Wednesday, 12 December 2012

Berhenti mengHINA ALLAH !

Alkisah seorang pemalas....

Adnan seorang yang pemalas. Beliau tidak pernah berusaha untuk mendapatkan apa-apa dan tidak pernah menyiapkan tugas yang diamanahkan.

Setiap kali, bila projek beliau tidak dapat disiapkan kerana beliau tidak pernah berusaha sungguh-sungguh kerana kemalasannya, Adnan akan berkata, “Takdir Allah. Tidak sampai waktunya lagi untuk saya berjaya.”


Adnan juga seorang yang tidak menepati masa. Setiap kali bila beliau lambat ke temujanji, beliau akan berkata, “Tak apalah, Allah nak saya sampai lambat, mungkin ada hikmahnya… syukur aje saya dapat sampai.”

Satu hari, Adnan dihantar untuk menghadiri kursus dan kursus itu mempunyai satu peperiksaan untuk menentukan pencapaian Adnan. Adnan yang malas tidak mengulangkaji apa yang dipelajarinya dan akhirnya beliau gagal dalam peperiksaan tersebut.

“Dah takdir. Tak boleh nak buat apa. Allah izinkan ia berlaku, mungkin ada hikmahnya,” kata Adnan ketika ditanya Ustaz Nik mengenai pencapaian beliau tatkala berjumpa.

Ustaz Nik agak terkilan dengan kata-kata Adnan lalu berkata…

“Wahai sahabatku, hentikan menghina Allah,” kata Ustaz Nik kepada Adnan yang sudah dikenalinya lama dan masak dengan perangai malasnya.

“Bilamana aku menghina Allah?” jawab Adnan.

“Kalau sahabat dah berusaha bersungguh-sungguh untuk berbuat sesuatu perkara, dan keputusannya bukan keputusan yang sahabat hajati, sahabat bolehlah berkata itu berlaku atas izin dan takdir Allah, mungkin ada hikmahnya.

Kalau sahabat tak pernah berusaha dan malas, ana minta sahabat henti menghina Allah dengan menyatakan keputusan yang tidak dihajati berlaku kerana takdir dan izin Allah sebaliknya ia jelas adalah kerana kelemahan dan kemalasan sahabat sendiri.

Ingat! hidup di dunia ini bukan kerana akhirat sahaja, kena juga cemerlang di dunia. Jangan sesekali menghina Allah dengan berkata kegagalan sahabat adalah takdir-Nya tatkala sendiri tidak pernah berusaha,” tegur Ustaz Nik.

Mulai itu, Adnan mula meletakkan segala fokus pada kerjanya dan membiarkan keputusan di tangan Allah.

Senyum via Dato' Tuan Ibrahim (FB)

No comments: