 Tahun (2012)

Asal: Kuala Terengganu, Terengganu.

Kerjaya: Pendakwah & Penceramah Bebas

Latar Belakang Pendidikan:
  • Sekolah Rendah Hj. Mohd Sharif, Alor Setar, Kedah.
  • Sekolah Menengah Darulaman Alor Setar, Kedah. (Tingkatan 1 dan 2)
  • Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu (Tingkatan 3 hingga 6)
Hobi: Fotografi

Isteri: Rogayah Binti Sulung (42), Wan Halimatun Nisa’ Binti Wan Mohd Nor (26)

Anak: Nur Madihah Asyiqin (20), Nur Farhah (19), Mohd Faqihuddin (18), Mohd Zuhaili (16), Ikhwan Najmi (14), Khairul Mukmin (7), Rasydan (6).

 Facebook: Ustaz Azhar Idrus (ORIGINAL)