Saturday, 15 December 2012

Manusia!!

Alkisah pokok balak…..

Di dalam satu kawasan lapang, jauh di dalam hutan, para pokok sedang mengadakan mesyuarat subuh.

“Binatang-binatang semua datang berehat dan berteduh di bawah kita tapi mereka sering meninggalkan kekotoran,” kata Cengal Chia, salah sebatang pokok. “Bau itu kadang-kalanya tidak dapat di tahan.”

“Mereka tidak mempedulikan perasaan kita sebab kita tak bersuara,” kata Meranti

 Musa, pokok berjiran dengan dengan Cengal. “Ana dah tak tahan. Dah cukup! Ana dah buat keputusan untuk menghalau semua binatang yang datang ke tempat kita.”

“Tapi itu mungkin satu tindakan yang kurang bijak,” kata Ramin Tuan, pokok tertua dan terbesar di antara mereka. “Binatang itu mungkin membawa sikit masalah pada kita, ana setuju, tapi mereka ada kebaikan juga. Semua benda di dunia ini saling bergantung – pokok, binatang dan manusia.”

“Maafkan ana,” kata Meranti Musa. “Ana amat menghormati pandangan tuan, tapi dalam hal ini ana tidak akan mendengar kata-kata sesiapa. Ana tidak akan membenarkan sebarang binatang dalam ke sini lagi.”

Meranti Musa melakukan apa yang dijanjinya. Apabila seekor kucing hutan (leopard) datang berteduh, Meranti Musa menggoyang dengan ganas kiri-kanan sehingga kucing hutan tersebut lari ketakutan. Meranti Musa menakutkan semua binatang yang datang pada hari itu dan hari-hari seterusnya.

Setelah beberapa ketika, tiadalah lagi binatang yang datang mendekati kawasan lapang tersebut.

Meranti Musa disanjung tinggi oleh pokok-pokok muda sekitar kawasan lapang tersebut, sehinggakan ada yang sujud pada Meranti Musa di belakang Ramin Tuan, yang disifatkan mereka kolot dan ketinggalan kerana masih bertegas bahawa kawasan lapang itu memerlukan kedatangan binatang biarpun mereka meninggalkan najis-najis.

Satu hari, dua pemotong balak datang ke kawasan lapang tersebut. “Manusia!” jerit Meranti Musa. “Mengapa mereka datang? Mereka tak pernah berani datang sini.”

“Jika mereka tidak pernah datang sebelum ini, ini adalah kerana mereka takut pada binatang buas yang sering berteduh di sini,” kata Ramin Tuan. “Sekarang kucing hutan, harimau semua tiada maka manusia tiba-tiba menjadi berani untuk datang ke sini.”

Meranti Musa mula menggigil – tapi bukan bersebab. Meranti Musa adalah pokok pertama pilihan pemotong kayu balak untuk ditebangkan………..

Dapat pengajaran?

Jangan selalu pandang pada kelemahan orang lain (najis yang ditinggalkan binatang) tapi ingatlah kebaikan yang mereka bawa selama ini pada kita (binatang memberi keselamatan dengan menakutkan manusia.). Seperti yang Ramin Tuan kata “Semua benda di dunia ini saling bergantung” – itulah cara keharmonian tercapai di dunia ini. Insha-Allah.

Senyum via Dato' Tuan Ibrahim (FB)

No comments: