Jalut ialah seorang raja kepada puak Balthaha yang amat kejam dan sangat memusuhi Bani Israel. Mereka mendiami kawasan berdekatan pantai jajahan Rom, di antara Palestin dengan Mesir. Mereka menakluk banyak kawasan Bani Israel, selain memperhambakan isteri serta anak-anak Bani Israel.
Ujian Allah Kepada Tentera Talut
Sebelum berangkat, Talut berpesan kepada bala tenteranya : "Kita akan menyeberangi sebatang sungai di bawah terik panas matahari sesudah berlatih dan berjalan jauh. Orang yang benar-benar menjadi tenteraku tidak boleh meminum air sungai itu lebih daripada seteguk, tetapi hanya untuk membasahkan tekak sahaja. Sesiapa yang menurut perintahku, aku menganggap dia termasuk dalam bala tenteraku dan hanya mereka inilah yang dapat aku kerah dan pimpin. Adapun orang yang sengaja melanggarnya bererti dia telah melanggar disiplin tentera. Aku tidak akan mengharapkan apa-apa hasil pun daripadanya dalam pertempuran hebat yang kita akan hadapi. Mereka yang melanggar perintahku hanya akan menyusahkan dan menimbulkan perpecahan sahaja."
Menurut para Ulama', Talut hanya membenarkan tenteranya meminum seteguk air sahaja bermakna dia mengajar sifat zuhud iaitu mengambil perkara dunia setakat keperluan sahaja.
Talut menganggap bala tenteranya memahami dan bersetuju dengan perintahnya itu. Dalam sinaran panas terik matahari di tengah padang pasir yang luas, Talut dan bala tenteranya menemui sebatang sungai yang jernih lalu mereka menyeberangi sungai tersebut.Talut memerhatikan bala tenteranya. Ramai daripada mereka yang tidak mematuhi perintah, yakni meminum air sungai itu sepuas-puasnya, malah ada yang mengambil air tersebut sebagai bekalan. Hanya sedikit sahaja daripada mereka yang menurut perintah Talut. Sebagai pemimpin, Talut sangat khuatir dengan sikap mereka yang tidak menurut perintah itu. Talut dan tenteranya meneruskan perjalanan, sehingga berlaku pertembungan antara mereka dengan tentera Jalut.
Peperangan yang dihadapi amat sukar bagi Talut dan bala tenteranya. Kini, tentera Talut berpecah kepada 2 golongan iaitu golongan pertama ialah golongan yang patuh kepada Talut manakala golongan kedua pula ialah golongan yang melanggar perintah Talut. Mereka kelihatan lemah semangat, mengeluh serta berputus asa. Sementara itu, golongan yang beriman dan patuh tetap bersemangat kerana mereka amat yakin bahawa Allah SWT membantu mereka walaupun dengan bilangan sedikit, mampu mengalahkan tentera Jalut yang jauh lebih ramai.
Ingatlah bahawa kemenangan bukanlah bergantung kepada kuantiti, tetapi kualiti. Sejarah Islam telah banyak membuktikan bahawa yang sedikit selalunya dapat menandingi yang besar. Contohnya, seperti Kisah Perang Badar, Kisah 7 Pemuda Ashabul Kahfi, Kisah Seorang Budak Ashabul Ukhdud dan Kisah Talut dan Jalut.Hero Cilik
Berita tentang kesukaran Talut dan tenteranya diketahui oleh seluruh puak bani Israel. Seorang lelaki tua yang mendengar khabar ini telah memilih 3 orang daripada anaknya untuk pergi berperang termasuklah anaknya, Nabi Daud, yang baru berusia 9 tahun. Namun, Nabi Daud ditugaskan hanya untuk membawa makanan dan memberi khabar tentang peperangan kepada si ayah. Mereka segera menghadap Talut untuk menyertai pasukan tentera. Talut sangat bangga dengan semangat ketiga-tiga anak muda itu dan hanya kedua-dua abang sahaja dibenarkan manakala Nabi Daud dianggap kecil dan diminta membantu di barisan belakang.
Daud ingin turut serta berperang lalu meminta kebenaran daripada Talut. "Kau masih kecil wahai Daud," kata Talut. Daud menjawab : "Ya, tetapi janganlah membanding besar atau kecil seseorang. Sekalipun saya masih kecil, saya sudah cukup kuat dan bersemangat untuk berperang. Pernah seekor singa menyerang kambing kami. Saya bergelut dengan singa itu dan berjaya mematahkan lehernya." Mendengar kata-kata itu, Talut dapat merasakan dia berhadapan dengan seorang yang sangat luar biasa. Akhirnya Nabi Daud dibenarkan untuk turut berperang. Beliau diberikan sebatang tombak, sebilah le, namun ditolaknya kerana terlalu berat dan panjang baginya. Sebaliknya, Nabi Daud hanya mengambil beberapa ketul batu dan seutas tali.
Nabi Daud mara ke hapadan dan mendekati Jalut. Jalut bertindak untuk menyerang, tetapi Nabi Daud terlebih dahulu membaling batu dengan talinya (lastik) sekuat hati kepada Jalut. Batu-batu yang diarah kepada Jalut tepat mengenai kepalanya dan akhirnya dia jatuh dan mati. Apabila dia rebah dan mati, tentera Jalut berpecah dan bala tentera Talut segera menyerang mereka. Akhirnya, kemengan menjadi milik bani Israel. Keberanian Nabi Daud masa kecil itu memberi kemenangan kepada mereka. Seluruh bangsa Israel kembali bersatu dan oulang dengan selamat ke tempat mereka. Sejak itu, nama Nabi Daud masyhur dan terkenal.
sumber : Buku Solusi isu no.44 m/s 116. dan Kuliah Maghrib oleh Ustaz Kamaruddin.
No comments:
Post a Comment