Al-Musnid
Al-Alim Al-Alamah Al-Muhaddith Al-Arif Al-Billah Qutub Rabbani Syeikh
Prof. Dr. Habib Sayyid Muhammad Ibn Sayyid Alwi Ibn Sayyid Abbas Ibn
Abdul Azizi Al-Maliki Al-Hasani.
As-Sayyid Muhammad bin Alawi
Al-Maliki adalah salah seorang ulama Islam yang muktabar terutama di era
ini tanpa ragu lagi, ulamak yang paling dihormati dan dicintai di kota
suci Makkah.
Beliau merupakan keturunan Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam, penghulu Ahlil Bait, Imam Hadis di zaman
kita, pemimpin keempat-empat mazhab, ketua rohani yang paling
berkaliber, pendakwah ke jalan Allah, seorang yang tidak goyah dengan
pegangannya di dunia ilmiah Islam turath.
|Keluarga|
Keturunan Sayyid merupakan keturunan mulia yang bersambung secara
langsung dengan Junjungan kita Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wasallam
sendiri. Beliau merupakan waris keluarga Al-Maliki Al-Hasani di Makkah
yang masyhur yang merupakan keturunan Rasulullah Sallahu ‘Alaihi
Wasallam, melalui cucu Baginda, Imam Al-Hasan bin Ali, Radhiyallahu
‘Anhum.
Keluarga Maliki merupakan salah satu keluarga yang
paling dihormati di Makkah dan telah melahirkan alim ulamak besar di
Makkah, yang telah mengajar di Makkah berkurun lama.
Lima orang
dari keturunan Sayyid Muhammad, telah menjadi Imam Mazhab Maliki di
Haram Makkah. Datuk beliau, Al-Sayyid Abbas Al-Maliki, merupakan Mufti
dan Qadhi Makkah dan khatib di Masjidil Haram. Beliau memegang jawatan
ini ketika pemerintahan Uthmaniah serta Hashimiah, dan seterusnya terus
memegang jawatan tersebut setelah Kerajaan Saudi diasaskan. Raja Abdul
Aziz bin Sa’ud sangat menghormati beliau. Riwayat lanjut beliau boleh
dirujuk pada kitab Nur An-Nibras fi Asanid Al-Jadd As-Sayyid Abbas oleh
cucunya As-Sayyid Muhammad Al-Maliki.
Bapa beliau pula,
As-Sayyid Alawi Al-Maliki merupakan salah seorang ulamak Makkah
terunggul di abad yang lalu. Beliau telah mengajar pelbagai ilmu Islam
turath di Masjidil Haram selama hampir 40 tahun. Ratusan murid dari
seluruh pelusuk dunia telah mengambil faedah daripada beliau dari kuliah
beliau di Masjidil Haram, dan ramai di kalangan mereka telah memegang
jawatan penting agama di negara masing-masing.
Malah, Raja
Faisal tidak akan membuat apa-apa keputusan berkaitan Makkah melainkan
setelah meminta nasihat daripada As-Sayyid Alawi. Beliau telah meninggal
dunia pada tahun 1971 dan upacara pengebumiannya merupakan yang
terbesar di Makkah sejak seratus tahun. Dalam tempoh 3 hari daripada
kematian beliau, Stesyen Radio Saudi tempatan hanya menyiarkan bacaan
Al-Quran, sesuatu yang tidak pernah dilakukan kecuali hanya untuk
beliau.
Maklumat lanjut tentang As-Sayyid Alawi boleh dirujuk
kepada biografinya berjudul Safahat Musyriqah min Hayat Al-Imam
As-Sayyid As-Syarif Alawi bin Abbas Al-Maliki oleh anaknya, yang juga
merupakan adik kepada As-Sayyid Muhammad, As-Sayyid Abbas Al-Maliki,
juga seorang ulamak, tetapi lebih dikenali dengan suara merdunya dan
pembaca Qasidah yang paling utama di Arab Saudi. Biografi ini
mengandungi tulisan berknaan As-Sayyid Alawi dari ulamak dari seluruh
dunia Islam.
Keluarga Maliki juga telah melahirkan ramai lagi
ulamak lain, tetapi penulis hanya menyebut bapa dan datuk kepada
As-Sayyid Muhammad. Untuk maklumat lanjut, rujuk tulisan-tulisan
berkaitan sejarah Makkah dan ulamaknya di abad-abad mutakhir.
|Kelahiran dan Pendidikan Awal|
As-Sayyid Muhammad Al-Hasani bin Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz,
dilahirkan pada tahun 1946, di kota suci Makkah, dalam keluarga
Al-Maliki Al-Hasani yang terkenal, keluarga Sayyid yang melahirkan
ulamak tradisi. Beliau amat beruntung kerana memiliki bapa seperti
As-Sayyid Alawi, seorang ulamak paling berilmu di Makkah. Bapa beliau
merupakan guru pertama dan utama beliau, mengajar beliau secara peribadi
di rumah dan juga di Masjidil Haram, di mana beliau menghafal Al-Quran
sejak kecil. Beliau belajar dengan bapa beliau dan diizinkan untuk
mengajar setiap kitab yang diajarkan oleh bapa beliau kepada beliau.
|Pendidikan Lanjut|
Dengan arahan bapanya, beliau juga turut mempelajari dan mendalami
pelbagai ilmu turath Islam: Aqidah, Tafsir, Hadith, Feqh, Usul,
Mustalah, Nahw dan lain-lain, di tangan ulamak-ulamak besar lain di
Makkah serta Madinah. Kesemua mereka telah memberikan ijazah penuh
kepada beliau untuk mengajar ilmu-ilmu ini kepada orang lain.
Ketika berumur 15 tahun lagi, As-Sayyid Muhammad telah mengajar
kitab-kitab Hadith dan Feqh di Masjidil Haram, kepada pelajar-pelajar
lain, dengan arahan guru-gurunya. Setelah mempelajari ilmu turath di
tanah kelahirannya Makkah, beliau dihantar oleh bapanya untuk menuntut
di Universiti Al-Azhar As-Syarif.
Beliau menerima ijazah PhD
daripada Al-Azhar ketika berusia 25 tahun, menjadikan beliau warga Arab
Saudi yang pertama dan termuda menerima ijazah PhD dari Al-Azhar. Tesis
beliau berkenaan Hadith telah dianggap cemerlang dan menerima pujian
yang tinggi dari alim ulamak unggul di Al-Azhar ketika itu, seperti Imam
Abu Zahrah.
|Perjalanan Mencari Ilmu|
Perjalanan
menuntut ilmu merupakan jalan kebanyakan ulamak. As-Sayid Muhammad turut
tidak ketinggalan. Beliau bermusafir sejak usia muda untuk menuntut
ilmu dari mereka yang memiliki ilmu. Beliau telah bermusafir dengan
banyak ke Afrika Utara, Mesir, Syria, Turki, dan rantau Indo-Pak untuk
belajar dari alim-ulamak yang hebat, bertemu para Wali Allah, menziarahi
masjid-masjid dan maqam-maqam, serta mengumpul manuskrip-manuskrip dan
kitab.
Di setiap tempat ini, beliau menemui para ulamak dan
auliyak yang agung, dan mengambil faedah daripada mereka. Mereka juga
turut tertarik dengan pelajar muda dari Makkah ini dan memberi perhatian
istimewa untuk beliau. Kebanyakan mereka telah pun sangat menghormati
bapa beliau yang alim, dan merupakan satu kebanggaan memiliki anak
beliau sebagai murid.
|Ijazah-ijazah|
Sistem pengajian
tradisi atau turath berasaskan kepada ijazah atau ‘keizinan untuk
menyampaikan ilmu’. Bukan semua orang boleh mengajar. Hanya mereka yang
memiliki ijazah yang diktiraf dari alim-ulamak yang terkenal sahaja yang
boleh mengajar. Setiap cabang pengetahuan dan setiap kitab Hadith,
Feqh, Tafsir dan lain-lain, mempunyai Sanad-sanad, atau rantaian riwayat
yang bersambung sehingga kepada penyusun kitab tersebut sendiri melalui
anak-anak muridnya dan seterusnya anak-anak murid mereka. Banyak
sanad-sanad yang penting, seperti sanad Al-Qur’an, Hadith dan Tasawwuf,
bersambung sehingga kepada Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam.
Sayyid Muhammad mendapat penghormatan dengan menjadi< Shaykh dengan
bilangan ijazah terbanyak dalam waktunya. Beliau juga memiliki rantaian
sanad terpendek atau terdekat dengan datuknya, Nabi Muhammad Sallahu
Alaihi Wasallam.
Di Tanah Arab, tanah kelahirannya, dan dalam
permusafiran ilmunya, As-Sayyid Muhammad mendapat lebih dari 200 ijazah
dari alim-ulamak teragung di zamannya, di setiap cabang ilmu Islam.
Ijazah beliau sendiri, yang beliau berikan kepada murid-muridnya adalah
antara yang paling berharga dan jarang di dunia, menghubungkan anak-anak
muridnya dengan sejumlah besar para ulamak agung.
Para
Masyaikh yang memberikan As-Sayyid Muhammad ijazah-ijazah mereka
merupakan ulamak besar dari seluruh dunia Islam. Kita menyebutkan
sebahagian mereka:
Dari Makkah:
Bapa beliau yang alim dan guru beliau yang pertama, As-Sayyid Alawi bin Abbas al-Maliki
Shaykh Muhammad Yahya Aman al-Makki
Shaykh al-Sayyid Muhammad al-Arabi al-Tabbani
Shaykh Hasan Sa‘id al-Yamani
Shaykh Hasan bin Muhammad al-Mashshat
Shaykh Muhammad Nur Sayf
Shaykh Muhammad Yasin al-Fadani
Al-Sayyid Muhammad Amin Kutbi
Al-Sayyid Ishaq bin Hashim ‘Azuz
Habib Hasan bin Muhammad Fad‘aq
Habib Abd-al-Qadir bin ‘Aydarus al-Bar
Shaykh Khalil Abd-al-Qadir Taybah
Shaykh Abd-Allah al-Lahji
Dari Madinah:
Shaykh Hasan al-Sha‘ir, Shaykh al-Qurra of Madinah
Shaykh Diya-al-Din Ahmad al-Qadiri
As-Sayyid Ahmad Yasin al-Khiyari
Shaykh Muhammad al-Mustafa al-Alawi al-Shinqiti
Shaykh Ibrahim al-Khatani al-Bukhari
Shaykh Abd-al-Ghafur al-Abbasi al-Naqshbandi
Dari Hadramawt dan Yaman:
Al-Habib Umar bin Ahmad bin Sumayt, Imam Besar Hadramawt
Shaykh As-Sayyid Muhammad Zabarah, Mufti Yaman
Shaykh As-Sayyid Ibrahim bin Aqeel al-Ba-Alawi, Mufti Ta‘iz
Al-Imam al-Sayyid Ali bin Abd-al-Rahman al-Habshi
Al-Habib Alawi ibn Abd-Allah bin Shihab
As-Sayyid Hasan bin Abd-al-Bari al-Ahdal
Shaykh Fadhl bin Muhammad Ba-Fadhal
Al-Habib Abd-Allah bin Alawi al-Attas
Al-Habib Muhammad bin Salim bin Hafeez
Al-Habib Ahmad Mashhur al-Haddad
Al-Habib Abd-al-Qadir al-Saqqaf
Dari Syria:
Shaykh Abu-al-Yasar ibn Abidin, Mufti Syria
Shaykh As-Sayyid al-Sharif Muhammad al-Makki al-Kattani, Mufti Maliki
Shaykh Muhammad As‘ad al-Abaji, Mufti Shafi‘i
Shaykh As-Sayyid Muhammad Salih al-Farfur
Shaykh Hasan Habannakah al-Maydani
Shaykh Abd-al-Aziz ‘Uyun al-Sud al-Himsi
Shaykh Muhammad Sa‘id al-Idlabi al-Rifa‘i
Dari Mesir:
Shaykh As-Sayyid Muhammad al-Hafiz al-Tijani, Imam Hadith di Mesir
Shaykh Hasanayn Muhammad Makhluf, Mufti Mesir
Shaykh Salih al-Ja‘fari, Imam Masjid Al-Azhar
Shaykh Amin Mahmud Khattab al-Subki
Shaykh Muhammad al-‘Aquri
Shaykh Hasan al-‘Adawi
Shaykh As-Sayyid Muhammad Abu-al-‘Uyun al-Khalwati
Shaykh Dr. Abd-al-Halim Mahmud, Syeihkul Azhar
Dari Afrika Utara (Maghribi, Algeria, Libya dan Tunisia):
Shaykh As-Sayyid As-Sharif Abd-al-Kabir al-Saqali al-Mahi
Shaykh As-Sayyid Abd-Allah bin Al-Siddiq Al-Ghimari, Imam Hadith
Shaykh As-Sayyid Abd-al-Aziz bin Al-Siddiq al-Ghimari
As-Sharif Idris al-Sanusi, Raja Libya
Shaykh Muhammad At-Tahir ibn ‘Ashur, Imam Zaytunah, Tunis
Shaykh al-Tayyib Al-Muhaji al-Jaza’iri
Shaykh Al-Faruqi Al-Rahhali Al-Marrakashi
Shaykh As-Sayyid As-Sharif Muhammad al-Muntasir al-Kattani
Dari Sudan:
Shaykh Yusuf Hamad An-Nil
Shaykh Muddassir Ibrahim
Shaykh Ibrahim Abu-an-Nur
Shaykh At-Tayyib Abu-Qinayah
Dari Rantau Indo-Pak:
Shaykh Abu-al-Wafa al-Afghani Al-Hanafi
Shaykh Abd-al-Mu‘id Khan Hyderabadi
Al-Imam Al’Arif Billah Mustafa Rida Khan al-Barelawi, Mufti India
Mufti Muhammad Shafi’ Al-Deobandi, Mufti Pakistan
Mawlana Muhammad Zakariyya Al-Kandahlawi, Imam Hadith
Mawlana Zafar Ahmad Thanawi
Shaykh Al-Muhaddith Habib-al-Rahman Al-‘Azami
Sayyid Abu-al-Hasan Ali An-Nadawi
Senarai ini hanya merupakan ulamak masyhur yang Syaikh kita telah
mendapat ijazah darinya, dan di sana terdapat ramai lagi yang tidak
disebutkan. Pada As-sayyid Muhammad Alawi, seseorang akan mendapati
nilai terbaik dari para Masyaikh ini dalam pelabagai latarbelakang dan
pengkhususan.
|Karier Mengajar|
Kalimah karier
sebenarnya mungkin tidak sesuai untuk digunakan untuk menggambarkan
aktiviti mengajar As-Sayyid Muhammad, kerana kalimah ini amat hampir
kaitannya dengan keuntungan material. Sementara beliau, seperti mana
Masyaikh tradisi yang lain, juga seperti keturunannya sebelum beliau,
mengajar hanya kerana Allah dan tidak mengharapkan keuntungan material
langsung.
Malahan, beliau menempatkan sejumlah besar pelajar di
rumahnya sendiri, menyediakan untuk mereka makan minum, penginapan,
pakaian, kitab-kitab serta segala keperluan mereka. Sebagai balasan,
mereka hanya diminta mengikuti peraturan dan etika penuntut ilmu agama
yang suci. Pelajar-pelajar ini biasanya menetap bersama beliau
bertahun-tahun lamanya, mempelajari pelbagai cabang ilmu Islam, dan
seterusnya kembali ke negeri masing-masing. Ratusan dari para pelajar
telah menuntut di kaki beliau dan telah menjadi pelopor pengetahuan
Islam dan kerohanian di negara mereka, terutamanya di Indonesia,
Malaysia, Mesir, Yaman dan Dubai.
Bagaimanapun apabila pulang
dari Al-Azhar, beliau dilantik sebagai Profesor Pengajian Islam di
Universiti Ummul Qura di Makkah, yang mana beliau telah mengajar sejak
tahun 1970.
Pada tahun 1971, sebaik bapanya meninggal dunia,
para ulamak Makkah meminta beliau untuk menggantikan tempat bapanya
sebagai guru di Masjidil Haram. Beliau menerimanya, lantas menduduki
kedudukan yang telah diduduki oleh keluarganya lebih dari seabad. Beliau
juga kadang kala mengajar di Masjid Nabi di Madinah. Kuliah pengajian
beliau merupakan kuliah yang paling ramai dihadiri di kedua-dua Tanah
Haram.
Bagaimanapun pada awal tahun 80-an, beliau telah
mengosongkan kedudukan mengajarnya di Universiti Ummul Qura juga kerusi
warisannya di Masjidil Haram, memandangkan fatwa dari sebahgian ulamak
fanatik fahaman Wahhabi, yang menganggap kewujudannya sebagai ancaman
kepada ideologi dan kekuasaan mereka.
Sejak itu, beliau
mengajar kitab-kitab agung Hadith, Fiqh, Tafsir dan tasawwuf di rumah
dan masjidnya di Jalan Al-Maliki di Daerah Rusayfah, Makkah.
Kuliah-kuliah umumnya antara waktu Maghrib dan Isyak dihadiri tidak
kurang daripada 500 orang setiap hari. Ramai pelajarnya daripada
Universiti menghadiri pengajiannya di waktu malam. Sehingga malam
sebelum beliau meninggal dunia, majlisnya dipenuhi penuntut.
Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki amat dihormati oleh Kerajaan Arab Saudi
dan selalu diminta nasihat dari Raja sendiri dalam urusan-urusan yang
penting. Beliau juga dilantik sebagai ketua juri dalam Musabaqah Qur’an
antarabangsa di Makkah selama tiga tahun berturut-turut.
|Karya Beliau|
Sayyid Muhammad merupakan seorang penulis prolifik dan telah
menghasilkan hampir seratus buah kitab. Beliau telah menulis dalam
pelbagai topik agama, undang-undang, social serta sejarah, dan
kebanyakan bukunya dianggap sebagai rujukan utama dan perintis kepada
topik yang dibicarakan dan dicadangkan sebagai buku teks di
Institusi-institusi Islam di seluruh dunia.
Kita sebutkan sebahagian hasilnya dalam pelbagai bidang:
Aqidah:
Mafahim Yajib an Tusahhah
Manhaj As-salaf fi Fahm An-Nusus
At-Tahzir min at-Takfir
Huwa Allah
Qul Hazihi Sabeeli
Sharh ‘Aqidat al-‘Awam
Tafsir:
Zubdat al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an
Wa Huwa bi al-Ufuq al-‘A’la
Al-Qawa‘id al-Asasiyyah fi ‘Ulum al-Quran
Hawl Khasa’is al-Quran
Hadith:
Al-Manhal al-Latif fi Usul al-Hadith al-Sharif
Al-Qawa‘id al-Asasiyyah fi ‘Ilm Mustalah al-Hadith
Fadl al-Muwatta wa Inayat al-Ummah al-Islamiyyah bihi
Anwar al-Masalik fi al-Muqaranah bayn Riwayat al-Muwatta lil-Imam Malik
Sirah:
Muhammad (Sallallahu Alaihi Wasallam) al-Insan al-Kamil
Tarikh al-Hawadith wa al-Ahwal al-Nabawiyyah
‘Urf al-Ta’rif bi al-Mawlid al-Sharif
Al-Anwar al-Bahiyyah fi Isra wa M’iraj Khayr al-Bariyyah
Al-Zakha’ir al-Muhammadiyyah
Zikriyat wa Munasabat
Al-Bushra fi Manaqib al-Sayyidah Khadijah al-Kubra
Usul:
Al-Qawa‘id al-Asasiyyah fi Usul al-Fiqh
Sharh Manzumat al-Waraqat fi Usul al-Fiqh
Mafhum al-Tatawwur wa al-Tajdid fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah
Fiqh:
Al-Risalah al-Islamiyyah Kamaluha wa Khuluduha wa ‘Alamiyyatuha
Labbayk Allahumma Labbayk
Al-Ziyarah al-Nabawiyyah bayn al-Shar‘iyyah wa al-Bid‘iyyah
Shifa’ al-Fu’ad bi Ziyarat Khayr al-‘Ibad
Hawl al-Ihtifal bi Zikra al-Mawlid al-Nabawi al-Sharif
Al-Madh al-Nabawi bayn al-Ghuluww wa al-Ijhaf
Tasawwuf:
Shawariq al-Anwar min Ad‘iyat al-Sadah al-Akhyar
Abwab al-Faraj
Al-Mukhtar min Kalam al-Akhyar
Al-Husun al-Mani‘ah
Mukhtasar Shawariq al-Anwar
Lain-lain:
Fi Rihab al-Bayt al-Haram (Sejarah Makkah)
Al-Mustashriqun Bayn al-Insaf wa al-‘Asabiyyah (Kajian Berkaitan Orientalis)
Nazrat al-Islam ila al-Riyadah (Sukan dalam Islam)
Al-Qudwah al-Hasanah fi Manhaj al-Da‘wah ila Allah (Teknik Dawah)
Ma La ‘Aynun Ra’at (Butiran Syurga)
Nizam al-Usrah fi al-Islam (Peraturan Keluarga Islam)
Al-Muslimun Bayn al-Waqi‘ wa al-Tajribah (Muslimun, Antara Realiti dan Pengalaman)
Kashf al-Ghumma (Ganjaran Membantu Muslimin)
Al-Dawah al-Islahiyyah (Dakwah Pembaharuan)
Fi Sabil al-Huda wa al-Rashad (Koleksi Ucapan)
Sharaf al-Ummah al-Islamiyyah (Kemulian Ummah Islamiyyah)
Usul al-Tarbiyah al-Nabawiyyah (Metodologi Pendidikan Nabawi)
Nur al-Nibras fi Asanid al-Jadd al-Sayyid Abbas (Kumpulan Ijazah Datuk beliau, As-Sayyid Abbas)
Al-‘Uqud al-Lu’luiyyah fi al-Asanid al-Alawiyyah (Kumpulan Ijazah Bapa beliau, As-Sayyid Alawi)
Al-Tali‘ al-Sa‘id al-Muntakhab min al-Musalsalat wa al-Asanid (Kumpulan Ijazah)
Al-‘Iqd al-Farid al-Mukhtasar min al-Athbah wa al-Asanid (Kumpulan Ijazah)
Senarai di atas merupakan antara kitab As-Sayyid Muhammad yang telah
dihasilkan dan diterbitkan. Terdapat banyak lagi kitab yang tidak
disebutkan dan juga yang belum dicetak.
Kita juga tidak
menyebutkan banyak penghasilan turath yang telah dikaji, dan diterbitkan
buat pertama kali, dengan nota kaki dan komentar dari As-Sayyid
Muhammad. Secara keseluruhannya, sumbangan As-Sayyid Muhammad amat
agung.
Banyak hasil kerja As-Sayyid Muhammad telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa.
Aktiviti lain
As-Sayyid Muhammad merupakan seorang pembimbing kepada ajaran dan
kerohanian Islam yang sebenar dan telah bermusafir ke serata Asia,
Afrika, Eropah dan Amerika, menyeru manusia ke arah kalimah Allah dan
Rasul terakhir-Nya Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam.
Di Asia
Tenggara khasnya, As-Sayyid Muhammad secara peribadi telah mengasaskan
dan membiayai lebih 70 buah Sekolah Islam untuk melawan aktiviti dakyah
Kristian. Sejumlah besar penganut Kristian dan Budha telah memeluk Islam
di tangannya hanya setelah melihat Nur Muhammad yang bersinar di
wajahnya.
Ke mana sahaja beliau pergi, para pemimpin, ulamak
dan masyarakat di tempat tersebut akan menyambutnya dengan penuh meriah.
Beliau seringkali memberi ceramah kepada ratusan ribu manusia.
Beliau amat disayangi dan dicintai oleh Muslimin di seluruh dunia,
bukan sahaja kerana beliau keturunan Rasulullah, tetapi juga kerana
ilmunya yang luas, hikmahnya, akhlak serta watak rohaninya. Beliau juga
amat terkenal amat pemurah dengan ilmu, kekayaan dan masanya.
Pendekatan
As-Sayyid Muhammad mengikuti dan menyelusuri tradisi arus utama dan
majoriti Islam, jalan Ahlu Sunnah Waljamaah, jalan toleransi dan
sederhana, pengetahuan dan kerohanian, serta kesatuan dalam
kepelbagaian.
Beliau percaya kepada prinsip berpegang dengan
empat mazhab yang masyhur, tetapi tanpa fanatik. Beliau mengajar rasa
hormat kepada ulamak dan Awliyak agung yang lepas.
Beliau
menentang sikap sewenang-wenangnya mengatakan Muslim lain sebagai Kafir
dan Musyrik, yang telah menjadi tanda dan sifat utama sebahagian fahaman
hari ini.
Beliau amat menentang dan kritis terhadap mereka
yang digelar reformis (Islah) abad ke-20 yang dengan mudah ingin
menghapuskan Islam generasi terdahulu menggunakan nama Islam yang suci.
Beliau juga memahami bahawa mencela kesemua Ash’ari, atau kesemua
Hanafi, Syafi’e dan Maliki, kesemua sufi, seperti mana yang dilakukan
oleh sebahagian fahaman hari ini adalah sama dengan mencela keseluruhan
Ummah Islam ribuan tahun yang lampau. Ia hanya merupakan sifat dan
pendekatan musuh Islam, dan bukannya rakan.
Sayyid Muhammad
juga amat mempercayai bahawa ulamak –ulamak Mazhab yang agung –
mengikuti Sunni-Sufi – sejak beratus tahun yang lalu, adalah penghubung
kita kepada Al-Quran dan Assunnah, dan bukanlah penghalang antara
keduanya dengan kita, seperti yang dipercayai sesetengah pihak.
Kefahaman yang benar berkenaan Al-Quran dan Sunnah ialah kefahaman yang
berasaskan tafsiran para ulamak agung Islam, dan bukan dengan sangkaan
para ekstrimis zaman moden ini yang tidak berfikir dua kali sebelum
mencela majoriti Muslim di seluruh dunia. Sayyid Muhammad juga
berpendapat majoriti ummah ini adalah baik. Kumpulan-kumpulan minoriti
yang fanatiklah yang perlu mengkaji semula fahaman ekstrim mereka.
Sayyid Muhammad merupakan pendukung sebenar Sufi yang berasaskan
Syariah, Sufi para Awliya’ agung dan solehin ummah ini. Beliau sendiri
merupakan mahaguru kerohanian di tingkat yang tertinggi, berhubungan
dengan kebanyakan peraturan kerohanian Islam, melalui para Masyaikh
Tariqah yang agung.
Beliau turut mempercayai bahawa membaca
Zikir, samaada secara bersendirian atau berkumpulan, adalah bahagian
penting dalam kerohanian seseorang. Semua pelajarnya dimestikan
bertahajjud dan membaca wirid pagi dan petang.
Sayyid Muhammad
juga beranggapan, ummat Islam perlu menggunakan segala hasil yang ada
untuk meningkatkan taraf ummah mereka dari sudut kerohanian, masyarakat
dan juga material, dan tidak membuang masa yang berharga dengan berbalah
pada perkara-perkara kecil. Beliau percaya Muslim tidak seharusnya
mencela satu sama lain dalam perkara yang telah diselisihkan oleh para
ulamak. Mereka sebaliknya perlu berganding bahu bersama untuk memerangi
apa yang telah disepekati sebagai kejahatan dan dosa.
Pandangan
dan pendirian Sayyid Muhammad ini digambarkan dalam tulisannya yang
terkenal, Mafahim Yajib An Tusahhah (Kefahaman Yang Perlu
Diperbetulkan), sebuah buku yang mendapat penghargaan meluas di seluruh
dunia Islam dan diiktiraf tinggi di lingkaran para ulamak.
Penutup
Tidak diragui lagi, kehadiran Sayyid Muhammad Alawi merupakan rahmat
buat ummah ini. Beliau merupakan waris kepada kekasih kita Nabi Muhammad
Sallahu Alaihi Wasallam dari sudut darah daging serta kerohanian.
Masyarakat Makkah dan Madinah teramat mencintai beliau seperti mana
dilihat pada solat jenazah beliau.
Siapa sahaja yang pernah
menemui beliau jatuh cinta dengan beliau. Rumahnya di kota suci Makkah
sentiasa terbuka sepanjang tahun untuk ulamak dan para penuntut yang
menziarahi, ribuan orang yang menuju kepadanya. Beliau juga tidak kenal
erti takut dalam berkata yang benar dan telah mengalami detik-detik
kepayahan kerana kebenaran. Walaubagaimanapun pertolongan Allah
kelihatan sentiasa bersama dengannya. RadhiyAllahu Anhu WaArdhaah.
Ameen.
Maklumat lanjut kehidupan dan pencapaiannya boleh
dirujuk biografinya yang hebat bertajuk, Al-Maliki ‘Alim Hijjaz,
karangan penulis dan sejarahwan terkenal Makkah, Dr Zuhayr Kutbi.
Pemergiannya
Beliau telah meninggalkan kita pada hari Jumaat, 15 Ramadhan
(bersesuaian dengan doanya untuk meninggal dunia pada bulan Ramadhan),
dalam keadaan berpuasa di rumahnya di Makkah. Kematiannya amat
mengejutkan.
Benar.. Ia adalah satu kehilangan yang besar..
Ucapan takziah diucapkan dari seluruh dunia Islam. Solat janazah beliau
dilakukan di seluruh pelusuk dunia.
Beliau telah pergi pada bulan Ramadhan dan pada hari Jumaat.
Beliau diimamkan oleh adiknya As-Sayyid Abbas, dan seterusnya di
Masjidil Haram dengan Imam Subayl)… Ratusan ribu manusia membanjiri
upacara pengebumiannya. Semua orang menangis dan sangat bersedih… Ia
merupakan satu situasi yang tidak dapat dilupakan… Allahu Akbar…
Betapa hebatnya beliau… betapa besarnya kehilangan ini… Betapa ramainya
yang menyembahyangkannya… Saya tahu mata saya tidak pernah menyaksikan
seorang spertinya… Seorang yang amat dicintai oleh masyarakat seperti
beliau… seorang ulamak yang berkaliber dan berpengetahuan serta
berhikmah…
Terdapat sekurang-kurangnya 500 orang tentera
diperintah oleh kerajaan Arab Saudi di perkuburan Ma’ala untuk mengawal
ribuan orang yang menangisinya. Kerabat diraja juga turut hadir. Para
manusia menempikkan Kalimah dengan kuat sepanjang uapcara pengebumian
beliau, memenuhi Makkah dari Masjidil Haram sehingga ke tanah
perkuburan.
Beliau disemadikan di sebelah bapanya, berhampiran
maqam nendanya Sayyidah Khadijah. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau
ada menghubungi seorang pelajar lamanya di Indonesia melalui telefon
dan bertanyanya adakah dia akan datang ke Makkah pada bulan Ramadhan.
Apabila dia menjawab tidak, Sayyid Muhammad bertanya pula, “tidakkah
engkau mahu menghadiri pengebumianku?”
Tepat sekali, beliau
pergi pada bulan Ramadhan di pagi Jumaat… apakah lagi bukti yang
diperlukan menunjukkan penerimaan Allah?! Makkah menangisi pemergiannya…
Seluruh dunia Islam menangisi kehilangannya. Moga Allah menganugerahkan
beliau tempat yang tertinggi di Jannah, bersama-sama kekasihnya dan
datuknya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam. Amin.