Alkisah seorang pemain silat
Farid seorang budak berumur 10 tahun mengambil keputusan untuk belajar silat walaupun baru kehilangan tangan kiri dalam satu kemalangan kereta yang ngeri.
Farid berjumpa dengan seorang pakar pengamal silat, Ustaz Idris untuk memahirkan diri dalam bidang silat.
Farid tekun dan menjadi cekap dalam apa yang dipelajarinya. Namun, selepas tiga bulan, Farid tertanya-tanya mengapa Ustaz Idris hanya mengajarnya satu teknik silat sahaja.
“Ustaz,” Farid akhirnya bertanya kepada Tok gurunya, “Farid rasanya ada patut belajar teknik baru…”
“Tidak. Ini saja teknik yang Farid tahu, dan ini sahaja teknik yang Farid perlu tahu,” jawab Ustaz Idris.
Farid tidak gembira dengan jawapan Tok gurunya, namun dia tak berani melawan dan terus tekun memahirkan diri dalam teknik yang satu tersebut.
Setelah beberapa bulan, Ustaz Idris membawa Farid ke pertandingan silat kebangsaan.
“Ustaz, Farid hanya ada satu teknik…. Mesti kalah Farid, mengapa ustaz nak Farid bertanding sedangkan Ustaz tidak rela mengajar teknik-teknik yang lain pada Farid selama ini? Dahlah Farid hanya mempunyai satu tangan sahaja…” rungut Farid.
Ustaz Idris hanya tersenyum.
“Farid, sabar dan lihat dulu. Cuba pergi cuba teknik yang Farid belajar di sini, nanti kita bincang. Usah bimbang, ustaz akan duduk tepi bagi petunjuk,” jawab Ustaz Idris.
Walaupun dengan satu teknik, Farid menang dua perlawanan pertama dengan mudah dan keyakinannya bertambah.
Perlawanan ketiga agak payah, namun Farid bertahan sehingga lawannya tidak sabar dan melakukan kesilapan dan membolehkan Farid menggunakan satu-satunya teknik yang dipelajarinya untuk memenangi perlawanan tersebut.
Farid akhirnya tiba di perlawanan akhir. Lawannya berusia 18 tahun, lebih besar, kuat dan berpengalaman.
Untuk seketika waktu, Farid kelihatan tidak terlawan dengan lawannya yang 8 tahun lebih tua. Pengadil perlawanan bimbang bahawa Farid akan cedera meminta perlawanan dihentikan.
Ustaz Idris membantah dan menyuruh pengadil meneruskan perlawanan sambil membisikkan pada telingan Farid, “Jangan takut, guna sahaja segala kemahiran untuk menggunakan teknik silat yang Farid tahu untuk menumbangkan lawan.”
Melihat Farid yang keletihan, lawannya berlawan secara sambil lewa kerana beranggapan beliau tidak mungkin kalah pada budak 10 tahun. Farid menggunakan peluang tersebut untuk menggunakan satu-satunya teknik silat yang dipelajarinya untuk mencengkam lawan dan akhirnya menjadi juara pertandingan.
Dalam perjalanan pulang, Farid dan Ustaz Idris melihat kembali video pertandingan yang dirakamkan Ustaz Idris.
Farid mengambil keberanian untuk bertanya pada Tok Gurunya…
“Bagaimana Farid boleh menang dengan satu teknik saja…” tanya Farid.
“Farid menang atas dua sebab. Satu sebab Farid mahirkan diri dalam teknik yang paling sukar dalam silat. Kedua, cara mengatasi teknik tersebut ialah lawan mesti cuba memegang tangan kiri Farid,” kata Ustaz Idris.
“Maksudnya Ustaz, kecatatan Farid, ustaz telah jadikannya sebagai kekuatan paling hebat pada Farid selama ini…” tanya Farid untuk mendapat kepastian.
Ustaz Idris tersenyum, “Akhirnya Farid faham mengapa ustaz latih Farid dengan sedemikian.”
Pengajaran: Kadang-kala kita terasa ada kelemahan, dan kita merungut mengapa situasi ‘tidak adil’ itu berlaku kepada kita… tanpa sedari bahawa daripada kelemahan tersebut, Allah dah sediakan jalan untuk menjadi sumber kekuatan kepada kita. Setiap kita adalah unik dan penting, jangan anggap sendiri ini cacat dan penuh kelemahan, jangan berfikir mengenai ‘air muka’ dan kesusahan, buatlah yang terbaik dan cuba capai yang terbaik dalam segala yang diusahakan. Nescaya kita akan menjadi juara seperti Farid walaupun terpaksa berlawan dengan satu tangan.
Senyum.
No comments:
Post a Comment