Ghazwah Tabuk dinamakan juga dengan
Ghazwah al-’Usrah (Peperangan yang Susah). Ia berlaku pada Rajab, tahun
ke-9 hijrah. Tabuk ialah nama sebuah tempat yang terletak di antara Wadi
al-Qura di bumi Hijaz dengan Syam.
Sebab peperangan ini ialah, Rom telah
mengumpul angkatan tentera yang ramai di Syam termasuk daripada kabilah
Lakhm, Juzam, Amilah dan Ghassan yang merupakan kaum Arab beragama
Nasrani. Tujuan Maharaja Rom, Herkules mengumpulkan angkatan tentera
tersebut adalah untuk menyerang Madinah dan menghapuskan negara yang
baru terbina di semenanjung tanah Arab tersebut. Berita-berita tentang
Madinah serta siri kemenangannya menimbulkan kebimbangan dan ketakutan
kepada beliau.
Rasulullah s.a.w. mengajak orang ramai
untuk keluar berperang. Waktu itu merupakan waktu amat susah dan panas.
Orang-orang mukmin yang jujur menyahut seruan tersebut,dengan rela hati.
Namun terdapat tiga orang yang tidak menyertai angkatan
tersebut.Padahal mereka merupakan golongan beriman yang jujur. Rasul
s.a.w. juga meminta golongan berada agar membiayai keperluan ketenteraan
tersebut. Lantas mereka menyumbangkan harta benda yang banyak. Abu
Bakar telah menyumbang seluruh hartanya,sejumlah 40,000 dirham. Umar
pula menyumbang separuh hartanya. Sementara Othman turut menyumbang
harta yang banyak. Beliau telah mempersiapkan satu pertiga keperluan
tentera Islam, hinggakan Rasulullah s.a.w. mendoakan untuk beliau dengan
sabdanya:
“Selepas hari ini, apa-apa yang dilakukan Othman tidak akan memudaratkannya.”
Beberapa orang sahabat yang miskin
datang bertemu Baginda lantaran mereka tidak mempunyai tunggangan yang
boleh mereka naiki. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Aku tidak dapat menyedia tunggangan yang boleh membawa kamu.”
Oleh itu, mereka bersurai dengan air
mata bergelinangan kesedihan lantaran tidak mempunyai apa-apa untuk
disumbangkan. Manakala seramai lebih 80 orang munafik tidak menyertai
peperangan ini. Terdapat juga segelintir Arab Badwi mengemukakan
keuzuran kepada Baginda dengan alasan-alasan yang tidak benar. Walau
bagaimanapun, Baginda tetap menerima alasan mereka itu.Rasulullah s.a.w.
berangkat dengan tenteranya seramai 30,000 orang pejuang dan 10,000
ekor kuda. la merupakan angkatan tentera paling besar yang pernah
dilihat oleh Arab ketika itu.
Baginda meneruskan perjalanannya
sehingga sampai ke Tabuk. Baginda bermukim di situ selama kira-kira 20
malam tanpa menghadapi sebarang tipu daya daripada musuh, mahupun
peperangan. Peperangan ini merupakan Ghazwah terakhir yang disertai oleh
Rasulullah s.a.w.. Mengenai ghazwah ini,
Allah Tabarak wa Taala berfirman:
Sesungguhnya Allah telah menerima taubat
Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang)
dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan
dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah
menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat Belas, lagi Maha
Mengasihani terhadap mereka.
Dan (Allah menerima pula taubat) tiga
orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi
yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan),
dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta
mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan)
Allah melainkan (kembali bertaubat) kepada-Nya; kemudian Allah (memberi
taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat.
Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.
(Maksud At-Taubah:117-118)
Turut diturunkan ayat-ayat yang
mencerita tentang sikap orang-orang munafik dan Arab Badwi yang meminta
keuzuran agar tidak menyertai peperangan. Dalam ayat-ayat ini terdapat
teguran Allah kepada Rasul-Nya yang menerima alasan mereka Kamu akan
temui ayat-ayat ini dalam surah at-Taubah.
Tambahan:
Perang Tabuk (bahasa Arab: غزوة تبوك)
merupakan salah satu peristiwa peperangan dalam Islam. Dalam sejarah
Islam, peperangan ini merupakan skop peperangan terakhir bagi Nabi
Muhammad s.a.w. Perang ini telah berlaku pada bulan Rejab ketika tahun
ke-9 Hijrah (Oktober 630 M). Keadaan cuaca pada ketika itu adalah
terlalu panas terik dan tempat berlakunya peperangan itu, Tabuk
merupakan destinasi padang pasir yang terlalu jauh menyukar para
musafir.
Empayar Rom merupakan sebuah kerajaan
yang besar dan kuat ketika itu dan selalu mencapai kemenangan apabila
berperang. Akibat kekuatan tentera Rom yang semakin kuat dan gagah,
Maharaja Rom ketika itu berasa mereka perlu mengembangkan pengaruhya
sehingga ke negeri-negeri Arab. Disamping itu mereka mendapat khabar
yang memberitakan sebuah kerajaan baru yang digelar Islam sedang mula
meluaskan sayapnya di seluruh tanah Arab. Lalu Maharaja Rom berhasrat
besar untuk menyerang wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Muhammad ketika
itu. Rasulullah telah mendapat berita berkenaan keinginan Maharaja Rom
itu. Kaum Islam ketika itu tidak berhasrat sama sekali untuk mengadakan
pertempuran dengan kerajaan Rom kerana mereka berhasrat untuk meneruskan
kehidupan harmoni dan tenteram di bawah pemerintahan Rasulullah. Walau
bagaimanapun kaum Muslimin perlulah bersiap siaga dalam menghadapi
apa-apa propaganda dari musuh Islam.
Sesampai angkatan tentera Islam di
Tabuk, Rasulullah bersama angkatan tetera Islam telah mengadakan
‘perjanjian perdamaian’ dengan penduduk di sekitar Tabuk, Rasulullah
memberi jaminan keamanan kepada penduduk Tabuk, selagi mereka tidak
menyebelahi musuh Islam dan memerangi dan berbuat jahat terhadap Islam.
Setelah itu seorang penguasa Ilah (sebuah kawasan berdekatan Tabuk) yang
bernama Yuhana bin Ru’bah datang meminta perdamaian bersama Rasulullah.
Beliau sanggup membayar jizyah. Kesanggupan menerima keselamatan dan
bersedia membayar jizyah juga diterima baik oleh penduduk Jarba dan
Azruh. Rasulullah juga turut menghantar surat tawaran tersebut kepada
setiap kawasan di sekitar Tabuk.
Tujuan Rasulullah berbuat demikian bukan
untuk memonopoli kekayaan penduduk Tabuk atau membuat kejahatan kepada
mereka. Tetapi Rasulullah berbuat demikian untuk menguatkan benteng
perpaduan dan pertahanan Islam, di samping menyampaikan dakwah Islamiyah
serta menyekat pergerakan musuh supaya tidak menggunakan sempadan Syam
sebagai pangkalan perang. Akhirnya semua kabilah Arab di Tabuk menerima
tawaran Rasul itu dengan tangan terbuka.
Hasilnya kekuatan tentera Islam di Tabuk
semakin utuh dan kental. Rasulullah berjaya menyekat kemaraan tentera
Rom di bawah pimpinan Panglima Satria Hercules, hal ini disebabkan
beberapa faktor yang besar antaranya:
Benteng wilayah Tabuk yang semakin kebal
akibat kekuatan pihak Islam. Tentera Islam berperang atas jalan Allah
dan bukan semata-mata menguatkan pengaruh dan meluaskan kuasa
Bantuan tentera Allah melalui pengutusan
Malaikat. Dikatakan semasa angkatan Rom ingin memasuki wilayah Tabuk.
Mereka telah digentarkan oleh Malaikat {dianggarkan sebanyak 100,000
malaikat} yang menyamar sebagai panglima-panglima tentera Islam yang
berpakaian serba putih, berbadan besar, sasa dan tegap disamping
mempunyai sut serta alatan tempur yang lengkap seperti angkatan berkuda
dan memanah.
Hal tersebut segera mematahkan perasan
tentera Rom untuk memerangi Islam. Ini membuatkan pihak Islam menang
besar tanpa menerima pertumpahan darah sedikit pun. Setelah
segala-galanya selesai tentera Islam berjalan pulang ke Madinah dengan
selamatnya tanpa seorang pun yang terkorban nyawa. Tentera Islam berada
di Tabuk selama 20 hari
Sekian Wallahu’alam….
No comments:
Post a Comment