Tuesday, 4 June 2013

Al-Marhum Tuan Guru Haji Musa


Al-Marhum Tuan guru Haji Musa merupakan ayah kepada Tuan Guru Haji Salleh Sik Kedah.
 
Beliau dilahirkan di Namek , Sik Kedah. Tg Hj Musa sempat belajar dengan Tok Kenali dan pernah mendalami ilmu agama di Makkah selama 2 tahun. Di Makkah , beliau sempat belajar dengan masyaikh jawi antara Syeikh Wan Ismail .

Tg Hj Musa seorang yang disegani masyarakt. Buktinya , ketika kerajaan negeri bercadang unutk membina lebuhraya , Tengku Farid wakil istana ketika itu meminta Tg Hj Musa mengeluarkan arahan kepada pendudukan kg utk membantu gotong royong menebas hutan yang semak samun ketika itu. Sebagai orang yang punya akaunbiliti dan mendapat tempat dalam hati masyarakt , jadi masyarakat turun membantu tanpa bantah tanda hormat kepada beliau TG Hj Musa.

Tg Hj Musa pakar Faraid , Tg Hj Musa mengunakan lidi dan biji jagung untuk menyelesaikan masalah faraid.

al-Fatihah kepada al-Marhum Tuan guru Haji Musa merupakan ayah kepada Tuan Guru Haji Salleh Sik Kedah.

Tuesday, 28 May 2013

Alkisah seorang Tok Guru…

Pada satu masa dahulu di Gunung Lagensia, seorang Tok Guru yang mendermakan seluruh masanya untuk mendidik prinsip ‘Amar makruf dan nahi mungkar’ telah didatangi oleh seorang bijaksana yang ingin melawan hujahnya.

Ketibaan orang bijaksana itu disambut dengan satu kain rentang besar di pintu besar sekolah yang dibina Tok Guru. Kain rentang itu menulis, “Selamat datang. Bila masuk cuba toleh ke belakang dulu sebelum berhujah.”

Orang bijaksana tidak mempedulikan kata-kata di kain rentang itu dan terus memasuki dewan berjumpa Tok Guru dan memulakan hujahnya.

“Raja kita yang bagi kita kerja, kita makan tapi Tok Guru menyuruh anak murid tetap melawan kemungkaran yang dibuat oleh Raja. Itu bukan nahi mungkar, itu sengaja mencari pasal,” kata orang yang bijaksana itu.

Tok Guru senyum dan terus menyiram pokok.

“Dia Raja, apa salahnya baginda kalau baginda ambil projek untuk untung duit. Mana boleh Raja hidup dalam keadaan tidak bermewah? Siapa nak hormat jika Raja tak ada duit?” hujah orang yang bijaksana itu.

Tok Guru terus menyiram pokok.

“Raja ambil projek bagi orang-orang dia untuk jadi kaya supaya kedudukan Raja dapat diperkukuhkan dengan sokongan pembesar-pembesar. Takkan itu pun perkara yang mungkar? Projek bernilai 1 jongkong emas diberi pada harga 2 jongkong emas untuk membeli kesetiaan. Takkan Tok Guru tak boleh faham?” kata orang bijaksana itu lagi.

Tok Guru masih tersenyum dan menyiram pokok.

“Kat mana-mana tamadun ada orang yang akan mati kelaparan. Takkan itu salah Raja? Kalau negara tak ada orang miskin, siapa nak jadi petani, pengutip sampah, bersih longkang dan sanggup menjual anak untuk dijadikan askar untuk kegunaan perang. Ini cara pengurusan, takkan pula ini perkara yang mungkar yang Tok Guru menghasut anak murid untuk melawan,” hujah lagi orang bijaksana itu.

Tok Guru sedang memetik buah daripada pokoknya.

“Rakyat kena dikekalkan dalam keadaan mereka masih memerlukan Raja untuk menyuapkan makanan. Jika tidak, rakyat tidak akan taat dan mendengar kata-kata Raja. Raja kadang-kala terpaksa gunakan kekerasan supaya rakyat beringat siapa yang berkuasa. Hanya anjing yang lapar sahaja kenal siapa tuan dia?” hujah orang bijaksana itu lagi.

“Awak bodoh sahaja tak faham prinsip menjaga negara. Orang besar dalam istana Raja kena kayakan mereka untuk beli kesetiaan. Takkan semua kesetiaan boleh dibeli, bangkraplah negara. Jadi sebab itu, rakyat di luar kena dibiarkan lapar, itu cara lain untuk mendapat kesetiaan. Mak ayah awak juga pernah mendapat kebaikan daripada Raja, tahu?” hujah orang bijaksana itu lagi.

Tok Guru senyum dan teruskan kerja berkebunnya.

“Orang kata awak ini bijak. Aku cakap sepanjang ini, satu patahpun tak terlawan kata-kata aku. Awak ini tin kosong sahaja. Pakar menghasut dan pakar penipu,” jerit orang bijaksana itu lagi.

Tok Guru tetap senyum dan kini mula mencangkul mencari cacing untuk memancing nanti.

Orang bijaksana itu merasa lagi marah. “Tak guna pun benda. Malas aku nak cakap dengan kamu. Dahlah bodoh, bisu pula!”

Orang bijaksana itu pun beredar. Setibanya di pintu besar, orang bijaksana melihat kain rentang yang menyambutnya tadi. Di belakang itu rupa-rupanya ada tulisan.

“Wahai orang bijaksana, dunia ini milik Allah. Siapalah raja tanpa rakyatnya? Raja masih ada jika tiada pembesar kaya-raya bersamanya. Raja tak mungkin wujud jika tiada rakyat bersamanya. Rakyat setia jika Raja adil. Rakyat akan lebih setia sekiranya Raja dapat memastikan rakyatnya hidup subur dan makmur. Jika rakyat berada dalam kelaparan, dan tatkala musuh yang menyerang memberikannya kekenyangan, apakah kesetiaan yang ingin dicari oleh Raja melalui kelaparan akan kekal pada masa itu?

Ibubapa saya memang pernah mendapat habuan daripada Raja. Oleh itu, saya jualkan segala harta peninggalan mereka untuk membina sekolah ini untuk memberikan pendidikan yang percuma kepada semua yang memerlukannya. Sekolah ini tidak perlu sekiranya sekolah yang dibina Raja tidak mahal yurannya kerana para pembesar yang Raja sayangi nak kekal hidup mewah. Renungkan dan selamat pulang.”

Orang bijaksana tersentak. Baru dia faham mengapa Tok Guru tak jawab apa-apa. Rupanya Tok Guru dah tahu apa isi hujahnya.

Selepas orang bijaksana beredar, anak murid Tok Guru bertanya mengapa Tok Guru boleh bersabar tatkala dihina sehingga moyang pun dihina.

“Jika seseorang datang dengan hadiah di tangan, dan anakanda tidak menerimanya, akhirnya hadiah itu milik siapa?” tanya Tok Guru kembali.

“Orang yang membawa hadiah itu, Tok Guru,” jawab anak muridnya.

“Sama juga dengan perasaan dengki, marah dan penghinaan,” kata Tok Guru. “Apabila ia tidak diterima, ia kembali ke tangan orang yang membawanya.”

“Oh sebab itu di hujung tadi orang itu yang jadi marah walhal dia nak Tok Guru yang berasa marah.”

Tok Guru tersenyum sambil mengusap kepala anak muridnya. “Senyum!”

Cerita panjang untuk Hari Ahad.

Senyum

Alkisah seorang malas…

Abtawi seorang budak yang malas. Disebabkan malas, segala projeknya terbengkalai kerana tiada pengurusan yang baik. Tapi tiada ramai yang tahu Abtawi seorang pemalas kerana lakonannya hanya hebat, selalu menunjuk dia sibuk di depan orang ramai.

“Redha sajalah. Ini takdir Allah. Allah nakkan begitu, nak buat macam mana.” – Itulah jawapan Abtawi setiap kali ditanya Ustaz Ibrahim yang diamanahkan menjaga segala projek di kampung Gunung Senyum.

Setiap kali Abtawi berkata sedemikian, Ustaz Ibrahim akan terasa sedih kerana duit warga kampung telah terbazir lagi.

Satu hari, Ustaz Ibrahim mula menubuhkan pasukan pemantau rahsia untuk memantau projek-projek di kampung. Analisa yang dibuat oleh pasukan pemantau yang pertama, 80 peratus projek yang tak jadi semuanya dimiliki oleh Abtawi.

“Tak mungkin. Budak itu rajin. Saya kenal dia sejak kecil. Cuba nasib tak menyebelahinya,” kata Ustaz Ibrahim yang mempertahankan Abtawi yang dididiknya dengan agama sejak kecil.

Setelah 3 bulan memantau, pasukan pemantau Ustaz Ibrahim memaklumkan bahawa Abtawi sebenarnya tidak melakukan kerja-kerja yang diamanahkannya.

“Sebab dia tahu Ustaz selalu akan melawat pukul 10 pagi dan 4 petang, Abtawi hanya masuk kerja hampir-hampir dengan dua waktu itu dan menunjukkan dia membuat kerja. Semua projeknya dijalankan tanpa ada apa-apa pelan tindakan dan jadual,” kata ketua pemantau rahsia Ustaz Ibrahim.

Ustaz Ibrahim masih was-was mendengar laporan itu. Beliau ingin meninjau diri sendiri.

Besok harinya, Ustaz Ibrahim menukar masa melawat ke 9 pagi.

Setiba di tapak projek, Abtawi tiada di sana. Ustaz Ibrahim menemubual beberapa pekerja di sana.

“Dia hanya datang 2 jam sahaja sehari untuk menunggu kedatangan Ustaz. Kami cuma buat ikut pengetahuan kami. Tak pasti bila nak siap, bahan apa yang nak digunakan. Biasanya bahan yang diperlukan tak dibeli, katanya duit projek tak cukup,” kata seorang pekerja Abtawi.

Ustaz Ibrahim sedih dan terus meninggalkan tapak kerja itu sebelum kehadiran Abtawi. Beliau memberitahu pekerja-pekerja Abtawi jangan memberitahu bahawa beliau pernah datang.

Abtawi yang tiba di pukul 10 pg cemas menunggu untuk sejam kerana Ustaz Ibrahim tidak hadir. Kerana bimbang apa-apa terjadi pada Ustaz Ibrahim, Abtawi terus ke pejabat Ustaz Ibrahim untuk mencarinya.

Apabila Abtawi memasuki pintunya, Ustaz Ibrahim senyum – “Maaf tak sempat pergi hari ini.”

“Ustaz ada apa-apa ke? Sakit ke?” tanya Abtawi.

“Tak. Cuma hati tak sedap sikit. Projek bagaimana, boleh siap minggu depan?” tanya Ustaz Ibrahim.

Abtawi senyap seketika.

“Saya tak tahu mengapa malang sangat nasib saya dan Allah melayan saya sedemikian. Semua projek saya ada masalah. Projek ini, maaf Ustaz, saya dah cuba, tapi masih gagal disiapkan mengikut jadual,” terang Abtawi.

Memandang pada Abtawi, Ustaz Ibrahim bertanya pada dia, apakah beliau sedar Allah sedang melihat setiap perbuatan manusia di bumi ini?

Abtawi terdiam seketika.

“Saya sangat kecewa hari ini. Sebenarnya saya tak nak pergi tapak projek hari ini adalah untuk mengurangkan dosa kamu supaya kamu kurang menipu untuk sehari. Nampaknya tidak berjaya.

Ungkapan redha dengan ketentuan dan takdir Allah biasanya hanya digunakan untuk mengubati jiwa mereka yang telah berusaha bertungkus-lumus sedaya upaya untuk mencapai sesuatu tetapi gagal. Tapi ramai yang salahgunakan ungkapan ini. Jangan samakan kelemahan mengurus dengan takdir Allah. Jangan menghina Allah berkata kegagalanmu adalah takdirnya tatkala kamu malas, kurang berusaha dan mudah berputus asa.

Kamu tak layak berkata kegagalan projek dan membazirkan wang kampung ini ketentuan Allah tatkala kamu bekerja sambil lewa selama ini. Yang kamu bersungguh-sungguh selama ini hanya menipu saya yang mempercayai kamu telah bekerja sedaya upaya untuk menyiapkan projek yang diamanahkan.

Tahu tak mengapa kamu dapat menipu saya? Kerana saya mempercayai kamu – sebab sayalah yang mendidik kamu sejak kecil. Rupanya saya silap, sangat silap,” kata Ustaz Ibrahim.

Abtawi terkedu dan tidak berkata apa-apa. Sejak itu, Abtawi berhenti menjadi malas dan mula bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawab kepadanya.

Senyum.

Wudhu'

Alkisah terkencing dalam seluar…

Anak Pak Ali, Hasan, 9 tahun di dalam kelas khusyuk mendengar kuliah ustaz Idris tetiba mendapati seluarnya basah dan ada air di bawah kerusinya.

Hasan terkejut kerana dia tidak tahu bagaimana ia berlaku kerana ia tak pernah berlaku. Apa yang Hasan tahu ialah apabila rakan sekelasnya tahu… dia akan mendapat malu besar dan perkara ini bakal jadi ejekan yang memalukannya tak putus-putus.

Hasan menundukkan kepalanya dan terus berdoa memohon Allah memberi pertolongan untuk menyelamatkan diri daripada aib.

Pada masa yang sama, Ustaz Idris sedang bergerak ke arah Hasan yang sedang menundukan kepala.

Tetiba rakan Hasan yang duduk di sebelahnya, Anak Che Ali, Ibrahim dengan cepat menumpahkan bekas air dia di atas meja ke arah Hasan dan membasahi seluruh seluar dan bawah kerusi Hasan.

Hasan mengambil peluang untuk menunjukkan dia berang terhadap rakannya Ibrahim dengan memaki hamunnya di depan Ustaz Idris menyebabkan seluarnya basah untuk menutup aibnya.

Tapi dalam hati, Hasan gembira kerana ‘pertolongan’ sudah tiba.

Hasan mengambil kesempatan daripada hampir menjadi orang yang bakal mendapat aib di kelas kepada orang yang mendapat simpati.

Ustaz Idris membawa Hasan ke bilik sukan dan memberikan satu seluar untuk ditukarkan.

Rakan-rakan lain pula sibuk membersihkan lantai yang basah dengan air daripada bekas air Ibrahim dan najis Hasan.

Simpati yang didapati Hasan semakin banyak tapi sebaliknya Ibrahim pula dicemuh kerana menyebabkan kuliah terhenti dan rakan-rakan sekelas terpaksa membersihkan kelas kerana tidak sengaja menumpah bekas airnya.

“Cukuplah Ibrahim, enta ini menyusahkan sahaja,” kata Hasan, yang tidak mengucapkan terima kasih kepada Ibrahim walaupun sedar tindakan tidak sengaja tadi telah menyelamatkan dia daripada keaiban.

Semasa sekolah tamat, Ustaz Idris memanggil Hasan ke biliknya.

“Hasan, besok ucap terima kasih kepada Ibrahim kerana menyelamatkan Hasan daripada aib tadi ya,” Ustaz Idris berpesan kepada Hasan.

“Mengapa? Dia menyebabkan seluar saya basah dan semua orang kena membersihkan kelas,” Hasan cuba pertahankan peristiwa aibnya.

“Hasan, awak ini kena bertaubat. Ibrahim tadi sengaja menumpahkan air pada Hasan untuk menutup aib Hasan kencing dalam seluar. Tadi, Ibrahim datang memohon maaf pada Ustaz kerana tindakan dia menyebabkan kuliah terhenti dan memberitahu dia terpaksa buat supaya Hasan tidak diaibkan. Hasan dahlah maki hamun pada dia, walhal dialah orang yang menyelamatkan Hasan,” kata Ustaz Idris.

Hasan tersentak dengan penjelasan Ustaz Idris dan keesokkan harinya memohon maaf kepada Ibrahim.

“Mengapa bantu ana semalam?” tanya Hasan.

“Ana pun pernah terkencing dalam seluar. Ana faham keadaan itu dan tidak mahu Hasan melaluinya,” jawab Ibrahim.

Kita semua akan melalui fasa-fasa kehidupan yang mencabar semasa di muka bumi ciptaan Allah swt ini. Kita harus sering mengingatkan diri mengenai perasaan kesusahan ketika waktu mencabar dan jangan menghina orang yang turut berada dalam situasi yang sama. Cuma memahami keadaan orang lain sebagaimana diri sendiri di dalam situasi tersebut, dan berdoalah kepada Allah untuk kita dapat menghulurkan bantuan sewaktu orang memerlukannya.

Senyum

Syair Imam Syafi'i

تعلم فليس المرء يولد عالما # وليس أخو علم كمن هو جاهل

وإن كبير القوم لا علم عنده # صغير إذا التفت عليه الجحافل


وإن صغير القوم إن كان عالما # كبير إذا ردت إليه المحافل



Belajarlah kerana tiada seorangpun yang dilahirkan dalam keadaan berilmu,

Dan tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang bodoh.

Sesungguhnya kaum yang besar tetapi tidak memiliki ilmu maka sebenarnya mereka adalah kecil apabila terluput darinya keagungan (ilmu).

Dan sesungguhnya kaum yang kecil jika memiliki ilmu maka pada hakikatnya mereka adalah kaum yang besar apabila mereka selalu dengan ilmu.

Wednesday, 1 May 2013

Alkisah sekumpulan gajah

Seorang lelaki melalui sekumpulan gajah… beliau tiba-tiba henti…

“Bagaimana satu tali nipis yang mengikat kaki depan gajah itu daripada bergerak… Dahlah tak pengikat besi, tiada pagar sangkar… Kalau gajah itu nak lari, bila-bila masa saja, mereka boleh putuskan tali nipis di kaki… tapi mengapa mereka tidak?” bisik hati beliau…

Lelaki itu bertanya kepada pelatih gajah dan bertanya mengapa gajah-gajah tersebut tidak melarikan diri…

“Hahahha… semasa gajah ini kecil, kami dah gunakan tali yang sama untuk mengikat mereka… dan pada masa itu sudah cukup untuk memerangkap mereka… Apabila gajah ini besar, mereka sudah dilatih mereka tidak akan dapat melarikan diri. Mereka masih percaya tali nipis tersebut cukup untuk memegang mereka, jadi sebab itu mereka tak pernah terfikir untuk melarikan diri….,” terang pelatih tersebut.

Lelaki tersebut terpegun dengan penjelasan tersebut… gajah tersebut boleh melarikan diri bila-bila masa tapi kerana mereka terfikir mereka tidak dapat memutuskan tali tersebut, gajah itu terperangkap di tempat mereka diikat…

Berapa orang antara kita yang bersifat seperti gajah – mempercayai bahawa kita tidak dapat melakukan sesuatu, oleh itu tidak mencuba, hanya kerana kita dibuat percaya bahawa kita akan gagal satu masa dulu?

Untuk renungan untuk malam ini…. Senyum.

Oh lupa… dalam politik, siapa yang nak rakyat berfikir sebagai gajah ya?

Yang merasa mereka tidak boleh hidup tanpa sesebuah parti yang sudah memerintah 56 tahun?

Yang merasa kuasa bangsa mereka akan hilang kerana parti itu akan tewas?

Yang merasakan mereka tidak boleh bergerak dan akan hancur kerana parti pemerintah itu kini ditolak rakyat?

Dan yang merasakan dirinya begitu lemah dan akan gagal tanpa parti yang bakal tumbang?

Tali nipis di kaki itu sebenarnya tiada apa-apa yang ditakutkan. Jangan jadi seperti gajah – yang tidak boleh berfikir, sehingga tuannya boleh menggunakan gimik tali nipis untuk menambat gajah itu daripada bergerak.

Sebenarnya gajah itu cuma perlu melangkah ke depan sekali, gajah itu akan sedar selama ini sebenarnya ia boleh membebaskan ke dunia yang lebih luas dan tidak lagi diperangkap mindanya oleh tuannya dengan gimik tali nipis.


Senyum.

Alkisah seorang murid pandai tapi…

Seorang pelajar bernama Mahros sangat disukai oleh para guru di sekolahnya. Keputusannya agak bagus dan budi pekertinya sangat elok.

Mahros membawa perwatakan gadis yang soleh, mendengar kata dan bertimbang rasa.

Di Tingkatan 2, Mahros terus diangkat menjadi Ketua Kelas dan juga pengawas sekolah. 

Sikap Mahros mula berubah selepas diangkat menjadi Ketua Kelas dan pengawas.

Di waktu rehat, untuk mengelakkan beratur panjang, Mahros menyalahguna kuasanya setiap kali untuk keluar awal dari kelas atas alasan ada urusan pengawas.

Di kelas agama Ustaz Ismail yang Mahros sangat tidak menyukai, Mahros selalu menggunakan alasan ada guru yang memanggilnya untuk perkara lain. Lalu Mahros lari keluar ke kedai koperasi, di mana guru koperasinya Cikgu Bijan selalu memanjakannya.

“Ros tak ada kelas ke? Senang datang bantu cikgu menjaga kedai koperasi waktu ini,” tanya Cikgu Bijan.

“Ustaz Ismail tak datang. Jadi kelas kosong. Saya ketua kelas keluar cari Ustaz Ismail tak dapat. Jadi datang sini,” Mahros menipu Cikgu Bijan.

“Saya ada kelas. Mahros boleh jaga kedai untuk satu waktu (40 minit)?” tanya Cikgu Bijan.

“Boleh. Cikgu pergilah,” kata Mahros.

Di kedai koperasi, Mahros mula mengambil untung sendiri dengan mengenakan harga lebih tinggi pada pelajar. Ada pelajar yang merungut, tapi kerana takutkan Mahros akan membalas dendam dengan selalu mencari masalah dengan mereka seperti pakaian tak sopan, rambut panjang, tudung tak elok dan lambat masuk kelas, mereka lebih rela memdiamkan diri.

Kadangkala bukan untung sahaja yang Mahros ambil, malah dia mula mencuri benda-benda yang boleh dijual di luar.

Cikgu-cikgu lain yang selalu memuji Mahros masih tidak mengetahui bahawa sikap Mahros dah berubah sama sekali.

Mahros kini seorang pelajar yang tamak, mencuri, menipu dan menindas pelajar. Di depan cikgunya, Mahros masih seorang pelajar yang keputusannya cemerlang dan sopan kerana di depan cikgu-cikgunya, Mahros akan berubah watak.

Namun, perubahan Mahros dikesan oleh Ustaz Ismail kerana Mahros paling banyak keluar daripada kelasnya. Namun keputusan pendidikan Islam Mahros masih mendapat A.

“Rosak kalau dibiarkan Mahros begini. Ya, keputusan pendidikan Islamnya masih A, tapi ia serupa membaca Quran tapi tidak mengamalkan segala yang disarankan Allah,” bisik Ustaz Ismail di hati.

Ustaz Ismail memikirkan satu cara untuk mendedahkan wajah sebenar Mahros. Beliau mula merakam alasan-alasan yang diberikan Mahros untuk keluar daripada kelas agamanya.

Satu hari di kelas Ustaz Ismail, Mahros memberikan alasan bahawa dia dipanggil Cikgu Mala dan mohon keluar kelas. Ustaz Ismail merakam apa yang dikatakan Mahros dan membiarkannya keluar kelas. Selepas 5 minit, Ustaz Ismail menelefon Cikgu Mala bertanya apakah benar beliau memanggil Mahros.

“Tak adalah. Mengapa Mahros berkata begitu? Mesti ada sebab. Sebab dia budak baik jarang menipu,” kata Cikgu Mala di telefon.

Ustaz Ismail kemudian menyuruh Cikgu Mala dan cikgu-cikgu lain untuk bersama mencari Mahros, dengan alasan Mahros jarang menipu, takut Mahros menghilang kerana sebab-sebab tertentu.

Akhirnya Ustaz Ismail sengaja membawa Cikgu Mala dan cikgu-cikgu lain ke kedai koperasi melihat Mahros sedang menjual barang-barang di kedai koperasi.

Mahros terkejut dengan kehadiran semua cikgu yang menyayanginya.

“Mengapa kamu di sini? Tadi kamu berkata Cikgu Mala nak jumpa,” tanya Ustaz Ismail.

“Ustaz salah dengar kot. Saya kata ada cikgu panggil. Tak sebut Cikgu Mala pun. Cikgu Bijan yang panggil saya ke sini bantu, jadi saya datanglah. Kelas agama ustaz, jangan bimbang, saya tak masuk pun, saya tetap dapat score A,” cubaan menipu Mahros dengan nada kecil kerana ingin berlakon seperti dia dianiaya.

Ustaz Ismail tidak mahu berkata apa-apa. Beliau menelefon Cikgu Bijan dan suruh beliau datang ke kedai koperasi segera.

Cikgu Bijan pun sampai dan terkejut melihat semua cikgu berada di sini bersama Mahros.

“Apa halnya ustaz?” tanya Cikgu Bijan.

“Mengapa Mahros ada di koperasi? Tuan Bijan ada panggil dia ke?” tanya Ustaz Ismail.

Cikgu Bijan melihat mata Mahros, dan Mahros mengangguk.

“Ya. Saya panggilnya. Ada apa?” kata Cikgu Bijan.

“Dia selalu keluar kelas saya dan Tuan Bijan selalu memanggil dia keluar waktu saya mengajar?” tanya Ustaz Ismail.

Cikgu Bijan mula menggelabah kerana nada Ustaz Ismail agak keras.

“Ya. Sebab Mahros dah pandai agama. Dia dah selalu score A. Tak pergi kelas ustaz pun tak apa,” Cikgu Bijan cuba mempertahankan Mahros.

Ustaz Ismail masuk ke kedai koperasi mengambil satu lagi alat perakam suara yang dipasangnya tanpa pengetahuan Cikgu Bijan dan Mahros.

Ustaz Ismail memainkan perakam suara yang ada di tangannya di mana jelas menunjukkan Mahros memberitahunya Cikgu Mala memanggilnya.

Perakam suara kedua di kedai koperasi berbunyi:

“Kamu ponteng kelas Ustaz Ismail lagi? Alasan apa yang kamu guna kali ini?” tanya Cikgu Bijan pada Mahros.

“Kali ini saya kata Cikgu Mala panggil,” jawab Mahros sambil ketawa.

Wajah Mahros dan Cikgu Bijan terbongkar akhirnya. Pelajar-pelajar yang membeli di koperasi terus mengadu bahawa mereka dipaksa membeli harga barangan koperasi yang dijual Mahros pada harga yang lebih tinggi.

Ustaz Ismail mengarahkan Cikgu Bijan melakukan satu pemeriksaan stok ringkas – dan mendapati jumlah stoknya kurang daripada sepatutnya, menunjukkan bahawa Mahros telah mencuri.

“Cikgu-cikgu sekalian. Mahros seorang budak baik sebelum ini. Malangnya kepercayaan kita dan kuasa yang kita berikan pada dia telah merosakkan dia. Kita terpaksa bertindak untuk melucutkan jawatannya untuk menyelamatkan dia daripada terus melakukan dosa.

Lagipun, orang yang hilang kuasa lebih mudah bertaubat. Jika kita kekalkan kedudukan Mahros, walaupun dia berjanji akan berubah, ia tidak akan berlaku kerana kuasa yang ada di tangan tidak akan menyebabkan Mahros insaf sepenuhnya,” cadang Ustaz Ismail.

Kalian cikgu-cikgu semua setuju termasuk Cikgu Bijan. Cikgu Bijan turut memohan maaf atas kesilapannya terlalu memanjakan Mahros.

Dapat maksud tersirat cerita ini?

Untuk menyelamatkan Barisan Nasional, kita perlu menurunkannya daripada tampuk kuasa. Sebenarnya itu cara terbaik untuk kita membantu BN untuk mengurangkan dosa. Hanya setelah hilang kuasa, barulah boleh seseorang betul-betul bertaubat dan insaf.

Bagaimana nak turunkan kuasa BN? Tak perlu bertumbuk dan bersamseng seperti mereka. Kita hanya perlukan sebatang pen. Hari 5 Mei ini, pangkah Bulan, Roket atau Bulan kecil.

Senyum.

Jadilah agen perubahan.

INI KALILAH.

Jangan Terlalu Memuja Posmen

Ada seorang pakcik tua suka menerima surat.

Setiap hari dia akan menunggu kedatangan posmen.

“Terima kasih banyak-banyak. Anta paling hebat di dunia. Tiap-tiap hari ada surat untuk pakcik,” pakcik itu memuji posmen.

“Pakcik, ana ini penghantar surat sahaja,” jawab posmen itu.

“Tidak. Tanpa anta manalah surat ini dapat datang,” jawab pakcik itu kembali.

Pakcik ini menjadi terlalu memuja posmen.

Satu hari, di bulan Ramadhan…

Pakcik menunggu surat, tapi posmen tidak berhenti di depan rumahnya.

Untuk 4 hari berturut-turut, posmen tidak berhenti.

Hari ke 5, pakcik tak tahan, lalu menahan posmen.

“Mengapa anta tak hantar surat pada pakcik?” sergah pakcik itu.

“Sebab tak ada surat untuk pakcik,” jawab posmen itu.

“Mana mungkin tak ada surat. Sebelum ini, tiap-tiap hari anta akan hantar surat pada pakcik,” sergah pakcik itu lagi.

“Ana penghantar surat sahaja pakcik. Kalau tak ada orang hantar surat pada pakcik, ana tak ada apa yang boleh hantar pada pakcik,” jawab posmen dengan penuh sabar.

“Kalau tak ada surat, buatlah surat untuk pakcik! Itu pun tak tahu,” jawab pakcik itu.

Selepas seketika, surat pakcik mula datang kembali.

Satu hari, posmen itu memberitahu pakcik, “Besok ada orang baru ganti ana. Ana dah naik pangkat.”

“Habislah surat pakcik,” keluh pakcik itu.

Posmen tidak berkata apa-apa.

Besok posmen baru mula menghantar surat pada pakcik. Kebimbangan pakcik bahawa suratnya tidak sampai selepas posmen bertukar hilang bila posmen baru mengirimkan surat kepadanya.

“Bagusnya posmen baru ini. Surat masih datang seperti biasa. Tak sangka tukar posmen pun dapat lagi surat seperti biasa,” kata pakcik seperti biasa.

Anak pakcik yang mengirim surat setiap hari ke pakcik. Di bulan Ramadhan, anak pakcik kemalangan masuk hospital, tak sempat kirim surat, tapi juga tak beritahu pakcik kerana bimbang dia risau…

Begitulah kisah di mana pakcik terlalu memuja kebesaran posmen yang menghantar surat kepadanya, sehingga terlupa bahawa surat datang daripada pengirim surat. Posmen ini hanyalah pengirim sahaja. Jika ada surat, posmen akan hantarkan walau bertukar orang.

Begitu juga rezeki kita di bumi Allah. Rezeki kita Allah yang tentukan. Manusia jadi pengirimnya – kadangkala kerajaan jadi pengirimnya. Ada yang terlupa perkara ini sehingga menganggap kerajaanlah yang menentukan rezeki mereka. Walhal kerajaan ini pengirim sahaja. Bertukar kerajaan tidak akan menyekat rezeki yang Allah dah tentukan. Allah akan cari pengirim lain sekiranya rezeki itu dah ditentukan untuk kita.

Dapat cerita ini?


Senyum.