10 Sikap Buruk Manusia yang Dicela Allah
SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati
menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari
kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian.
Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan
manusia iaitu:
1. Gelojoh ketika makan
Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika
makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan
makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada
pembaziran.
2. Banyak bercakap
Allah mencela manusia yang
suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan
kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada
permusuhan dan perbalahan sesama manusia.
3. Suka marah-marah
Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas
kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik
dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.
4. Hasad dengki
Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk
kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup
orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad
dengki. Rasulullah bersabda: ‘Dengki itu memakan segala kebaikan’
(riwayat Muslim).
5. Kedekut & bakhil
Rezeki yang Allah
kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut
menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari
hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan kejalan
Allah dan membantu orang yang memerlukan.
6. Bermegah-megah
Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.
7. Cintakan dunia
Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan
tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia
seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk
akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.” (riwayat Bukhari dan
Muslim).
8. Ego atau sombong
Sifat membuat seseorang
merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang
lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha
besar.
9. Ujub dan suka bangga diri
Perbuatan ini ada unsur
megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan
Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi
perasaan ego.
10. Gemarkan pujian atau riak
Manusia jenis
ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap
baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas
membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan
kejujuran dan keikhlasan.
Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasuk dalam kategori melakukan dosa besar. Nauzubillah..
No comments:
Post a Comment