Wednesday 26 December 2012

Sayyidah Nafisah Ranha

Sayyidah Nafisah RA: Serikandi Ahlul Bait Rasulullah SAW .

Sayyidah Nafisah memang terkenal sebagai seorang serikandi yang berani bahkan terkenal dengan kehebatan ilmunya yang tinggi hingga digelar sebagai “Ummul ‘Ulum” (ibu sekalian ilmu) . Nama beliau ialah Nafisah binti Sayyid Hasan al-Anwar bin Saidina Zaid bin Saidina Hasan bin Saidina Ali bin Abi Talib , menantu Rasulullah SAW . “Nafisah” diambil dari kalimah "an-nafasah" yang bermaksud kemuliaan atau ketinggian keadaan sesuatu . Beliau juga digelar Nafisat Tahira (wanita suci), Nafisat Al Abida (Nafisa ahli ibadah) .

Ibadat Sayyidah Nafisah :

Sayyidah Nafisah sangat gemar membaca al-Quran , kuat berpuasa di siang hari , solat pada malamnya , amat kasihan belas kepada orang miskin , anak-anak yatim dan manusia sekaliannya. Diriwayatkan daripada Sayyidah Zainab binti Sayyid Yahya yang juga anak saudaranya, beliau berkata , “Aku telah berkhidmat kepada emak saudaraku (sebelah ayah), Sayyidah Nafisah selama 40 tahun . Aku tidak pernah lagi melihat Sayyidah Nafisah tidur pada siang dan malam kecuali kerana darurat (terpaksa) kerana sibuk dengan beribadat. Beliau juga sentiasa berpuasa kecuali dua hari raya dan hari tasyriq. Lalu aku bertanya kepadanya , “Wahai emak saudaraku!Tidakkah kau berasa penat dan kasihani tubuhmu?” Lantas beliau berkata , “Bagaimana aku mampu mengasihani diriku sedangkan dihadapanku azab Allah sedang menanti . Tiada siapapun yang dapat mengelak daripadanya kecuali orang-orang yang berjaya .”

Sayyidah Nafisah telah mengerjakan haji sebanyak 30 kali dan kebanyakannya beliau pergi dengan berjalan kaki. Beliau selalu berdoa sambil menangis di sisi Kaabah “Tuhan ku!Penciptaku!Penolongku!Berikanlah kegembiraan kepadaku dengan redha-Mu kepadaku. Janganlah diriku ini menjadi sebab sebagai pendinding (hijab) antara Kau dan aku. Tuhanku!Permudahkanlah aku menziarahi kubur kekasih-Mu, Ibrahim (iaitu Mekah)”.

Mengehembuskan nafas terakhir :

Kesakitan yang menimpanya semakin kuat pada pertengahan bulan Ramadhan tahun 208 hijrah dan beliau sedang berpuasa ketika itu. Maka sekalian orang yang hadir ketika itu menyarankan agar beliau berbuka puasa sahaja bagi meringankan kesakitan yang dihadapi. Mendengar hal tersebut beliau berkata , “Pelik sungguh . Aku berpuasa 30 tahun dan aku berdoa kepada Allah agar dimatikan aku dalam keadaan berpuasa tiba-tiba aku diminta berbuka ?”.

Kesakitan yang ditanggungnya berlarutan hingga hari Jumaat hari yang ke-15 Ramadhan. Mulut beliau masih lagi mampu membaca al-Quran hingga sampai pada ayat ke-127 daripada Surah al-An’am yang bermaksud, “Bagi mereka itu (orang-orang yang merenung dan menghayati pesanan dari Allah) disediakan tempat yang selamat dan aman iaitu syurga di sisi Tuhan mereka dan mereka berada dalam kekuasaan dan pertolongan-Nya dengan sebab apa yang mereka kerjakan di dunia dahulu .” Ketika selesai membaca ayat ini, sunyi seketika rumah beliau diikuti tangisan dan doa sekalian manusia yang hadir mengiringi roh beliau yang baru dijemput mengadap Allah .

Jasad Sayyidah Nafisah disepurnakan lalu disemadikan di dalam biliknya yang kini dibina masjid padanya yang dinamakan “Masjid Sayyidah Nafisah” di Mesir .

(Petikan daripada kitab Hadhratus Sayyidah Nafisah R.Anha tulisan Syeikh Muhammad Muntasar Ahmad Hamid Al-Helwani)

No comments: