Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa?
1. Makan dan minum dengan sengaja (ijmak ulamak); berdalilkan pemahaman
dari ayat Allah; “…maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan
carilah apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah
serta minumlah sehingga nyata kepada
kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam)
iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu
malam (maghrib)…”. (al-Baqarah; 187)
2. Bersetubuh dengan
isteri pada pada siang hari bulan Ramadhan walaupun tanpa keluar mani
(ijmak ulamak); berdasarkan pemahamana dari ayat di atas.
3.
Muntah dengan sengaja walaupun sedikit (berdasarkan pandangan Imam Malik
dan Syafi’ie); berdalilkan hadis Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang terpaksa
muntah, maka (tidaklah batal puasanya dan) ia tidak wajib mengqadha’ dan
sesiapa yang sengaja muntah, maka (batallah puasanya dan) ia wajib
mengqadhanya” (HR Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain dari
Abu Hurairah r.a.). Mengikut pandangan Imam Abu Hanifah; tidak batal
puasa kecuali banyak (penuh mulut). Jika muntah berlaku tanpa sengaja
tidak batal puasa dengan ijmak ulamak.
4. Kedatangan haid dan
nifas (ijmak ulamak); wanita apabila kedatangan haid atau nifas, maka
batallah puasanya dengan sendirinya. Kemudian wajib ia menggantikan
puasanya pada hari-hari lain di luar Ramadhan.
5. Mengeluarkan
air mani dengan perbuatan secara lansung yang disengajakan seperti
mengeluar dengan tangan (sama ada tangan sendiri atau tangan isteri),
bercium atau berpelukan dengan isteri dan sebagainya. Adapun jika keluar
mani kerana melihat atau berfikir/khayal, tidaklah membatalkan puasa
–kerana ia seumpama mimpi- kecuali orang yang menjadi kebiasaan baginya.
Namun begitu perbuatan tersebut adalah makruh. Begitu juga, jika yang
keluar adalah air mazi, tidaklah membatalkan puasa.
6.
Memasukkan sesuatu bukan makanan melalui saluran terbuka yang menyampai
ke rongga perut, yakni memasukkan melalui mulut atau hidung. Perkara ini
membatalkan puasa mengikut mazhab Syafi’ie, Malik dan jumhur ulamak
dengan mengkiaskannya kepada makanan dan minuman.
7. Memasukkan
ubat melalui lubang dubur; membatalkan puasa mengikut jumhur ulamak
kecuali Imam Malik (mengikut satu pandangannya) dan Imam Daud.
8. Menitikkan air atau ubat ke dalam lubang telinga dan lubang kencing
membatalkan puasa menurut Imam Syafi’ie. Begitu juga, menyedut ubat
melalui hidung.[1]
9. Pengsan sepanjang hari akan membatalkan
puasa dengan disepakati sekelian ulamak. Adapun tidur sepanjang hari
tidak membatalkan puasa dengan ijmak juga.
10. Gila; jika seseorang itu menjadi gila, batallah puasanya kerana ia telah hilang darinya kelayakan untuk beribadah.
11. Berbekam (mengeluarkan darah); batal puasa mengikut Imam Ahmad. Jumhur ulamak tidak membatalkannya.
12. Berniat keluar dari puasa; batal puasa mengikut Imam Ahmad. Menurut
Abu Hanifah, majoriti ulamak mazhab Maliki dan yang rajih dalam mazhab
Syafi’ie; tidak batal puasa.
Nota kaki;
[1] Ketetapan
umum dalam mazhab Syafi’ie; membatalkan puasa dengan memasukkan sesuatu
ke rongga dalam badan (iaitu rongga halqum ke perut, rongga kepala
(otak), usus dan pundi kencing) melalui saluran yang terbuka di badan.
Sama ada benda yang dimasukkan itu kecil atau besar, makanan atau bukan
makanan. Yang dimaksudkan saluran terbuka pada badan itu ialah mulut,
hidung, telinga, kemaluan/faraj (saluran kencing) dan dubur (saluran
berak).
No comments:
Post a Comment