Friday, 21 December 2012

Jangan Perasan..

Alkisah sebuah kapal tersandar…

Kapal yang dinaiki Khairy dan Nasrudin rosak akibat ribut dan mereka hanya mampu berenang ke sebuah pulau kecil yang bagaikan gurun.

Dua sahabat karib itu tidak tahu apa yang boleh dilakukan selain berdoa kepada Allah swt.

Untuk melihat doa siapa yang lebih kuat dan dimakbulkan, Khairy mencadangkan agar mereka membuat sempadan di pulau tersebut, dan mereka tinggal berasingan satu di Timur dan di Barat.

Perkara pertama yang mereka doakan ialah makanan. Pagi keesokan, Khairy terjumpa sepohon pokok buah di dalam kawasan sempadan pulaunya. Buah itu boleh dimakan. Kawasan Nasrudin tiada ada apa-apa penemuan, tapi Nasrudin hanya senyum.

Setelah seminggu, Khairy mendoakan agar dapat mendapat pakaian baru untuk ditukar. Besok harinya, ada benda terapung dibawa ombak menghala ke kawasan pulaunya. Ia adalah peti dengan pakaian baru. Di sebelah Nasrudin, masih tiada apa-apa, namun beliau senyum melihat Khairy mendapat baju baru.

Melihat doanya dimakbulkan, Khairy mula berdoa untuk lebih banyak perkara… termasuk rumah, pakaian dan lebih makanan – apa yang diminta semua diperolehi. Nasrudin masih tidak mempunyai apa-apa selain terpaksa menangkap ikan dan makanan laut setiap hari untuk meneruskan kehidupan.

Akhirnya Khairy mendoakan agar mendapat sebuah kapal untuk meninggalkan pulau tersebut. Besok paginya, betul terdapat satu kapal yang tersandar di tepi pantai kawasannya. Khairy terus menaiki kapal tersebut dan membuat keputusan untuk meninggalkan sahabat karibnya Nasrudin seorang diri di pulau.

Khairy merasakan Nasrudin tidak layak menerima segala kurniaan Allah padanya kerana doa Nasrudin sehingga kini tiada satupun yang dimakbulkan. Akhirnya Khairy meninggalkan Nasrudin dalam keadaan diam-diam ketika Nasrudin tidur petang.

Di tengah lautan, Khairy tertidur dan termimpi…. Ada suara dari langit…

“Mengapa kamu sanggup meninggalkan kawan baik mu seorang diri di pulau tersebut?”

Khairy menjawab, “Semua doa dia tak dimakbulkan, dia tak layak menerima apa-apa.”

“Kamu tersilap!” kata suara dari langit tersebut. “Nasrudin hanya ada satu doa, yang dimakbulkan Allah. Jika tak ada, kamu takkan dapat apa yang kamu dapat.”

“Apa dia? Apa yang didoakan Nasrudin sehingga saya perlu terhutang padanya? Semua ini hasil doa saya sendiri yang kuat,” kata Khairy dengan angkuh.

“Nasrudin mendoakan agar segala doa Khairy dimakbulkan…” setelah habis kata-kata tersebut Khairy dikejut bangun oleh satu pancaran petir yang kuat.

Khairy menyesal dan terus balik mencari Nasrudin di pulau tersebut untuk melihat apakah benar Nasrudin berdoa untuknya…

Setibanya di pulau tersebut, Nasrudin gembira melihat Khairy.

“Alhamdulilah. Allah Maha Esa, ana bimbang anta hilang, nasib baik Allah mendengar doa aku untuk membawa anta kembali dengan selamat ke pangkuanku dan memberikan satu kapal kepada kita untuk meninggalkan pulau ini bersama-sama,” kata Nasrudin.

Khairy tidak mampu berkata apa-apa mendengar kata-kata Nasrudin seperti apa yang dimimpikannya. Beliau hanya mampu memeluk Nasrudin dan memohon keampunannya atas segala kezaliman beliau terhadapnya yang tidak disedari sahabatnya. 

Pengajaran: Jangan ingat perkara baik yang berlaku adalah atas doa sendiri sahaja tapi ia adalah hasil daripada doa-doa jamaah, rakan kita yang turut mendoakan kebaikan pada kita. Hargailah kawan dan jangan tinggalkan mana-mana sahabat dan orang terdekat di belakang.

Senyum.

No comments: